Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Wednesday, March 30, 2011

Birthday - Terima kasih Pada Semua

Kek Birthday di Secret Recipe
Terima kasih ibu yang bersusah payah melahirkanku; 43 tahun lalu. Aku boleh bayangkan bagaimana sakitnya melahirkan anak. Aku merasainya sendiri ketika melahirkan Dinie, Dhia dan Danish. Namun, ku yakin kau pasti tersenyum bila melihat wajah anakmu ini. Lebih-lebih lagi aku merupakan anak sulungmu. Abah pasti tersenyum riang kerana telah mendapat zuriat sebaik setahun berkahwin. Kegembiraan mak dan abah melimpah ke datukku dan nenekku; Malip dan Biah.



Ibubapaku, anak2ku & adik2ku
Dek kegembiraan dan harapan yang tinggi kepadaku pada waktu itu, aku diberi nama Sharifah; yang membawa erti mulia. Ahli keluargaku berdoa agar suatu hari nanti aku menjadi seorang pensyarah universiti. Ternyata doa mereka termakbul; sedangkan pensyarah tidak pernah ada dalam senarai kerjaya pilihanku sewaktu di sekolah dan di universiti. Erti namaku itu sebenarnya sangat memberi impak yang besar dalam kehidupanku. Ianya sentiasa memotivasi kan diriku untuk menjadi hamba yang mulia di sisi Allah dengan membuat kerja-kerja mulia sepanjang hayatku.

Birthday suami 15 Mac lalu
Alvin - Birthday yg sama dgnku
Solat Zohor di Masjid Al-Falah, USJ9
Tak sangka birthday tahun ni, suami ajakku ronda-ronda dari satu highway ke satu highway; hanya untuk ke The Summit USJ. Seperti biasa kedai buku bagaikan syurga untukku. Kedai Buku Popular kusinggah untuk beli kad dan buku; antaranya buku yang kubeli bertajuk 'Dahsyatnya Doa Para Nabi". 
Surprise! Suamiku membelikan hadiah harijadi. Membuatkan aku lebih teruja bila jurujual di kedai "beli hadiah" tu, Alvin, pun menyambut hari jadinya hari ini (30 Mac).  Lepas makan tengahari di Restoran Johnny Steamboat, kami singgah di Masjid Al-Falah USJ9. Benarlah kata suamiku, "Masjid ni cantik hiasan dalamannya." Terasa kedamaiannya seperti Masjid Nabawi. Lama aku duduk menginsafi diri dalam masjid ini.

Kad Birthday utk suamiku!
Setelah selesai beberapa urusan di Shah Alam, kami menuju pulang ke rumah. Hemm...suami singgah  di Secret Recipe, Puncak Alam pula untuk makan petang. Wah! kek birthday 2 slice sahaja tapi sangat cantik dan semestinya sedap. Terima kasih, my hubby!
Terima kasih kepada Ham (seminggu awal wish), Dinie, adik2ku, Fizah, Onah, Azliza, Kak Izah, Kak Dira, Kak Tikah, rakan2 Segamat, Marsha (anak Dr Ifa; birthday 27 Mac) dan Dr Ifa yang menghantar sms dan call. Special gitu! Balik rumah...tengok Facebook. Balas ucapan dari semua rakan-rakan (Segamat, Shah Alam, Group Rasch & sekolah) dan pelajar-pelajar ku dengan hanya klik "Like". Begitulah mudahnya FB yang boleh mengeratkan silaturrahim dan menghubungkan semula silaturrahim yang lama terputus (rakan sekolah rendah dan menengah!).

Terima kasih atas ingatan dan kasih sayang kalian semua. Sama-samalah kita berdoa agar Allah mempermudahkan urusan dunia dan akhirat kita semua. Amin 3x.

Tuesday, March 29, 2011

Pengajian Penuh Persoalan & Pilihan (4P)

Rujukan Solat Istikharah
Menjadi seorang pelajar pada usia 40-an, membawa aku lebih mengenali diri sendiri sebagai seorang hamba kepada Maha Pencipta, Allah swt. Seorang hamba yang tidak punya apa-apa tetapi pada masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi ini.

Dalam tempoh pengajian ini, terlalu banyak artikel yang dimuat turun daripada Google Scholar, ACM, Science Direct, IEEE dan pelbagai digital journal. Banyak buku yang dipinjam dari perpustakaan PTAR1 dan dijadikan rujukan untuk menambah kefahaman dalam bidang yang dipilih. Kekadang terasa muak dan buntu melihat timbunan artikel dan buku.

