Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Tuesday, September 27, 2011

PMR Hendak Diduduki(PhD): Moga Berjaya

Peperiksaan demi peperiksaan kita dan generasi kita lalui untuk menjadi manusia berilmu yang lebih baik di kalangan jutaan manusia dan lebih bertaqwa di kalangan billion hamba-hamba Allah swt di dunia ini. Itulah antara jawapan untuk mereka yang bertanya kenapa perlu ada ujian atau peperiksaan. 
Hemm....bayangkan kalau tiada ujian dari mula kita masuk sekolah di tadika sampai keluar universiti. Mesti sehingga kini...kita tidak tahu siapa di kalangan jutaan rakyat Malaysia yang terbaik akademik, akhlak, ko-kurikulum dan kemahiran. Kalau kita tahu sekali pun...ukuran kita mungkin tiada standardnya. Oleh itu, secara fitrahnya, manusia perlukan ujian dan peperiksaan. Cuma mekanisme peperiksaan itu sahaja yang perlu ditambahbaikan dari semasa ke semasa. Lagipun, kita hendaklah mendidik manusia mengikut zaman yang dilalui oleh orang yang didik bukan zaman yang telah dilalui oleh pendidik dan pendidikan hendaklah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.


Bila mengimbau kenangan zaman persekolahan peringkat rendah dan menengah, sudah pasti aku tersenyum sendirian. Kelakar mengingatkan kembali zaman 'innocent' yang membara dengan semangat juang dan dilimpahi kasih sayang keluarga, pendidik dan masyarakat. Semua rakyat bersemangat untuk belajar kerana mahu menjadikan diri dan negara Malaysia lebih maju. Kini...anak-anakku yang meneruskan perjuangan menuntut ilmu yang sememangnya dituntut oleh agama Islam.
Bila musim peperiksaan tiba, ibu merupakan orang yang paling tidak lena tidur, sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Inilah perasaan yang ibuku rasai pada 30 tahun yang lalu. Aku, kini, lebih mengerti...perasaan seorang ibu. Minggu ini, InsyaAllah, aku dan suami akan ke MRSM Ulul Albab Kota Putra, Terengganu untuk bertemu Dinie, anak sulungku, yang akan menghadapi PMR, Oktober depan - Program Pohon Restu Ibubapa Untuk Anak-anak yang menghadapi PMR.

Friday, September 23, 2011

Pusaka Harta Diwasiat(PhD): Untukmu Warisku

Antara Warisku...
Kurasakan hidupku sudah terlalu hampir dengan kematian. Jika mengikut umur kewafatan Rasullullah saw, umurku berbaki 20 tahun lagi. Jika melihat trend terkini ramai yang meninggal dunia di bawah umur 50 tahun, maka aku berada di zon bahaya. Aku tak tahu bagaimana pengakhiran hidupku dan selalu mengharapkan diakhiri dengan husnul khatimah. Di samping bimbangkan persediaanku untuk bertemu Allah swt, aku juga bimbangkan persediaanku untuk mereka yang ditinggalkan. Aku bimbang mereka yang kutinggalkan hidupnya kelam kabut dek harta peninggalanku. Sudah tentu rohku juga tidak aman di alam sanaBukan salah mereka yang kutinggalkan TETAPI salahku semasa hidup. Tidak meninggalkan sebarang nota pesanan.

Berbekalkan penjelasan para ustaz di rancangan Tanyalah Ustaz TV9, pembacaan buku tentang wasiat serta faraid serta pengalaman ibubapaku menguruskan harta pusaka, diri rasa terpanggil untuk menulis wasiat. Harta yang dimiliki tidaklah seberapa. Realitinya, sebagai orang berkerjaya, sekurang-kurangnya seseorang itu mungkin ada kenderaan, akaun simpanan (untuk kemasukan gaji), KWSP, insuran, akaun tabung haji, khairat kematian, akaun amanah saham (ASB/ASW/ASN), ahli koperasi, rumah atau tanah

