Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Sunday, April 22, 2012

Pelapor Hendaklah Dhabit(PhD): Takut Dusta

"Awak...kalau nak berjaya jawab periksa, kena ingat apa yang cikgu ajar"
"Awak...kalau nak berjaya dalam pertandingan menyanyi, kena ingat lirik lagu"
"Awak...kalau nak berjaya jadi peniaga, kena ingat tempahan pelanggan"
"Awak...kalau nak berjaya jadi isteri/suami, kena ingat layanan yang baik"
"Awak...kalau nak berjaya jadi pemimpin, kena ingat tanggungjawab"

www.hidayah.com.my
Pernahkah kita mendapat kata-kata nasihat seperti di atas atau seakan-akan dengannya? Ini bermakna kita memerlukan peringkat daya ingatan tertentu untuk melaksanakan sesuatu tugas/amal. Ada tugas yang patut dilaksanakan dan lupa, ia masih boleh dimaafkan. Berulang kali lupa untuk tugas yang sama, kita sudah mula merasakan seseorang itu ada penyakit pelupa, tidak serius dalam sesuatu kerja, ada masalah yang disembunyikan ATAU lebih teruk lagi seseorang itu dianggap pendusta apabila pelbagai alasan diberikan. Sifat DUSTA inilah yang paling ditakuti dan tidak disukai oleh sesiapa pun. Ibubapa tak suka anak dusta, suami/isteri tak suka pasangan berdusta dan yang paling penting Allah swt tak suka pada hambaNya yang berdusta.

Sumber: Kismis Minda
Islam telah lama mengajar umatnya untuk menguatkan daya ingatan agar tidak lupa iaitu dari pemakanan yang halal, penglihatan yang ditundukkan dari perkara haram, pendengaran yang dihalakan dengan perkara baik, percakapan yang selalu baik lagi benar, ulangkali baca Al-Quran, perbanyakkan solat sunat hinggalah kepada permohonan doa kepada Allah swt.

Dengan daya ingatan yang baik, seseorang itu mampu menjalankan rutin harian atau tugasan yang diamanahkan dengan baik dan sempurna. Contohnya, Islam telah menggariskan ciri-ciri hadis sahih antaranya ialah pelapor yang adil dan dhabit. Pelapor yang adil ialah Islam, baligh, berakal, sempurna daripada sifat fasik dan sempurna daripada perkara yang mencemarkan maruah

Ciri Hadis Sahih
Manakala, dhabit pula bermaksud setiap hadis disampaikan seseorang pelapor itu mestilah betul dan tepat seperti mana yang diterima. Dhabit ada 2 jenis iaitu (mukasurat 13 dalam buku "40 Hadis Palsu Popular"):-
  1. Dhabt al-sadr - menghafaz hadis yang diterima dan boleh menyebutnya semula dengan baik pada bila-bila masa; bermula ketika dia mendengar sehingga dia menyampaikan hadis tersebut kepada anak muridnya.
  2. Dhabt al-kitab - menulis dengan tepat hadis yang diterima, menjaga catatannya dengan baik dan tidak meminjamkannya catatan tersebut kepada orang lain kecuali orang yang boleh dipercayai; bermula ketika dia mendengar sehingga dia ingin menyampaikan hadis tersebut  kepada anak muridnya.  
"....nak berjaya dunia akhirat, kena ingat perintah Allah swt & Rasullullah saw