Terlalu banyak pilihan dan persoalan! Bagaimana nak mengatasi masalah ini? Ada jalankah? Selain daripada berjumpa supervisors, pakar dan rakan-rakan seangkatan, maka aku mesti mohon pertolongan kepada yang paling pakar iaitu Allah Yang Maha Besar dan Maha Pengurnia. Antaranya dengan cara berdoa dan bersolat iaitu solat istikharah.

Temujanji  
Waktu
Tujuan
Hasil
1.        Allah swt
Bila-bila masa. Dgn solat & doa
·  Mohon apa jua yg dikhendaki
·  Kongsi apa jua yg dirasai; rintihan, kesyukuran dsb
·     Petunjuk Paling Sempurna
·     Ketenangan abadi
·     Kebahagiaan berkekalan
2.        Ibubapa
Bila kita free
·  Melepaskan rasa rindu
·  Mohon doa restu
·   Doa Ibubapa untuk anak-anaknya tak pernah lekang dari bibir mereka
3.        Supervisors
Set  tarikh
·  Mohon doa restu
·  Kongsi pengalaman dan ilmu tertentu
·  Minta nasihat dan tandatangan
·    Supervisors selalu mendoakan anak didiknya dan suka berkongsi pengalaman
4.        Experts
Set  tarikh
·  Kongsi pengalaman dan ilmu tertentu
·  Minta pandangan dan justifikasi tertentu
·   Memenuhi keperluan penyelidikan
5.        Rakan-rakan
Set  tarikh
·  Kongsi pengalaman dan masalah tertentu
·  Minta nasihat tertentu
·   Rakan-rakan sudi mendengar dan membantu mengikut kemampuan mereka


Sinopsis Solat Istikharah
Solat istikharah adalah solat sunat 2 rakaat yang dilakukan dengan tujuan memohon pilihan yang terbaik dan sesuai dengan khendak Allah. Hukum solat ini adalah sunat muakkad bagi mereka yang sedang mengalami masalah dalam konteks memilih. Boleh dilakukan bila-bila masa kecuali waktu diharamkan solat. Solat istikharah bukan terhad kepada memilih jodoh sahaja! Pilih kerja, pilih tempat kerja, pilih bidang, pilih universiti dan pelbagai lagi.

Doa sesudah solat istikharah
"Wahai Allah, aku memohon petunjukMu berkaitan urusan mana yang baik bagiku menurut ilmuMu. Aku memohon kesanggupan kepadaMu dengan kudratMu. Aku memohon kepadaMu daripada keutamaanMu yang besar kerana Engkau Tuhan yang berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau Tuhan yang mengetahui, Engkau Tuhan yang sangat mengetahui segala perkara yang ghaib.

Wahai Allah, apabila Engkau mengetahui urusan ini (sebutkan urusan yang dikhendaki) baik bagiku, agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku dalam masa yang terdekat ataupun masa hadapan, takdirkanlah dia bagiku dan permudahkan. Kemudian, berikan berkat kepadanya. Apabila Engkau mengetahui pekerjaan ini buruk bagiku, agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku dalam masa yang cepat ataupun masa yang lambat, palingkan dia daripadaku dan palingkan aku daripada dia. 

Takdirkanlah kebaikan bagiku di mana sahaja kuberada. Kemudian, jadikanlah hatiku meredhainya."

Monday, March 28, 2011

Soto...Mee Udang Banjir

Setiap hujung minggu kami kerap ke Pasar Ikan Pasir Penambang untuk membeli ikan-ikan dan sayur mayur yang segar. Kekadang pergi ke Kuala Selangor untuk membayar cukai pintu dan tanah. Tak sangka, kini kami lebih kerap ke Pasir Penambang kerana anakku Dhia telah berpindah sekolah dari SMKA Segamat ke SMKA Kuala Selangor pada awal tahun 2011. 