Brosur As-Salihin Trustee Berhad
Alhamdullillah...sewaktu mengikuti satu kursus di Surau Al-Furqan, Puncak Alam Mei lalu, aku dipertemukan dengan agen sebuah institut penyedia wasiat, As-Salihin Trustee Berhad. Kini, aku telah merasa lega kerana proses menulis wasiat fasa pertama telah pun bermula. Terasa beban di bahu ini ringan walaupun bahu dan leherku sakit dek 'salah bantal'. Aku bukan sahaja mengagihkan harta ini untuk warisku malahan sebahagian harta yang 'ciput' ini juga dapat disisipkan untuk saham akhiratku. Biarlah kita keluarkan wang sedikit untuk menyiapkan wasiat ini daripada kita sengsara di alam kubur yang pada masa itu...kita sudah terlambat untuk berbuat semuanya!

Buku Nota Wasiat
Marilah kita semua sebagai umat Islam sejati...menulis wasiat sebelum kita meninggal dunia samada menulis wasiat sendiri (rujuk buku yang bertajuk Nota Wasiat oleh Ustaz Md Ghazali Ibrahim) atau melalui institut penyedia wasiat. Kasihan harta orang Islam yang masih tidak boleh diuruskan disebabkan kejahilan dan kedegilan kita sendiri mengenai ilmu faraid dan wasiat. Jika kita boleh mengatasi kejahilan dan kedegilan ini, maka kita ,insyaAllah, akan sedikit berbahagia di alam barzakh nanti. Untuk waris yang ditinggalkan, kirimkanlah sedekah untuk arwah pada setiap lepas solat kalian. Aman di dunia, aman di akhirat...aman mereka yang ditinggalkan di dunia, aman mereka yang meninggalkan dunia. Ameen...

Tuesday, September 20, 2011

Punca Harakat Ditemui (PhD): Sains Tajwid


Ramadan telah berlalu. Maka kelas hafazanku pada setiap malam telah pun bermula semula. Ustaz Shahzam dan Ustaz Shahir begitu sabar mengajar aku. Sebelum menghafaz Al-Quran, kedua-dua ustaz mahu aku menguasai sains tajwid yang pada asasnya ada 2 aspek iaitu sebutan huruf (makhraj) dan bagaimana mengaplikasi makhraj mengikut konteks yang telah ditetapkan (contohnya hukum nun mati dan mim mati, berapa harakat perlu dibaca).

Buku rujukan tajwid yang kubeli suatu masa dulu, kini dibelek dan dibaca semula. Di akhir kelas, Ustaz Shahzam selalu memberi kata-kata motivasi yang dipetik dari Al-Quran, hadis dan pengalaman beliau. Beliau mahu anak muridnya tidak berputus asa dalam belajar Al-Quran. Ustaz kata: "Sekurang-kurangnya ada dua pahala orang belajar Al-Quran perolehi iaitu baca dengan betul dapat 10 pahala untuk setiap huruf  dan sabar dalam belajar dapat pahala lagi."

Usah ambil hati atau kecewa jika ustaz sering membuat teguran terhadap sebutan huruf dan hukumnya yang kita sangka betul. Niatlah belajar Al-Quran kerana hanya kerana Allah swt, bukannya tujuan menunjuk-nunjuk atau menjaga hati kedua orang tua. Di rumah, banyakkan buat latihan...latihan membaca Al-Quran. 

Kekadang kuterfikir...jika aku boleh peruntukan masa dan tenaga untuk belajar sains teknologi hingga ke tahap tertinggi, mengapa aku tidak boleh meluangkan wang, masa dan tenaga untuk mendalami mukjizat yang ditinggalkan Rasullullah saw iaitu Al-Quran? Tahu ilmu sains teknologi BELUM tentu seseorang itu dapat memahami Al-Quran TETAPI jika faham Al-Quran sudah tentu seseorang itu BOLEH memahami ilmu sains teknologi. Itulah andaian aku...yang baru memulakan semula belajar sains tajwid. Marilah kita  belajar SAINS TAJWID dan Al-Quran.

Monday, September 19, 2011

Pasti Harmoni D'Penang (PhD): Tradisi Rayanya...