Friday, April 20, 2012

Perbetul Hafalan D'Ingatan(PhD): Surah Yassin

Surah Yassin (Surah ke-36, 83 ayat) bagaikan nadi dalam masyarakat Islam di Malaysia. Ku jangkakan surah ini lebih mudah dihafaz kerana acapkali boleh dibaca tanpa melihatnya pabila dibaca beramai-ramai di majlis Tahlil atau Yassin mingguan
Tidak mudah pabila sering tersasul dengan ayat-ayat yang hampir serupa. Pernahkah anda tersasul? Lantas, ku buat sedikit catatan tentang ayat-ayat ini seperti nombor ayat, mukasurat dan bayangkan kedudukannya dalam mukasurat tersebut (kaedah pictography). Dengan cara ini, ku dapat mengesan kesilapan dengan mudah dan cepat. 
Perkataan/Frasa
Ayat ke-
Pada Mukasurat
المبين
1. Maksudnya: Nyata/ jelas
2. Jumlah: 7
12
440
17
441
24
441
47
443
60
444
69
444
77
445
يستطيعون
1.  Maksudnya: mampu
2.  Jumlah: 2
50
443
75
445
صيحة وحدة
1. Maksudnyasatu teriakan yang keras
2. Jumlah: 3
29
442
49
443
53
443
وءاية لهم
1. Maksudnya: dan satu tanda bagi mereka
2. Jumlah: 3
33
442
37
442
41
443

Dek kebiasaan juga, terjemahan ayat-ayat ini kurang kuambil berat kerana perlu menghabiskan bacaan dalam jangka masa tertentu. Baru-baru ini, sewaktu membaca terjemahan ayat-ayatnya, hatiku sungguh tersentuh dengan ayat 60-62.
Ayat 60: "Bukankah aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata terhadap kamu."
Ayat 61: "Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu. Inilah jalan yang lurus."
Ayat 62: "Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan ramai di kalangan kamu. Maka, apakah kamu tidak memikirkannya?"

Mengapa tersentuh? Sebab Allah swt telah menyatakan secara jelas tentang jalan yang lurus tetapi kita terlalu kerap memilih jalan yang salah iaitu jalan pilihan syaitan. Berbekal iman senipis atau lebih nipis daripada kulit bawang, dicampur dengan ego/lalai/jahil dalam ilmu dan ditambah pula syaitan datang dalam pelbagai bentuk/cara/arah, kita sering memilih syaitan. Maka benarlah ayat 62 ini - ramai telah menjadi juara di sisi syaitan dan sedikit menjadi juara di sisi Allah swt.
Marilah kita memilih jalan yang lurus, jalan yang diredhai Allah swt.

Tuesday, April 10, 2012

Popular Hendaklah Dibeza(PhD): Sahih atau Palsu

"Sesuatu yang popular tidak semestinya sahih dan sesuatu yang sahih tak semestinya popular."  Istilah popular, kini, bagaikan satu kayu ukur yang tidak boleh dipinggirkan dalam membuat sesuatu penilaian. Penilaian terhadap aspek makanan, pakaian, kereta, telefon bimbit, filem, buku, lagu, blog, berita, pekerja, pelakon, penyanyi, akhbar, tv, radio, pemain, pasukan hinggalah kepada pemimpin. 

40 Hadis Palsu Popular
Lambakan istilah popular, membuatkan kuasa saringan kita dalam membezakan antara yang sahih (hak) dan palsu (batil) menjadi tidak/kurang tajam. Dek terlalu fokus kepada popular, kita sering alpa atau ambil mudah tentang tujuan asal dan kesahihan sesuatu perkara. Kita tidak dapat membezakan antara CD tulen dengan CD palsu. Kita tak dapat membezakan antara fakta betul dengan fakta yang nampak macam betul (hakikatnya dipalsukan atau diambil dari sumber pendusta). Kuasa saringan menjadi lebih teruk apabila popular dinilai tanpa mengikut syariat Islam.

Aku rasa sangat beruntung dilahirkan sebagai umat Islam kerana Islam telah menyediakan Al-Quran dan Hadis sebagai rujukan panduan kehidupan dalam membuat sebarang penilaian. Al-Quran adalah buku yang kekal abadi dan kebenarannya telah dijamin oleh Allah swt. Kehebatan Al-Quran telah menarik banyak penyelidikan sains dibuat dan lebih membuatkan para saintis rasa takjub pabila semua hasil kajian mereka mengakuri kebenaran penyataan di dalam Al-Quran. 