Soto Kg Jawa Segamat
Kalau di Segamat, setiap hujung minggu yang tertentu, kami akan makan soto Kg Jawa. Untuk kami berlima kami akan order: 2 mangkuk soto mee, 1 mangkuk kecil soto biasa, 2 mangkuk soto biasa dan 1 mangkuk kuey teaw soto. Oleh kerana kami regular customer, pelayan gerai tersebut tidak pernah "curious" dengan tempahan kami yang melebihi bilangan orang.  Di Kuala Selangor pun ada soto - cuma kekadang benchmark Soto Kg Jawa Segamat sering mengatasinya terutama keenakan sambal kicapnya!


Mee Udang Banjir Kuala Selangor
Pintu Masuk Gerai Mee Udang Banjir Kuala Selangor

Aha! kini kami sekeluarga sudah menjumpai satu makanan keistimewaan Kuala Selangor iaitu Mee Udang Banjir. Gerainya terletak berhampiran dengan McDonald Kuala Selangor (McDonald yang sedang dalam pembinaaan). Rasa Mee Udang Banjir ini amat berbeza dengan mee udang yang lain. Tengok sahaja bilangan udangnya yang banyak hingga membanjiri mangkuk hidangan. Mungkin itulah sebabnya dipanggil mee udang banjir. Udangnya segar dan kuahnya rasa sangat sedap!

Pertama Kali Dinie Cuba Mee Udang Banjir
Kunjungan Kami Kali ke-2

Kali ke-2 kami singgah makan di gerai ini, kami mendapat tahu bahawa Mee Udang Banjir Kuala Selangor telah membuka cawangannya di Seksyen 7, Shah Alam (hphone: 019-226 4891<update: 10 Julai 2011>) pada 15 Mac 2011 lalu. Wah...ini sangat hampir dengan UiTM Shah Alam! Lepas-lepas kerja bolehlah pergi makan di sana atau bila kawan-kawan Segamat datang Shah Alam, bolehlah belanja mereka mee udang banjir Kuala Selangor. 

Makanan
Halal
Harga
CitaRasaku
1.       Soto Kg Jawa Segamat
ü
RM 2.50
CCCCC
2.       Soto Kuala Selangor
ü
RM 3.00 (biasa)
RM 4.50 (special)
CCC
3.     Mee Udang Banjir Kuala Selangor
ü
RM 6.00
CCCCC

Tahun 2006 di Segamat, kurasai kepayahan dan saat ngeri terperangkap dalam kawasan banjir; terutamanya waktu dalam perjalanan pulang ke Kota Tinggi untuk majlis perkahwinan adik perempuan bongsuku. Kini (2011) di Selangor, aku merasai mee udang banjir. Musibah banjir dan Nikmat Mee Udang Banjir didatangkan kepadaku oleh Allah  adalah kerana Rabbani yang Maha Agung mahu mendidikku supaya sentiasa mengingatiNya dan bersyukur di atas segala yang dikurniakanNya.

Sunday, March 27, 2011

Terus Memohon PetunjukNya

Dinie dan Dhia dah pulang ke asrama masing-masing. Dhia pulang pada 20/3 dan Dinie pulang pada 25/3. Aku terus rasa termangu-mangu untuk meneruskan kerja-kerja seharian terutama PhDku. Ternyata amat berbeza, belajar semasa Master dan PhD.

Semasa aku mengambil Master di UPM pada tahun 1999, sering kali aku berserabut (maklumlah aku dikatakan seorang yang perfectionist + pragmatic) dengan tugas-tugas sebagai ibu kepada Dinie dan Dhia yang ketika itu masing-masing berumur  3 dan 2 tahun. Namun, bila menghadiri kuliah di waktu malam, stres yang dialami waktu siang lenyap dek khusyuk mendengar syarahan para pensyarah dan berbual-bual dengan rakan sekuliah.

Gaya pembelajaran dan stres PhD nyata berbeza. Kini pengajian PhDku telah menghampiri 2 tahun, bermakna hanya ada setahun lagi iaitu 365 hari lagi untuk aku terus berjuang. Kekadang kurasa semuanya tentang PhD masih kabur. Dalam kekaburan itu aku terus melangkah walaupun dengan langkah yang longlai. Semangat juang kekadang tidak konsisten dek pelbagai sebab dan punca yang menunjukkan aku hanya seorang manusia yang lemah. Yang aku amat yakin, dalam kekaburan dan kekalutan aku ini, Allah sentiasa berada di sampingku. Kekadang aku malu pada Yang Maha Kuasa kerana terlalu banyak meminta dariNya sedangkan amalku tidak seberapa.

Lihat sahaja Rukun Islam yang digariskan, aku masih belum berkesempatan menunaikan rukun Islam yang ke-5 itu walaupun aku telah berkemampuan. Ternyata amalku tidak seberapa tetapi nikmat yang Allah berikan padaku setiap saat terlalu banyak. Namun, aku masih terus meminta…kerana "Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.(ayat 5, surah Al-Fatihah)"

Rukun
Pelaksanaan
Pencapaian
1.      Mengucap 2 kalimah syahadah
ü
Yakin. Bila diuji?
2.      Mendirikan solat 5 waktu
ü
Khusyuk? Lupa?
3.      Mengerjakan Puasa Ramadan
ü
Lapar & Dahaga?
4.      Mengeluarkan zakat
ü
Ikhlas? Riak?
5.      Menunaikan Haji sekiranya mampu
û
Belum Tunaikan

Setiap saat aku merintih padaNya: “Ya Allah, berilah dan tunjukkanlah padaku petunjuk dan kuatkan semangatku untuk menjejaki petunjukMu yang terbentang luas di depan mataku. Usah kau pesongkan hatiku setelah Kau beri petunjuk. Sesungguhnya, Engkau Maha Pengurnia, Engkau Maha Luas Kasih Sayangnya dan Engkau Maha Kekal Kasih Sayangnya.”

Thursday, March 24, 2011

Bersama Anak Sulungku

Dinie cuti sekolah lewat sedikit dari anak-anak yang lain kerana sekolahnya menganjurkan program PMR.  Dengan kesempatan yang ada, aku menghabiskan masa belajarku sendiri di rumah untuk menemani Dinie yang juga begitu sibuk dengan kerja-kerja rumahnya. Antaranya kena buat buku skrap Geografi tentang pencemaran. Sekejapnya masa berlalu...dulu bimbangkan dia ambil UPSR, kini PMR pula.

Biasanya jika aku belajar seorang diri di rumah, aku memang tak hirau nak memasak. Makan dan minum apa yang ada. Aku beritahu Dinie, "beginilah mak...kalau study kat rumah. Tak masak langsung. Jadi, Dinie tolong mak beli lauk kat kedai ya. Lauk yang Dinie nak. Nasi, mak masak." Dia hanya jawab sepatah; "Ok."

Tetapi kelmarin (22/3) ada nasi lebih, aku sediakan ramuannya dan minta Dinie gorengkan nasi tersebut. Dinie layan aje maknya. Aku berkata padanya;"Esok, kalau Dinie kena belajar di universiti dan kena masak sendiri, sekurang-kurangnya Dinie tahu nak masak nasi goreng." Dia angguk sahaja. Kulihat Dinie memasak; walaupun nampak kekok tapi dia mahu mencuba. Kuajar dia bagaimana nak pegang telinga kuali sambil memasak supaya kuali tersebut tidak bergerak. Dia tersenyum.

Tinggal Kenangan - Digital Al-Quran lama 
Digital Al-Quran Yg Baru
Semalam (23/3) kami pergi Kompleks PKNS untuk membeli barang keperluan Dinie yang akan pulang  ke asrama esok. Yang paling penting ialah membeli digital Al-Quran bagi menggantikan yang digital Al-Quran yang dah rosak. Ianya merupakan hadiah pertama semasa Dinie dapat masuk MRSM. Puas cari tetapi model yang asal dah tiada. Model tu tahan lasak. Kini beli yang baru yang berbentuk ipod, harganya RM350; mahal dari Digital Al-Quran pertama.

Namun yang penting ilmu Al-Quran tersebut boleh dipelajari Dinie dengan mudah. Kudoakan Dinie bukan hanya mampu menghafaz Al-Quran, malahan menjadi anak yang soleh, murid yang cemerlang dan muslim yang mampu menegakkan syariat Islam.

Monday, March 21, 2011

Kesetiaan Ibubapaku

Biasanya musim cuti sekolah merupakan musim orang Malaysia melangsungkan perkahwinan. Mungkin mengambil kesempatan sanak saudara bercuti. Hati terasa gembira melihat pasangan-pasangan pengantin ini diraikan kerana di wajah mereka terpancar rasa cinta dan kasih. Orang yang melihat pun terasa macam nak melalui semula detik manis tersebut. 

Sewaktu pergi membeli belah di Padang Besar baru-baru ini, kulihat begitu banyaknya perkakasan, hiasan dan kemudahan untuk melangsungkan perkahwinan. Aku membelek-belek kad jemputan yang cantik-cantik rekabentuknya. Masaku dulu, hanya gunakan kertas warna kuning dan merah jambu untuk fotostat kad jemputan. Itupun aku design sendiri guna MS Word yang belum canggih. Melihatkan aku begitu khusyuk...suami menghampiriku. "Hemmm....cantik dan murah, tinggal print isi kandungannya saja." Aku mengangguk setuju. Entah dari mana datangnya kekuatan. Dengan secara spontan, aku terus meluahkan kata hatiku: "Tapi bang... semua ini memang memudahkan majlis perkahwinan tapi...sebenarnya amat SUKAR untuk mempertahankan sebuah perkahwinan."

Kerisauan dalam benak fikiranku tentang keruntuhan institusi keluarga, sebenarnya amat berasas. Awal bulan Mac yang lalu (2-4 Mac) kita dikejutkan dengan berita bahawa di Malaysia setiap 15 minit satu pasangan bercerai  (sumber: JAKIM). Bulan Mac belum pun berakhir satu lagi kejutan hari ini (21 Mac) iaitu 80,979 (34.5% dpd 234,647) anak luar nikah di Malaysia adalah bayi yang ibunya beragama Islam (sumber: JPN). 

Namun, aku selalu mengambil contoh abah dan ibuku. Mereka berdua adalah pasangan yang aku kagumi.  Kehidupan waktu aku kecil-kecil dulu amat sukar...susahnya nak menyara makan minum, pakaian, tempat tinggal dan pelajaran anak-anak. Abah dan mak kerja di ladang getah dan kelapa sawit di Rengam. Jarak tempat kerja dengan rumah agak jauh; sebelum subuh abah dan mak dah keluar rumah. Sebelum pergi kerja, mak dah masakkan sarapan pagi dan makan tengahari untuk kami empat beradik. Sebagai anak sulung, aku kena jaga rumah dan adik-adik sewaktu mak ayah mencari rezeki. Sebelum zohor, mak dan abah dah sampai rumah. Hureyyyy!

Abahku seorang yang sentiasa berpakaian segak dan kemas. Itulah gayanya dari dulu...hingga kini. Abahku memang mahu kelihatan segak walaupun dia hanya nak pergi ke ladang atau kedai depan rumah.  Ramai wanita yang memuji kerana gaya dan wajah abahku yang tampak muda. Jika pujian tersebut dibuat di depan kami, abah selalu menjawab dengan berseloroh: "Muka kata muda, badan kata tua...sakit sana sini." 

Walaupun ketrampilan abah yang buat hati wanita 'tertawan', sepanjang ingatanku...ayahku TIDAK pernah  memuji wanita lain dan TIDAK pernah bangga diri yang dia 'at any time, boleh dapat wanita lain'. Jauh sekali menyuarakan hasrat membuka cawangan lain atau meninggalkan ibuku. Begitu setia dan cintanya abah pada ibuku. Sebelum aku berkahwin, aku selalu mengimpikan seorang lelaki seperti ayahku...setia dan cinta pada isteri sepanjang masa walau di mana jua berada

Aku masih ingat lagi, peristiwa yang melanda perkahwinan mereka berdua. Rasanya...umurku 10 tahun pada waktu tu. Ayahku diburu oleh seorang ibu tunggal yang cantik dan kaya. Aku pernah tengok gambarnya tapi tak ingat langsung bagaimana rupa beliau.  Setiap kali pulang bekerja, ayah dan ibuku pasti berbalah tentang wanita tersebut. Kasihan aku melihat mak, menangis dan merayu pada abah setiap hari. Apa tidaknya, macam-macam benda wanita tersebut berikan pada abahku. Dalam keadaan getir begitu, aku memastikan adik-adikku dalam keadaan aman, keadaan rumah sentiasa kemas dan nasi serta lauk dah masak. Pada umur tu, aku dah tahu memasak nasi, goreng ikan dan buat sambal. Susah nak mengawal adik-adik yang masih kecil. Semua itu kulakukan kerana mahu mak dan abah kembali aman. Hidup susah tak apa, janji keluarga harmoni. Itu saja yang mampu kulakukan di kala itu. Nak pujuk mak tak pandai....nak pujuk ayah tak pandai. Takut pun ada kerana hal-hal orang tua selalunya budak-budak tak boleh masuk campur.

Jika ku imbas kembali; kalaulah abah mengejar kesenangan dan gilakan kecantikan wanita di saat itu, dah tentu abah tinggalkan mak dan kami semua. Itulah takdir. Syukur kerana mak dan abah berjaya mengharungi setiap cabaran perkahwinan tanpa MENGORBANKAN kebahagiaan kami adik-beradik. Abah menerima ibuku seadanya. Begitu juga ibuku...yang menerima abahku seadanya...menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing. Ahh....beruntungnya mereka berdua kerana saling setia dan cinta mencintai sepanjang masa.

Abah dan Mak di rumahku 
Aku banyak belajar daripada mereka berdua. Mereka berdua adalah idolaku dalam mengharungi bahtera perkahwinan dalam era tanpa sempadan - yang begitu banyak peluang dan ruang untuk berlaku curang dan maksiat. Ya Allah, lindungi lah keluargaku, satukanlah hati-hati kami sekeluarga dan rahmatilah kami sekeluarga. Restuilah cinta kami .. cinta yang berpaksikan cinta padaMu, Ya Allah. Ya Allah, ku memohon rahmat dariMu kerana sesungguhnya kau Maha Pengurnia.

Sunday, March 20, 2011

Perkahwinan Sebelah Lelaki

Majlis perkahwinan sepupu kami iaitu Nurhidayah dan pasangannya Azidy. Kali ini adalah majlis di pihak pengantin lelaki pada 13 Mac 2011, di Nibong Tebal Pulau Pinang. Tarikh tersebut menandakan telah bermulanya cuti sekolah penggal pertama. Tapi anak sulungku, Dinie Syahiran pulang bercuti agak lewat iaitu 16 Mac. Untuk menjimatkan masa, wang dan tenaga, kami sekeluarga menghadiri majlis ini tanpa Dinie dan terus mengambil kesempatan bercuti beberapa hari di rumah mertua; Teluk Air Tawar (TAT).

Petang 12 Mac baru kami bertolak ke TAT. Oooo...kami bawa kucing kesayangan kami, Dello. Perjalanan mengambil masa 4 jam dari Puncak Alam ke TAT. Sewaktu berhenti di R&R Bukit Gantang, aku sempat membeli buah jambu potong yang dibubuh serbuk asam. Tetapi kali ini, jambunya sangat manis...ini baru betul2 jambu! Di R&R Bukit Merah pula, aku tertawan dengan rekabentuk suraunya. Tengok gambar surau di sebelah. Cantik...kan! Maaf gambar jambu tak sempat amik...dah habis masuk dalam perut.


13 Mac kami bergerak berkumpulan dengan semua sanak saudara Pak Ngah dan Mak Ngah...rasa-rasanya 10 buah kereta. Yang paling aku teruja ialah bapa mertuaku ikut sama. Selalunya bila kami berjalan-jalan, abah lebih suka tinggal di rumah; jaga rumah. Kekadang aku berasa amat kasihan pada abah...sendirian bersandar sambil melelapkan mata atas kerusi malas di bawah rumah...SUNYInya.  Umur abah pula dah menjangkau 70 tahun...jika berlaku apa-apa kepada abah sewaktu sendirian, siapa yang boleh bantu abah? Ngerinya dan mungkinkah aku akan terkilan seumur hidup! Itulah yang selalu kubayangkan bila tinggalkan abah sendirian.  Mungkin itu pilihan atau tanggungjawab dia? 



Wah...terasa jauhnya perjalanan. Maklumlah...sepanjang jalan...pokok-pokok memberi salam. Bila sampai, rombongan kami singgah dulu di masjid berhampiran dengan rumah pengantin lelaki. Masing-masing mengambil kesempatan untuk mengosongkan 'tangki' sebelum dijamu besar di majlis tersebut. Kulihat dari laman masjid, rumah-rumah di kampung ini sangat tersusun. Rekabentuk rumah  nampak  serupa sahaja. Macam Felda, kampugku. Ooo...rupa-rupanya kampung ini adalah kampung wawasan. Hebat! Tak sia-sia usaha kerajaan.


Setelah pengantin diiringi masuk dengan pukulan kompang, kami satu rombongan duduk di meja khas pengantin. Kami dihidangkan dengan lauk pauk yang sungguh enak: daging masak kari (rasa macam kari arwah nenek Biahku), ketam masak pedas, ikan sembilang asam pedas, kerabu rebung, arca pedas (tomato dan cili), ice-blended honey dew, cendol pulut dan macam-macam lagi. Kebanyakannya kurasa sikit-sikit. Macam 'food testing' pulak. Tapi masakannya memang sedap, macam makan di 5-star hotel!
Nota: Seronok dapat bertemu ahli baru dalam keluarga.  

Saturday, March 19, 2011

Perkahwinan Bukan Waktu Cuti Sekolah

Mendirikan masjid adalah satu sunnah. Lebih seronok lagi kalau majlis perkahwinan itu diadakan oleh keluarga sendiri. Maknanya bertambah besar sesebuah keluarga. Rasa tumpang gembira, pasti membuatkan nostalgia perkahwinanku berlegar-legar dalam kotak fikiran. Terlalu indah untuk dikenang.

5 Mac yang lalu, kami menghadiri majlis pernikahan di Masjid Puchong Perdana. Terpaterilah satu ikatan perkahwinan antara Nurhidayah dan Azidy. Nurhidayah merupakan sepupu suamiku dan merupakan anak tunggal perempuan Pak & Mak Ngah. Selain gembira menghadiri majlis pernikahan tersebut, aku juga merasa sangat teruja dengan keindahan Masjid Puchong Perdana yang mendapat jolokan masjid terapung. Mengadap tasik...cantik dan udara sejuk masuk ke ruang solat. Nyaman dan tenteramnya....menjadikan tumpuan solat lebih khusyuk. Selepas selesai majlis pernikahan, kulihat pengantin lelaki (Azidy) bersolat; "Solat sunat. Bahagialah Dayah!", detik hatiku. 

Esoknya (6 Mac 2011) adalah majlis perkahwinan pula. Aku diberi tugasan untuk membantu Mak Ngah sebagai penyambut tetamu dan pemberi door gift kepada para jemputan. Suamiku pula diberi tugasan menyambut tetamu. Cuaca sungguh baik pada hari tersebut dan sangat ramai jemputan yang hadir. Nasi & lauknya HABIS! Para jemputan kata "nasinya sedap!". Masing-masing minta resepi pada Pak Ngah. Pukul 4 ptg aku dan suami 'sign off' duti dan pergi Masjid Puchong Perdana. Kami doakan perkahwinan ini berkekalan hingga ke syurga.

13 Mac 2011 pula giliran tempat pengantin lelaki di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Tunggu...pengalaman apa yang kudapat dari majlis tersebut.


Saturday, March 12, 2011

Allah Hantar 8.9 +Tsunami ke Jepun

Malaysia baru diredakan dengan bencana banjir. Mesir baru dilegakan sedikit dengan pergolakan rakyat terhadap pemerintah. Kerajaan dan rakyat Malaysia bertungkus lumus menyelamatkan rakyatnya samada bencana dalam negara atau di luar negara.

Tiba-tiba, semalam (11 Mac 2011 pukul 2.45 ptg waktu Malaysia) Allah  menghantar satu lagi GIANT mesejNya kepada penduduk dunia melalui gegaran gempa bumi 8.9 yang diikuti Tsunami setinggi 10 -13 meter ke negara matahari terbit -Jepun. Tsunami yang terburuk dalam sejarah 140 tahun Jepun. Jepun yang terkenal dengan kehebatan dan kecanggihan teknologinya...tidak mampu mengatasi kebesaran dan kekuasaan Allah swt.

Hasil putaran Tsunami yang datang dari tengah laut (kawasan teluk), beralun dengan formasi yang penuh bergaya dan kelihatan cantik memutih menuju ke arah daratan. Dengan hanya beberapa saat sahaja, segala isi dunia dimusnahkan oleh arus Tsunami. Penduduk Jepun yang sudah biasa dengan gempa bumi, juga tidak mampu berbuat apa-apa.

Lihatlah! betapa banyaknya Allah menghantar mesejNya kepada manusia. Dunia hampir kiamat. Tarikh kiamat...hanya Allah yang Maha Mengetahui. Tidak gerunkah kita menyaksikan semua ini? Tidak bergetarkah hati kita? Taubatlah wahai insan. Wahai manusia sejagat (termasuklah diriku yang banyak melakukan dosa), SEGERALAH kembali kepada Allah swt dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.