Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Monday, February 28, 2011

Maher Zain - InsyaAllah [Malay and English]

Maher Zain telah diperkenalkan oleh anak-anakku, Dinie dan Dhia ,sewaktu mereka pulang bercuti dari sekolah berasrama.  Mereka berdua akan download lagu-lagu Maher Zain dari YouTube dan anakku Danish pula menjadikan lagu-lagu ini sebagai muzik latar sewaktu dia bermain computer game. Melihatkan minat mereka bertiga, tanpa berlengah aku mendapatkan CD Maher Zain (tentulah yang original).
Hatiku terus terpaut dengan seni kata lagu "InsyaAllah". Ditambah pula, kekerapan stesen radio memainkan lagu InsyaAllah  dan Astro Oasis memainkan video klip lagu-lagu Maher Zain, terutamanya bila hampir tiba waktu solat.
Bila dihayati bait-bait senikata lagu ini, jiwa ini akan bangkit untuk terus tabah mengharungi setiap detik kehidupan. Ianya menambahkan kecintaanku terhadap Allah swt. Moga lebih banyak lagi lagu-lagu begini  dapat dihasilkan untuk dijadikan sajian rohani dan minda kita semua.


Seni kata Versi Bahasa Melayu
Seni kata Versi Bahasa Inggeris
Andainya kau rasa 
Tak berupaya
Hidup sendirian

Tiada pembela
Segalanya suram
Bagai malam yang kelam
Tiada bantuan 

tiada tujuan


C/o
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
Ada jalannya
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
Ada jalannya

Andainya dosamu berulang lagi
Bagai
 tiada ruang untuk kembali
Dikau keliru atas kesilapan lalu
Membelenggu hati dan fikiranmu
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu

Kembalilah
Kepada Yang Esa
Yakin padaNya
Panjatkanlah doa

Oh Ya Allah
Pimpinlah daku dari tersasar
Tunjukkan daku ke jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar
(Sumber: YouTube by sabak86)
Everytime you feel like
you cannot go on
You feel so lost
That you so alone
All you see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can’t see which way to go

C/o
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
you’ll find your way
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
you’ll find your way

Everytime you commit one more mistake
You feel you can’t repent
And that its way too late
You’re so confused, wrong
Decisions you have made
Haunt you mind and your
Heart is full of shame


Turn to Allah
He’s never far away
Put your trust on Him
Raise your hands and pray

Ooo Ya Allah
Guide my steps don’t let me astray
You are the only one that
showed me the way
showed me the way
showed me the way
(Source: Berita Minggu, 17 Okt 2010)

Sunday, February 27, 2011

Cinta Memancing


Memancing adalah hobi suamiku. Aku pula hanya tahu memegang joran dan memasak hasil tangkapan. Sejak berhijrah ke Darul Ehsan, beberapa destinasi berpotensi telah kami terokai. Di antaranya ialah Pulau Indah, Pantai Remis, Pantai Sembilang, Tanjung Karang dan Pantai B.N.O., Sabak Bernam. Jika suamiku melihat lokasi ini sebagai tempat memancing, aku pula mengambil kesempatan untuk menyaksikan keindahan alam ciptaan Ilahi dan anak-anak pula menjadikan lokasi ini sebagai tempat rekreasi. Cinta memancing membawa kami ke dunia cinta keluarga, cinta alam semulajadi dan cinta Allah swt. Syukurlah atas segalanya. Ya Allah, Sesungguh Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Pantai Remis, Kuala Selangor ( Cuti Sekolah Dis 2010)
Pantai Remis menjelang senja
Layang-layang terbang tinggi

        











Pulau Indah, Klang ( Awal Feb 2011)
Cantiknya pemandangan muara ini..
Berlatar belakang Jeti memancing










Jeti Memancing Pier I Laguna Park
Jeti Memancing Pier II Laguna Park














Pantai B.N.O., Sabak Bernam (Hujung Feb 2011)
Bangau Berterbangan Riang
Indahnya Pantai Rekreasi B.N.O

Jeti ke Kelong Paradise
Sampan Nelayan Berlalu Pergi

Saturday, February 26, 2011

Cinta Beralih Arah

Sesekali mengimbas kembali kenangan perkahwinanku yang diadakan di dalam kampus pada 29 April 1995, membuatkan aku tersenyum sendirian. Pengetua ITM Johor pada tahun tersebut ialah Dr Shahrudin Bin Mohd Salleh <kini beliau orang kuat TPM>. AJK Buat Pelamin pun ada; yang terdiri dari En Abu Hassan, Pn Zaini, Pn Azizah Zainal Abidin dan Cik Norrita <kini dah Puan>. Majlis perkahwinanku ini juga disiarkan dalam Majalah Al-Islam, ceritanya telah ditulis oleh seorang rakan sekerja, Encik Ayub <beliau telah berpencen>. 