Pembahagian Hadis
Hadis adalah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhamad samada dari segi perkataan, perbuatan, pengiktirafan/pengakuan, sifat-sifat fizikal dan sifat-sifat peribadi. Hadis maqbul (diterima) adalah hadis sahih dan hadis hasan. Hadis mardud (ditolak) ialah hadis daif/lemah dan palsu (maudu'). Antara hadis palsu popular ialah [1] Menuntut ilmu sehingga ke negeri China, [2] Menuntut ilmu daripada buaian dan [3] Manusia akan baik sekiranya pemerintah dan ulama baik
Secara ringkasnya hadis palsu boleh dikenalpasti melalui ciri-ciri:- 
  1. Sanad (salasilah pelapor/perawi) iaitu pelapor yang pendusta, suka membuat pendustaan, pengakuan  pelapor sendiri dan menyampaikan hadis dari yang lain  
  2. Matan (isi kandungan) iaitu teks atau maknanya pelik dari segi bahasa Arab, bercanggah dengan Al-Quran atau hadis sahih serta makna hadis rosak dan tidak dapat diterima oleh akal yang sempurna.
Nota: Untuk lebih terperinci, bacalah buku "40 Hadis Palsu Popular" atau buku-buku lain tentang hadis, hadiri kuliah-kuliah agama atau bertanya terus kepada ustaz atau ustazah yang arif tentangnya.

Thursday, April 5, 2012

Pintu Hati Dibuka (PhD): Taubatmu Dinanti

"Tak payah risau-risau. Biarlah di akhirat nanti saya yang tanggung dan jawab sendiri di depan Allah," begitulah antara respon yang diterima pabila cuba memberi peringatan atau nasihat kepada seseorang. Jika respon ini diberikan oleh orang yang tidak begitu rapat, mungkin kita tidak begitu terasa kecewa atau sedih. Hati bagaikan disentap dan air mata tidak dapat dibendung pabila ianya datang dari orang yang sangat kita kasih dan rapat dengan kita. Kasihan melihatnya dan kasih terhadapnya. Mengharapkan agar dia boleh kembali ke pangkal jalan, jalan yang diredhai Allah swt dan berjumpa di syurga Allah yang abadi

Banjir sana sini....
mengingatkan kisah Nabi Nuh
Kini, ku baru lebih mengerti, memahami dan menjiwai perasaan para nabi dan rasul yang mendapat tentangan dari kaum keluarga dan sahabat karib mereka. Antara contoh sirah nabi ialah Nabi Nuh a.s. mengajak isteri dan anaknya menaiki kapal ketika bah besar. Anak dan isterinya menolak ajakan Nabi Nuh a.s. dan berkata kepada ayahnya yang dia akan pergi ke bukit yang paling tinggi untuk lari dari banjir. Akhirnya, Nabi Nuh a.s. menyaksikan sendiri pemergian isteri dan anaknya dalam keadaan masih kufur kepada Allah swt. Jika kita boleh membuat ulang tayang senario ini dan bayangkan ianya berlaku pada diri kita, pastinya kita akan menangis jua. Rupa-rupanya, perasaan ini sangatlah sedih, pilu dan kekadang rasa seolah-olah tidak tertanggung

Setelah, segala bentuk nasihat dan rayuan kita tidak dapat mengetuk pintu hatinya, usahlah kita berhenti dan berputus asa menasihatinya dengan penuh hikmah, sehingga nyawa bercerai badan. Merayulah dalam setiap doa kita kepada Allah swt kerana Allah sahaja yang berhak untuk membuka hati-hati mereka ini. Kekadang, hati ini meruntun untuk terbang ke tanah haram, Mekah dan Madinah, dan berada di tempat yang paling mustajab agar rayuan dan rintihan ini dimakbulkan. Pabila hati nan keras telah terbuka, maka dengan mudahlah hati tadi tunduk, patuh, merintih dan memohon taubat pada Allah swt, Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Ku terus menanti saat hati-hati ini terpanggil seperti ku menanti panggilan agung untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima.