Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Monday, September 5, 2011

Pohon Hidup D'Syurga(PhD): Mati Syahid

Menonton dan membaca berita sedih tentang kematian jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor akibat terkena tembakan di Somalia sungguh menginsafkan. Dalam usia muda menemui Allah swt dengan penuh kehormatan - mati syahid. Moga anak lelaki arwah iaitu Muhammad Irfan Ilham, 8 tahun (sebaya dengan anakku, Danish) dan Muhammad Naufal, 3 tahun, akan mengikut jejak langkah syahid ayahnya. Arwah telah mempamerkan semangat jihad rakyat Malaysia. Ucapan takziah untuk keluarga Noramfaizul agar terus tabah menghadapi kehidupan mendatang.

Arwah Siti Mariam Abdul Aziz
Kisah syahid Noramfaizul mengingatkan aku akan seorang rakan sekerja, Siti Mariam Abdul Aziz ,39, menemui Allah swt pada 18 Ogos lalu (bersamaan 18 Ramadan). Beliau meninggal dunia sewaktu melahirkan anak yang berposisi songsang. Anaknya juga meninggal dunia. "Untungnya Mariam, mati syahid. Hidupnya diakhiri dengan penuh keindahan syurga!" detik hatiku. Kenangan terakhir aku bersama arwah adalah lawatan sambil belajar ke Sarawak tahun 2003. Arwah merupakan seorang yang sangat baik hati dan tutur bicaranya sentiasa lemah lembut.

Setiap kematian membawa seribu satu macam pengajaran, kesedaran dan keinsafan bagi mereka yang masih hidup. Bukankah orang cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati? Salah satu cara mengingati mati ialah melalui berita kematian serta mengambil langkah proaktif untuk memperbaiki kehidupan mendatang dengan mengambil iktibar dari kisah-kisah kematian ini. Perbaiki kehidupan mendatang agar hidup lebih barakah di sisi Allah dalam meniti hari-hari menuju kematian yang entah bila tibanya.  

Moga kita mengakhiri hidup kita dengan kesudahan yang baik. Itulah antara doa yang sering kita lafazkan namun seringkali jua kurang kita hayati. Hati bagaikan keras membatu...dan air mata langsung tidak menitis ketika membaca doa ini sedangkan inilah antara doa terpenting untuk kita.
اللهم أختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا بسوء الخاتمة  
Maksudnya: "Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik."

No comments:

Post a Comment