My Three Heroic Sons
Beraya di Penang tidak seriuh beraya di Kota Tinggi. Sebabnya kami sampai Penang dah raya kedua. Tambahan pula, aku adalah menantu tunggal...jadi yang nak meriuhkan suasana bergantung pada 3 orang anak lelakiku. Dinie dan Dhia dah meningkat remaja, kurang riuhnya. Harapkan Danish serta anak-anak kepada sepupu suamiku, Fadzli,  untuk memecah kesunyian. Sepupu yang lain (anak-anak Pak Ngah dan Pak Su) seperti Hidayah baru sahaja berumah tangga, Fitri sudah bekerja tapi masih bujang manakala Azwan, Azam, Aqilah dan Shikin masih menuntut!

Sebahagian Keluarga Penang
Raya di Penang selalunya ada keluarga wajib yang saling ziarahi menziarahi iaitu keluarga Pak Jang (sebelah rumah mertuaku aje), keluarga Pak Su Aris (sebelah rumah Achik, pun dekat rumah mertuaku juga), keluarga Tok Su Kepala Batas (termasuk Kak Ton dan Kak Ani), keluarga Pak Cik Zin Padang Benggali dan keluarga Tok Long Bayan Baru (termasuk Ina & Sabri dan Pah & Mohamad). Biasanya ahli keluarga ini menziarahi mertuaku dan kemudian makan-makan raya diadakan di rumah Achik

Achik merupakan adik kepada ibu mertuaku...yang bernama Fauziah. Achik seorang yang rajin dan suka melayan tetamu yang datang ke rumahnya. Tetamu pasti tidak merasa kekok, kalau Achik ada. Achik seorang yang peramah dan telus tutur katanya. Hemm...dia juga pelihara kucing. Dia sayang kucing lebih daripada dia sayangkan dirinya sendiri. Achik merupakan antara orang yang membuatkan aku rasa teruja untuk balik Penang. Aku selalu rindukan Achik!

Keluarga Kak Asmah
Raya kali ini kami dapat bertemu dengan keluarga Kak Asmah di Bagan Lalang. Mereka sekeluarga, sebenarnya, bekerja di Selangor. Asyik sungguh bersembang dengan mereka dan kami merancang untuk bertemu bila pulang ke Selangor nanti. Rancang makan ikan bakar di Pantai Jeram! Sehari sebelum pulang ke Puncak Alam, kami sempat ke Padang Besar. "Dinie nak baju macam abah pakai...eksklusif!", katanya padaku. 
Ladang Tebu Chuping
Masjid Salahuddin, Padang Besar





Saturday, September 17, 2011

Paper Hampir Due(PhD): Siap Sedia...

Teruskan Menulis/Menaip!
Kalau kita tonton cerita di TV, hati teruja bila menunggu saat-saat akhir untuk mengetahui bagaimana tamatnya kisah tersebut. Itulah cerita di layar...takkan sama dengan kisah realiti. Bukan...aku tak tahu bila akan berakhir. Bila hari dah semakin hampir, diri tak keruan. Gelabah sana sini. Dalam keadaan kegelisahan, tiba-tiba datang amanah lain dan prioritinya adalah wajib dari segi hukum syarak. Mahu tak mahu, hukum syarak perlu didahulukan. Begitulah nazaknya aku ...bila dah saat akhir baru nak menyiapkan kertas akademik yang memerlukan lebih 6000 perkataan! Sakitnya kepala! Tidur pun tak lena kerana otak ligat berfikir bagaimana mahu mengimbangi antara tanggungjawab sebagai hamba Allah, pelajar, kawan, ibu, isteri dan anak pada saat-saat kritikal begini

Sudah beberapa kali aku 'tersengaja' melakukan begini. Adakah aku tidak belajar dari kesilapan lalu? Adakah aku alpa atau terpedaya dengan bisikan syaitan? Syaitan selalu berbisik: "Tak apa....lama lagi....sempat tu!" Benarlah yang termaktub dalam kalam Allah: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh." 

