Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Tuesday, February 15, 2011

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad s.a.w

Setiap kali Astro OASIS menyiarkan dan membacakan wasiat terakhir Nabi Muhammad s.a.w, hati pasti terasa sayu dan bagaikan terpancar indah dan syahdunya sinar kasih Rasullullah saw di hati ini - terasa dekatnya Baginda denganku. Tak pernah bertemu tetapi kasih sayangnya amat dirasai. Aku sangat bersyukur dilahirkan sebagai umat Islam, umat Nabi Muhammad saw.

Hayatilah Wasiat Rasullullah s.a.w

Pesanan ini disampaikan dalam khutbah terakhir Baginda di Lembah Uranah, Gunung Arafah, berhampiran kota Makkah pada 9 Zulhijah tahun ke-10 Hijrah. Marilah kita sama-sama hayati dan laksanakan wasiat Baginda dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh berliku.


 Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikan ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. 

Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan  harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun supaya orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba, justeru, segala urusan membabitkan riba dibatalkan mulai sekarang


Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia (syaitan) sudah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara BESAR, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, maka mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Jika mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang


Layani wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah dengan mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setiaDan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat 5 kali sehari, berpuasa pada Ramadan dan tunaikan zakat daripada harta kekayaan kamuKerjakanlah 'ibadat haji' jika kamu mampu

Ketahuilah bahawa setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim lainKamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia daripada yang lain kecuali dalam takwa dan beramal soleh.


Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakanOleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas kewafatanku. 

Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepas aku dan tidak akan lahir agama baruOleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kataku yang sudah aku sampaikan kepada kamu. 

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku.


Hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga orang yang terakhir lebih memahami kataku daripada mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya sudah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-Mu.


No comments:

Post a Comment