Mengekalkan keindahan sebuah perkahwinan seperti di awal perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah. Teringat temubual Razis Ismail - penyanyi pada zaman remajaku- dalam siri Sehati Sejiwa di TV1. Katanya dengan nada suara yang sediakala romantik, "Bohonglah...kalau sebuah rumahtangga tiada masalah. Kita pasangan suami isteri kenalah tolak ansur dan saling faham-memahami." Nazrey ex-Raihan pula menambah untuk sabar dalam rumahtangga, kena belajar sabar dengan sabar. Mudah nak berkata sabar tetapi memastikan SABAR itu berjaya amat perlu bersabar.

Setiap kali ke kedai buku MPH atau Popular, pasti buku-buku yang berkisarkan pengukuhan hubungan suami isteri dan anak-anak menjadi pilihanku. Kali ini kuingin berkongsi sedikit petikan dari buku Datin Seri Latipah Abdullah(2008) yang bertajuk Cinta Luar Biasa di Alam Rumah Tangga.

Antara TIP untuk hidup gemilang suami isteri ialah:
  1. Pada hari pertama pertemuan lagi telah termeteri dalam hati dua insan untuk sehidup semati kerana Allah swt. [Muhasabah Diri: Adakah kami ada memasang niat begitu?]
  2. Mestilah cuba sedaya upaya mencari kesesuaian diri. Carilah kesukaan pasangan dan sama-sama cuba menyukai. Kenali kebencian pasangan dan sama-sama cuba menjauhi.  [Muhasabah Diri: Adakah kami  SELALU mencari kesesuaian diri masing-masing?]
  3. Hendaklah saling hormati menghormati; perselisihan dan pergaduhan kecil-kecilan adalah asam garam kehidupan. [Muhasabah Diri: Adakah kami SELALU saling hormat menghormati?]
  4. Pikullah tanggungjawab masing-masing dengan penuh keIKHLASan. [Muhasabah Diri: Adakah kami selalu IKHLAS dalam memikul tanggungjawab kami?]
Jawapan untuk persoalan 2 hingga 4 di atas adalah YA. Namun, peratusannya sering berubah-ubah mengikut tahap keimanan dan kesabaran. Istiqamahlah wahai dua hati dua jiwa.
Ya Allah, kurniakanlah kebahagiaan dalam rumahtangga kami dan teguhkanlah hati-hati kami setelah Engkau memberi kami petunjuk. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengurnia rahmat dan nikmat.

Nota: Bekas isteri Datuk K , Abby Abadi, Rossa dan Anang lagi BESAR dugaannya berbanding denganku. Aku mesti terus bersyukur.

Thursday, February 24, 2011

Role Model:Nabi Muhamad Sebagai Hakim

Ku pasti singgah di ruang buku-buku terkini setiap kali belajar di PTAR1, UiTM. Semalam (23/2) aku tertarik dengan 2 buah buku terjemahan iaitu Ensiklopedia Muhammad s.a.w: Muhammad sebagai Hakim dan Muhammad sebagai Negarawan. Kedua-dua buku ini dikarang oleh Afzalur Rahman dan diterbitkan oleh Pelangi Mizan. Aku hanya sempat membaca (masih belum menghayati sepenuhnya lagi) Muhammad sebagai Hakim

Antara Tugas-tugas Nabi Muhammad ialah :-
  • Pendidik dan pembimbing umat  (Antara Dalilnya: Surah Al-Baqarah[2]:151)
  • Penjelas ajaran dan perintah Al-Quran oleh Allah swt  (Antara Dalilnya: Surah Al-Nahl[16]:44)
  • Pemimpin dan pemberi teladan  (Antara Dalilnya: Surah Al-Ahzab[33]:21)
  • Legislator (Antara Dalilnya: Surah Al-A'raf[7]:157) 
  • Hakim (Antara Dalilnya: Surah Al-Nisa[4]:65, 105)  
Antara yang Menarik
  • Di mukasurat 8:
Hakim wajib mempersamakan antara 2 pihak yang bersengketa dalam 5 hal : (1) Dalam menghadap kepada keduanya, (2) Dalam duduk di hadapan keduanya, (3) Dalam menerima keduanya, (4) dalam mendengarkan keterangan dari keduanya, dan (5) Dalam menghukumi keduanya.
  •  Di mukasurat 13:
3 modus Allah menurunkan wahyu kepada Nabi: (1) wahyu atau ilham langsung, (2) dari balik hijab (batas), dan (3) perantaraan malaikat.
  • Di mukasurat 27:
Dalam hal pakaian yang dikenakan dalam kehidupan umum, syariat mengajar batas-batas yang wajib ditutup dari pandangan nonmahram dengan pakaian yang TIDAK tembus pandang dan TIDAK ketat sehingga menonjolkan lekuk-lekuk tubuh (daya tarik seks). TETAPI syariat tidak mengatur fesyen pakaiannya, warnanya, bahannya, kedudukan poketnya dan sebagainya.
  • Di mukasurat 36
Prinsip-prinsip dasar hukum Islam mencakup aspek-aspek kehidupan manusia di dalam masyarakat berupa: (1) perlindungan agama/keyakinan (Hifzh Al-Din), (2) perlindungan hidup (Hifzh Al-Nafs), (3) perlindungan harta benda (Hifzh Al-Mal), (4) perlindungan keturunan (Hifzh Al-Nasl), dan (5) perlindungan hak intelektual, berekspresi dan menyatakan pendapat (Hifzh Al-Aql)
  • Di mukasurat 46
Mahar simbol tanggung jawab suami, simbol iktikad baik seorang suami untuk melindungi isterinya dan memberi isterinya nafkah lahir dan batin; BUKAN harga seorang wanita.
  • Di mukasurat 54
Menyatakan talak 100 kali kepada isteri adalah satu penghinaan kepada ayat-ayat Allah.
  • Di mukasurat 90
Seorang hakim tidak boleh memberikan keputusan antara dua orang tatkala dia sedang marah. (HR Bukhari)
  • Di mukasurat 94
Ada 3 jenis hakim: (1) Hakim yang masuk syurga ialah yang mengetahui kebenaran dan memberi keputusan berdasarkan kebenaran itu, (2) Hakim masuk neraka ialah hakim yang mengetahui kebenaran tetapi bertindak kejam (tyranny) dalam keputusannya dan (3) Hakim kedua yang masuk neraka ialah hakim yang memutuskan perkara untuk orang-orang, pada hal dia TIDAK memiliki pengetahuan tentang kebenaran. (HR Abu Dawud dan Ibn Majah)
  • Di mukasurat 96
Hakim yang hebat adalah seseorang yang dapat memberikan putusan hukum dengan ADIL dan berdasarkan pada hukum Illahiah.
  • Di mukasurat 97
Allah bersama hakim-hakim selama hakim itu tidak zalim tetapi bila dia bertindak zalim, Allah akan meninggalkannya dan syaitan mengikatkan diri kepadanya. (HR Tirmidzi dan Ibn Majah)  
  • Di mukasurat 99
4 tujuan penghukuman dalam hukum jenayah Islam: (1) pencegahan, (2) penginsafan, (3) pembalasan, dan (4) pengembalian/pemulihan

Sebagai Pengikut Nabi saw dan Hamba kepada Allah swt

Cinta Allah hanya boleh diraih dengan mentaati dan mengikuti ajaran Nabi Muhammad saw. Oleh itu, kita WAJIB taat kepada Nabi Muhamad sehingga akhir hayat kita walaupun pada masa hayat kita, Nabi Muhammad telah wafat. Cintailah Nabi Muhammad seperti baginda mencintai kita semua.

Wednesday, February 23, 2011

Thank You Allah...Terima kasih Allah

"Ya Allah, terima kasih kerana memberi peluang kepada hambaMu ini untuk meneruskan sisa-sisa hidup di dunia". Itulah rintihan dan bisikan hati setelah terjaga dari 'rehat' yang kusangka akan pergi buat selamanya.

Pada Isnin yang lalu [21/2]  aku dan suami membuat keputusan untuk tidak ke kampus kerana suami selesema. Beliau rasa tidak selesa dan memang kelihatan dia sangat-sangat tidak selesa. Setelah bersarapan pagi dan suami memakan ubat selesemanya, aku terus ke ruang belajarku untuk meneruskan perjuangan PhDku.

Sedang khusyuk membaca...tiba-tiba...dadaku terasa sangat sakit. Sakit yang tak pernah kualami sebelum ini. Sakitnya seolah-olah ada 3 jarum yang panjang dari 3 sudut yang berbeza, ditarik perlahan-lahan keluar dari jantungku. Kucuba bernafas, ternyata masih boleh bernafas. Tiada sekatan di hidung, tiada sekatan ke dada tetapi rasa kering kehausan di tekak. Ku beristighfar, berselawat dan mengucap kalimah syahadah berulang-ulang kali. Mungkin telah tiba masanya....umur pun dah hampir 43 tahun.

Ku melangkahkan kakiku perlahan-lahan menaiki tangga rumah untuk memaklumkan pada suamiku yang berada di bilik belajarnya di tingkat atas. Suamiku menasihatkan agar segera berjumpa doktor. Aku tidak berkata apa-apa, cuma terus ke bilik tidur dan berbaring di atas katil. Ku perbaiki baringanku pada kedudukan yang agak selesa agar dadaku tidak terasa sakit. Suamiku memasang ionizer dari mesin Family Dr dan diletakkan di sisiku.

Air mata mengalir deras. Kupejamkan mata perlahan-lahan. Hatiku berbisik: "Ya Allah, ampunkan segala dosaku, aku tahu aku hamba yang banyak berbuat dosa." Aku juga sempat memaafkan semua orang di sekelilingku atau sesiapa sahaja yang memerlukan kemaafanku. Harapanku, dengan kemaafan ini, mereka juga sudi memaafkanku nanti. "Ya Allah, Aku tidak layak untuk syurgaMu tetapi aku juga sangat takut dengan azab nerakaMu." Terbayang wajah kedua-dua ibu bapaku yang berada di Kota Tinggi, ketiga-tiga wajah anak lelakiku, kedua-dua wajah penyelia PhDku dan semua orang yang kusayangi.

Aku terus beristighfar sambil air mata mengalir deras. Aku tidak sedar bila aku terlena. Bila ku terjaga, jam telah menunjukkan pukul 11 pagi. Kesakitan di dadaku telah lenyap. Alhamdullillah! Lantas aku menunjukkan kesyukuranku kepada Allah swt sebagai seorang hambaNya - sujud syukur padaNya.

Selepas bersujud, berdoa dan minum air zam zam, aku meneruskan pembelajaranku pada hari tersebut.

Nota: Apakah rahsia yang tersembunyi dari peristiwa ini? Yang pasti adalah sebuah keinsafan.

Tuesday, February 15, 2011

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad s.a.w

Setiap kali Astro OASIS menyiarkan dan membacakan wasiat terakhir Nabi Muhammad s.a.w, hati pasti terasa sayu dan bagaikan terpancar indah dan syahdunya sinar kasih Rasullullah saw di hati ini - terasa dekatnya Baginda denganku. Tak pernah bertemu tetapi kasih sayangnya amat dirasai. Aku sangat bersyukur dilahirkan sebagai umat Islam, umat Nabi Muhammad saw.

Hayatilah Wasiat Rasullullah s.a.w

Pesanan ini disampaikan dalam khutbah terakhir Baginda di Lembah Uranah, Gunung Arafah, berhampiran kota Makkah pada 9 Zulhijah tahun ke-10 Hijrah. Marilah kita sama-sama hayati dan laksanakan wasiat Baginda dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh berliku.


 Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikan ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. 

Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan  harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun supaya orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba, justeru, segala urusan membabitkan riba dibatalkan mulai sekarang


Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia (syaitan) sudah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara BESAR, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, maka mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Jika mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang


Layani wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah dengan mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setiaDan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat 5 kali sehari, berpuasa pada Ramadan dan tunaikan zakat daripada harta kekayaan kamuKerjakanlah 'ibadat haji' jika kamu mampu

Ketahuilah bahawa setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim lainKamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia daripada yang lain kecuali dalam takwa dan beramal soleh.


Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakanOleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas kewafatanku. 

Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepas aku dan tidak akan lahir agama baruOleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kataku yang sudah aku sampaikan kepada kamu. 

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku.


Hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga orang yang terakhir lebih memahami kataku daripada mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya sudah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-Mu.


Ajar vs Didik

Ajar vs Didik
Semua orang boleh mengajar. Contohnya: ibu mengajar anaknya memasak nasi (walaupun dah ada periuk elektrik) dan abang mengajar adik bermain game komputer. Maknanya ibu memindahkan ilmu memasak nasi kepada anaknya supaya berpengetahuan dan berkemahiran; abang memindahkan kemahiran bermain game komputer kepada adiknya. 

Namun tak semua orang boleh jadi pendidik. Contohnya: orang yang pandai memasak tidak semestinya tahu mendidik orang lain tentang adab-adab (asas nilai) memasak. Mungkin kita pernah makan di luar. Makanannya sedap dan lazat bukan kepalang tetapi nilai kebersihannya sangat rendah. Maknanya, ada ilmu memasak tetapi ilmu NILAI memasak hampir menuju sifar. Abang mengajar adik bermain game komputer tetapi tidak mendidik adik tentang nilai-nilai yang ada dalam permainan tersebut.

Inilah yang terjadi bila kita memisahkan ilmu dunia dengan ilmu 'rabbani'. Apa itu 'Rabbani'? Apa itu nilai? 


Muhasabah diri: Mana satukah diriku? Pengajar atau Pendidik?
Source: Prof Dr Sidek Baba, Pendidikan Rabbani: Mengenal Allah Melalui Ilmu Dunia, 2006.

Sunday, February 13, 2011

Engkau Lebih Tabah...

Jika anda berpeluang menonton Nasi Lemak Kopi 'O' (NLKO) di TV9 slot Hentikan Tangisan - kes mangsa sula tahun 1999 - pagi tadi (13 Feb 2011), pasti hati menahan sebak dan tanpa disedari air mata mengalir laju. Itulah yang kualami.

Hati ini memuji-muji ketabahan Pn Jamilah yang merupakan ibu pada mangsa sula. Kulihat...dengan wajah yang tenang sambil menundukkan matanya, beliau menjawab setiap soalan yang diajukan oleh AG. Setiap jawapannya menunjukkan sifat keibuan yang tinggi, kasih sayang yang tidak bertepi dan ketabahan yang kental. Liku-liku hidup yang dilalui oleh Pn Jamilah dan keluarga sejak kejadian tersebut tersangat getir. Lebih berat lagi setelah suaminya meninggal dunia. Dialah ibu, dialah juga bapa kepada anak-anaknya.

Tanggungjawab Berat
Menjaga anak yang sakit dan 5orang anak-anak lain yang sedang membesar, berulang alik ke hospital untuk perubatan anak yang sakit, kerja mengikut syif untuk menyara kehidupan, menyediakan makan minum dan pakaian anak-anak, memastikan anak-anak yang lain mendapat pendidikan, mendengar rintihan anak yang sakit dan juga anak-anak yang lain, memastikan anak yang sakit ada yang menjaga sewaktu beliau bekerja.
Ku boleh bayangkan betapa sibuk dan sukar kehidupannya setiap hari - sebagai ibu dan bapa pada masa yang sama.

Cahaya Iman
Bila ditanya kepada siapa Pn Jamilah mengadu untuk meringankan beban perasaan dan fizikal yang dialami, jawapannya ringkas tetapi penuh dengan cahaya keimanan: " menangis setiap lepas sembahyang." Beliau menambah lagi: "saya selalu berbincang dengan anak-anak." Cuma ibu penyayang ini amat risau...apa akan berlaku kepada Mohd Shah jika beliau telah tiada nanti. Setelah diberi kata-kata motivasi oleh Dr Rubiah...baru kelihatan sinar keyakinan pada wajahnya.

Begitu kejam sekali Mohd Shah disula menggunakan kayu yang berduri. Terasa sakit dan siksanya...mengapakah budak kecil ini diperlakukan begitu. Penjenayah tersebut dihukum 2 sebatan dan 20 tahun penjara. Itu baru hukuman dunia...hukuman akhirat penjenayah ini belum terima lagi.

Namun dengan keperitan dan kesakitan yang dihadapi, anak ini masih boleh meMAAFkan penjenayah ini. Kagumnya aku. Kentalnya iman anak ini. Moga Mohd Shah tergolong dalam orang-orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Jawapan mereka dua beranak sangat-sangat menyentuh hatiku.

Iktibar Kita
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sekiranya ada yang bermurah hati dan ingin menghulurkan derma kepada beliau, disertakan akaun Maybank yang diambil dari rancangan TV tersebut: 151164247059.

Ketabahan Pn Jamilah dan anak-anaknya dalam menghadapi musibah itu mesti dicontohi oleh semua masyarakat Malaysia. Musibah menguji keimanan, menaikkan darjat serta menghapuskan dosa-dosa kita sebagai hambaNya.

Aku mesti lebih bersyukur...aku mesti lebih bersyukur...aku mesti lebih bersyukur.