Di pagi raya
Agak-agak kalau aku tahu bila hidup ini nak 'due', adakah aku akan berlengah begini? Adakah aku masih mencari alasan bahawa syaitan yang durjana memperdayakan aku? Bila detik itu tiba, aku tak mampu berkata apa-apa kecuali iman yang kental...mampu menggerakkan lidahku mengucapkan dua kalimah syahadah. Bila ingat mati, baru hadir keinsafan dalam diri bahawa masa itu singkat dan tak boleh dipersia-siakan walaupun sesaat.

Terngiang-ngiang kata-kata motivasi Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah dalam rancangan Tanyalah Ustazah edisi raya, TV9...tentang fadilat seorang penghafaz Al-Quran: "Di akhirat kelak para tahfiz ini, sewaktu di syurga, akan memakaikan mahkota untuk kedua ibubapanya. Hadiah terindah untuk mereka!" Lantas  terbayang wajah kedua ibubapaku di Felda...mengalir air mataku. Mampukah aku memakaikan mahkota untuk kalian berdua di syurga kelak? Persoalannya - layakkah aku memasuki syurgaMu, Ya Allah?

Tuesday, September 13, 2011

Penuh Hama D'Dello (PhD): Ampunkan Kami...

Vakum Letih...
Belum pun hilang penat beraya, aku dan suami sedang bertungkus lumus membersihkan seluruh isi rumah. Setiap sisi rumah (luar dan dalam) kami bersihkan. Kasihan jiran...bunyi bising akibat penggunaan vakum pembersih tak tentu masa. Semua tempat yang memerangkap habuk dan telah lama tidak dibersihkan, kami selongkar dan vakum.

Selepas vakum, kami sembur tempat-tempat tersebut dengan Baygon Cockroach Control. Setiap hari, tidak kurang dari 2 botol Baygon habis digunakan untuk menyembur zon-zon kritikal. Kereta kami juga terpaksa disembur dengan Baygon! Tidak cukup dengan itu, kesemua alas kaki, tikar, selimut, tuala, cadar, selipar bilik tidur dan sarung bantal kami basuh. Semua aktiviti pembersihan agresif ini disebabkan serangan hama pada Dello dan kami berdua (anak-anak selamat :-)). 

Ayat Allah
Sebagai hamba Allah, lafaz pertama yang perlu diucapkan ketika ditimpa musibah adalah ayat-ayat Allah seperti yang tertera pada gambar di sebelah kanan. Itulah nasihat Ustaz Dr Mohd Shafie Mohd Amin dalam rancangan Tanyalah Ustaz TV9 yang bertajuk Al-Quran Sebagai Penawar minggu lalu. Malangnya, aku sering melafazkan ayat ini apabila mendengar kematian sahaja.

Ustaz berpesan lagi agar kita berusaha untuk mengubah skrip negatif dalam otak kita kepada skrip positif yang terdiri daripada ayat-ayat Allah agar ianya menjadi antibodi rohani kita yang kuat untuk menghadapi segala kesulitan dan ujian hidup (rujuk majalah Solusi isu no 35, mukasurat 21).

Pembunuh Hama!
Sebagai salah satu ikhtiar, kami bawa Dello ke Klinik Veterina IMAKATZ CATTRY di Kota Kemuning dan alhamdullillah kami ditemukan dengan Presiden Persatuan Peminat Kucing Malaysia (MCFA), Tn Ismail Mohd Ali yang memang mahir dan pakar tentang kucing. Beliau berkata: "Jika kami lambat bawa Dello, kemungkinan dalam 3 hari lagi, Dello akan mati disebabkan serangan hama tersebut. Terlalu banyak hama pada badan Dello!" Tersentak kami. Kasihannya Dello!

Tn Ismail menyarankan agar kami menggunakan Baygon untuk membersihkan hama serta larvanya di seluruh rumah. Beliau juga berpesan agar kami berdua menyapu krim yang diberikan oleh doktor dan makan ubat cacing agar larva pada gigitan hama di badan kami mati.

Dello kesakitan...
Kami bermuhasabah di atas musibah ini. Dan kami berpendapat kami kena lebih prihatin dengan penjagaan Dello (nota: tambah ilmu tentang penjagaan kucing) dan juga lebih menjaga thaharah (nota: bulu kucing yang gugur adalah najis) agar ibadah khusus terutamanya solat mengikut spesifikasi yang telah digariskan oleh Allah swt. "Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapati-Nya di hadapan engkau."(Riwayat Al-Tabarani). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dello dan kami sekeluarga kini selamat dari serangan hama. 

Sunday, September 11, 2011

Prof Hijrah D'Madinah (PhD): Bahagianya Mereka

Pada 7.9.11, aku dan suami dapat bertemu Prof Dr Hj Muhd Kamil sekeluarga di KLIA. Kami berdua adalah tetamu terakhir sebelum mereka berlepas ke Madinah; bumi hijrah yang mendamaikan. Melalui blog Prof, kami tahu Prof bermalam di Pan Pacific Hotel KLIA, mereka akan berlepas pada pukul 3 petang dan check-in sekitar pukul 12.00 tgh - 1 ptg. Kami tawaf dua kali untuk mencari Prof sekeluarga di Dewan Berlepas. Sekitar lebih kurang pukul 1.10 tgh, di celah-celah orang ramai kami ternampak kelibat mereka yang sedang bergegas ke gate pelepasan. Hatiku berbisik: "Alhamdullillah...memang rezekiku dapat bertemu mereka kali ini." Dek keterujaan, tanganku terketar-ketar semasa merakamkan gambar mereka sekeluarga dan menjadikan beberapa gambar penting tidak begitu jelas kelihatan.  

Prof Dr Hj Muhd Kamil merupakan boss kami semasa kami berkhidmat di UiTM Johor dulu di mana beliau sebagai (1) Timbalan Pengarah Akademik dan  juga (2) Pengarah Kampus. Banyak yang kami pelajari darinya dan banyak yang beliau sekeluarga bantu kami sekeluarga. Jasa Prof sekeluarga dikenang sampai bila-bila. Hanya Allah swt sahaja yang mampu membalasNya. Kini, mereka sekeluarga sedang berbahagia di bumi haram Madinah.
Sofea Menangis, Roza Melambai
Melangkah Masuk...


Bersama Prof Sekeluarga
Prof  Beri Passport 

Saturday, September 10, 2011

Pagi Hiba D'Lebaran(PhD): Raya Pertama

Anak & Menantu Mak Abah
Cucu-cucu Mak Abah

Mengisi Ketupat
Beberapa minit sebelum pengumuman raya dibuat, anak-anak adikku yang ke-lima, semuanya dipanggil untuk menonton pengumuman tersebut. Aku hairan. Adikku berkata: "Sejak mula kahwin lagi, suaminya, Bad, seolah-olah mewajibkan mereka sekeluarga menonton pengumuman tersebut agar 'feel' raya dapat dirasai." Tambah beliau lagi: "Selepas bertakbir di masjid pada malam raya, dia sekeluarga akan pusing satu kampung untuk melihat keindahan dan kemeriahan malam raya."

Bagusnya aktiviti ini...di samping boleh merapatkan hubungan ahli keluarga, ianya juga satu pendidikan yang baik dalam memahami erti sambutan Aidil Fitri. Belajar melalui pengalaman memang lebih berkesan! Hemm...boleh ke aku buat macam ni tahun depan? 
Kek Belated Birthday Untuk  Abah
Kepulangan mereka dinanti-nantikan!
Raya kali ini aku amat bertuah kerana dapat bertemu 7 daripada 8 adik-adikku. Selalunya sukar untuk berkumpul sekaligus kerana giliran raya yang masih belum berjumpa titik pertemuan yang SAMA. Kami adik beradik juga berkesempatan membuat kejutan untuk abah dengan menghadiahkan kek harijadi yang ke-67 (happy belated sebenarnya). Sesi memotong kek dibuat selepas sesi bermaaf-maafan di pagi raya pertama. Ada kelainan aidil Fitri kali ini (solat isya berjemaah dan kemudian takbir raya beramai-ramai di rumah...rasa sedih ada, rasa tenang pun ada)! Petangnya, aku sekeluarga terus berangkat ke Puncak Alam untuk meneruskan perjalanan berhari raya di Penang, rumah mertuaku, pula.

Friday, September 9, 2011

Puitis Hati Dikirim (PhD): Ucapan Raya

Kad Raya dari Perdana Menteri
Kiriman kad raya telah hampir pupus setelah kehadiran kad ucapan elektronik (e-kad/ucapan sms/ucapan FB). Sewaktu pulang beraya, ayahku sempat menunjukkan kad raya yang diterimanya dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kegembiraan terpancar di wajahnya; mungkin kerana Perdana Menteri yang kirim ATAU itulah satu-satunya kad raya yang dia terima tahun ini. Maafkan kami adik beradik kerana tidak lagi menghantar kad raya berasaskan kertas pada mak dan abah

Versi sms ucapan telah menyelamatkan aku! Aku berkesempatan mengirimkan ucapan raya dan pohon kemaafan pada atau selepas hari raya pertama. Ucapanku ringkas sahaja iaitu:-
Meriah raya masih terasa
Gembira ria bersama keluarga
Ampun maaf saling dipinta
Moga kita bahagia di syurga.
Aku juga menerima kiriman sms raya lebih banyak daripada kad raya klasik. Kad raya klasik boleh disimpan dan digantung pada pokok hiasan. Namun bagiku, yang lebih penting adalah hubungan silaturahim dan kemaafan sesama insan kerana ianya adalah antara penentu aku dinilai untuk menjadi ahli syurga atau ahli neraka. Kesalahan sesama insan akan melambatkan proses hisab di padang masyhar nanti yang entah bagaimana kacau bilau dan panasnya. 


Usahlah diungkit kisah yang telah menjadi SEJARAH kerana kita tidak boleh mengubah masa lampau tetapi kita boleh mengubah MASA DEPAN. Ambil sejarah sebagai sempadan dan baiki masa depan untuk hidup dunia dan akhirat LEBIH BAHAGIA. Jadikan diri KITA MENANG dan SYAITAN KALAH!

Oh ya...inilah cara saya menyimpan sms raya...ditulis semula di laman blogku tanpa nama pengirimnya; di antara sms raya yang menarik ialah:-

Ucapan 1
Jika kesilapan semalam belum terampun, mohon “MAAFKANLAH”,

Jika kesilapan hari ini menyakitkan hati, pinta “LUPAKANLAH”,

Jika kesilapan esok mendatang, janganlah dibawa ke AKHIRAT,

Mohon ampun dan maaf andai…
Terkasar bahasa, terlanjur bicara,
Kerna kami insan biasa…

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
Ucapan 2
Nyimpen jenang nag jero tin
Arek digowo mareng suro
keluputan kulo lahir batin
Salah silap njalok ngapuro.

Bocah cilik mangan sego
Sego dipangan karo gulo
Wes suwi orak ngomong jowo
Dino royo njalok ngapuro.

Buko poso lawuh'e gereh
Njegor sunge dicaplok boyo
Keluputanku sing akeh akeh
kito 0-0 lah yo?
sELAmAt hAri r@yA m@@f zAhiR & bAtin.

Ucapan 3
Setitik embun dipohon rimbun
Di atap nipah air tergenang
Dosa bertimbun mohon diampun
Salah dan silap jangan dikenang
Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin

Ucapan 4
Sebulan puasa sebulan raya
Diraikan dengan penuh gembira
Apelah nasib orang bekerja
Br 5 hari raya dh start semula...
Selamat hari raya aidil fitri maaf dipinta jika ada tersalah kata, terkasar bahasa, mengguris jiwa
Ucapan 5
Sebening air wudhu
Sesuci al-Quran
Semerdu alunan zikir
Seindah solat 5 waktu
Setenang hati yang tiada rasa benci dan dendam.
Andai tanganku tak sempat berjabat, jika muka tak sempat bertatap, bukalah pintu kemaafan untukku...
Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin

Ucapan 6
Ada tikanya
MATA slp mmndang,
TLNGA slh mndngr,
LDAH t’lnjur kta,
FKIRN khilaf mnfsir &
HTI slp mendga,
Mhon MAAF seglanya.
“S£MT ARI RYA AIDILFITRI MAAF ZHIR & BTIN”
Ucapan 7
Recyclable sms jd ucapan,
Tapi yang ini original punya,
Maaf dipinta atas kesalahan
Moga silaturahim kekal selamanya.

Ucapan 8
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi..
Dalam kelembutan lidah ada ketelanjuran kata..
Dalam gurau senda tentu ada khilaf dan dosa..
Mohon ampun dan maaf untuk segala-galanya dan Selamat Hari Raya.
Ucapan 9
Kerana “Ikhlas” hati jadi bersih,
Kerana “Iman” hati jadi kuat,
Kerana “Akhlak” hati jadi indah,
Kerana “Maaf” hati jadi kaya,
Dan jika ada lisan mengusik sanubari, Jika ada tingkah melukai
Jika ada sikap menuai benci
Mohon maaf setulus hati !
Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.
Ucapan 10
Pelita dipasang berkelip-kelip
Rumah Ceria Bertambah Aman
SMS dihantar Pengganti Diri
Memohon maaf serta Mengucapkan Selamat Menyambut Hari Lebaran.


Wednesday, September 7, 2011

Pencari Hari Dimuliakan (PhD): Lailatul Qadar

Kumasih merindui bulan Ramadan. Suasana bulan Ramadan sangat unik. Antara keunikan yang dinanti-nantikan ialah Lailatul Qadar.  Hati teringin sangat menyaksikan saat-saat ajaib Lailatul Qadar seperti yang dialami segelintir muslim terpilih. Pelbagai tips yang diambil dan didengar dari pelbagai sumber buku dan kuliah agama untuk mendapat Lailatul Qadar. Antara tipsnya adalah pada malam-malam ganjil Ramadan seperti 21, 23, 25, 27 dan 29. Mengikut taakulan Imam Syafie (ku dengar melalui program Ihya Ramadan di TV Al-Hijrah), sekiranya 1 Ramadan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadar adalah 21 Ramadan. Seorang sahabatku yang merasai kehadiran Lailatul Qadar mengesahkan bahawa untuk tahun ini, perkiraan Imam Syafie itu betul. Untungnya sahabatku ini!

Di Ramadan lalu, aku berpeluang merasai suasana berbuka puasa dan bersolat tarawih di dua masjid besar iaitu Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin (dikenali sebagai Masjid Besi) di Putrajaya dan Masjid Wilayah Persekutuan (kami panggil Masjid Biru) di Jalan Duta. Terasa anjakan kekhusyukan dalam solat bila bertukar masjid; mungkin kerana imam yang membaca surah mengalunkan bacaannya mengikut pengertian ayat; ada nada sedih, ada nada biasa, ada nada tinggi dan ada nada lembut. Bacaan ayat-ayat suci tersebut terkesan masuk ke dalam hatiku. Satu lagi keistimewaan ialah ayat yang dibaca tidaklah panjang, 5 hingga 6 ayat sahaja dan bukannya dari surah-surah lazim.


Benarlah nasihat seorang ustaz, jika kita terasa jemu dengan suasana yang sama, pergilah dari satu masjid ke satu masjid yang lain. Kelainan suasana sekali sekala benar-benar dapat melonjakkan rasa pengabdian ke Allah swt. 

Ruang Solat Masjid Besi
Sampai Sebelum Iftar

 
Masjid Besi di waktu malam
Berkenalan Dgn Jemaah
Nikmat Selesa di Masjid Wilayah
Masjid Wilayah...ala-ala Masjid Biru
Juadah berbuka puasa
Jemaah di Masjid Wilayah

Tuesday, September 6, 2011

Penghujung Hari D'Ramadan (PhD): Ziarah Pra-Raya

Bersama Mama
Bersama Papa
Aidil Fitri kali ini, giliran raya pertama di Kota Tinggi. Kami pulang pada 27 Ramadan lalu dan singgah di Segamat untuk mengambil tempahan kuih kegemaran ibu dan ibu mertuaku - kuih 'cheese cake' yang berkhasiat! Terima kasih Kak Yah (Puan Ruwiyah) kerana sudi terima tempahan 'last minute' ku. Oleh kerana laluan yang sama, kami sekeluarga mengambil kesempatan singgah rumah Mama dan Papa - mereka adalah keluarga yang telah  banyak berjasa padaku terutama dalam menjaga dan membesarkan anak-anakku sewaktu berkhidmat di Segamat dahulu

Danish luka...
Pada 28 Ramadan pula, aku sekeluarga bersama keluarga adik keempatku, Kamariah, berkesempatan melawat adik keenamku, Nizam, yang patah kaki akibat kemalangan jalanraya pada bulan Julai lepas, di rumah ibu mertuanya di Johor Bahru. Lega melihat mereka sekeluarga sihat! Sebelum pulang, Danish mendapat satu luka sebagai 'hadiah kenangan' - terlanggar pasu bunga. Alamak, terlupa pula nak letak minyak gamat dalam kereta!

Lebuhraya Senai-Desaru - Laluan Kami
Kemudian, kami dua keluarga berbuka puasa di rumah adik pertamaku, Salina, di Pasir Gudang. Lepas berbuka, kami tiga keluarga bersolat tarawih untuk malam 29 Ramadan di surau berhampiran. Kebetulan pula, adik iparku, Yusof, merupakan imam ketiga di surau tersebut. Semasa berjalan kaki menuju ke surau, Ina bercerita: "Inilah surau yang Ina dengar boss kak Ana ceramah tentang haji...hemm...namanya Prof Dr Hj Muhd Kamil."  Ini merupakan ziarah pra-raya yang paling terindah buatku

Monday, September 5, 2011

Pohon Hidup D'Syurga(PhD): Mati Syahid

Menonton dan membaca berita sedih tentang kematian jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor akibat terkena tembakan di Somalia sungguh menginsafkan. Dalam usia muda menemui Allah swt dengan penuh kehormatan - mati syahid. Moga anak lelaki arwah iaitu Muhammad Irfan Ilham, 8 tahun (sebaya dengan anakku, Danish) dan Muhammad Naufal, 3 tahun, akan mengikut jejak langkah syahid ayahnya. Arwah telah mempamerkan semangat jihad rakyat Malaysia. Ucapan takziah untuk keluarga Noramfaizul agar terus tabah menghadapi kehidupan mendatang.

Arwah Siti Mariam Abdul Aziz
Kisah syahid Noramfaizul mengingatkan aku akan seorang rakan sekerja, Siti Mariam Abdul Aziz ,39, menemui Allah swt pada 18 Ogos lalu (bersamaan 18 Ramadan). Beliau meninggal dunia sewaktu melahirkan anak yang berposisi songsang. Anaknya juga meninggal dunia. "Untungnya Mariam, mati syahid. Hidupnya diakhiri dengan penuh keindahan syurga!" detik hatiku. Kenangan terakhir aku bersama arwah adalah lawatan sambil belajar ke Sarawak tahun 2003. Arwah merupakan seorang yang sangat baik hati dan tutur bicaranya sentiasa lemah lembut.

Setiap kematian membawa seribu satu macam pengajaran, kesedaran dan keinsafan bagi mereka yang masih hidup. Bukankah orang cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati? Salah satu cara mengingati mati ialah melalui berita kematian serta mengambil langkah proaktif untuk memperbaiki kehidupan mendatang dengan mengambil iktibar dari kisah-kisah kematian ini. Perbaiki kehidupan mendatang agar hidup lebih barakah di sisi Allah dalam meniti hari-hari menuju kematian yang entah bila tibanya.  

Moga kita mengakhiri hidup kita dengan kesudahan yang baik. Itulah antara doa yang sering kita lafazkan namun seringkali jua kurang kita hayati. Hati bagaikan keras membatu...dan air mata langsung tidak menitis ketika membaca doa ini sedangkan inilah antara doa terpenting untuk kita.
اللهم أختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا بسوء الخاتمة  
Maksudnya: "Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik."