Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Saturday, October 29, 2011

Petanda Hadapi Dugaan(PhD): Banjir Datang Lagi

North Icelandic Jet
Semalam aku berkesempatan menonton satu rancangan(tak ingat tajuknya) di Astro tentang saintis dunia telah  berjaya menutup bahagian yang terbuka di Greenland dari terkena pancaran matahari. Matahari akan mempercepatkan ais cair dan air akan mengalir ke dalam lapisan bumi. Ini menyebabkan lebih banyak bongkah-bongkah ais akan merekah dan cair. Para saintis ini tidak mampu menjamin keberkesanan kaedah tersebut, malahan ada kebimbangan yang kaedah ini akan menyumbang kepada lebih banyak kesan buruknya. Dalam hatiku terdetik: "Inilah antara petanda dunia hampir kiamat!"

Hebat mana kepintaran manusia, tidak mampu mengatasi kehebatan Allah swt. Bak kata Perdana Menteri Thailand: "Banjir adalah bencana alam yang tidak boleh ditahan-tahan." Ada petanda yang menunjukkan banjir akan melanda negara ini tidak lama lagi terutamanya negeri di sebelah Pantai Timur. Ada kebimbingan di hati semua rakyat Malaysia. Pelbagai persiapan dari segi fizikal telah dibuat. Syukurlah kerana negara kita punya sistem meteorologi yang canggih dan pengurusan infrastruktur yang cekap. Kita mahu negara kita dan semua negara di dunia ini selamat dari sebarang bencana.

Source: www.kosmo.com.my
Pohonlah keselamatan itu hanya dari Allah swt, Yang Maha Berkuasa. Berdoalah kita semua rakyat Malaysia agar hujan yang diturunkan kepada kita adalah air yang manfaat
Source:  http://www.frim.gov.my/v1/masjid/DOAGIF3.HTM
Berdoalah agar semua persiapan fizikal dan mental kita untuk menghadapi banjir kali ini mendapat rahmat Allah swt. Muhasabahlah diri dan taubatlah segera kerana kita tidak punya masa yang banyak. Kita masih tidak tahu bila detik dan saatnya akan datang malaikat maut atau tiupan sangka kala akan berbunyi. Hentikanlah segala bentuk kebatilan dan tunaikanlah segala kewajipan dan hak yang dipertanggungjawabkan. Sebagai insan biasa, aku juga merasakan memang sukar untuk terus berubah menjadi sempurna baik, namun, kita mesti ada tindakan dan keazaman untuk menjadi lebih baik.  Pelbagai dugaan dan cabaran datang dari segenap penjuru.

Usahlah saling tuduh-menuduh silap siapa (contohnya anak dan ibubapa saling menuduh tak beri kasih sayang, ibubapa dan guru saling menuduh bila pelajar semakin tidak berakhlak, pekerja dan pengurus saling menuduh tidak buat kerja, suami isteri saling menuduh tak tunai tanggungjawab dsb) kerana manusia sememangnya buat silap. Yang maksum hanyalah Nabi Muhamad saw. Bangunlah dengan nawaitu mahu menegakkan Islam di dalam diri masing-masing walau apa jua peranan dan jawatan kita di dunia ini kerana akhirnya kita semua kembali kepada Allah swt sebagai jawatan seorang HAMBA

Tuesday, October 25, 2011

Perkahwinan Hadapi Dilema(PhD): Yakini Bantuan Allah

Menonton salah satu siri drama Dilema Wanita di Astro Oasis bertajuk "Hati Atikah" membuatkan aku menangis, tidak dapat menahan sebak. Kisah dilema seorang isteri berkerjaya bernama Atikah yang tertekan dengan kerenah ibu mertua yang mempertikaikan kewibawaan Atikah sebagai isteri. Semua yang dibuat oleh Atikah, tidak pernahnya betul. Atikah terus tertekan dan ditekan. Suami Atikah tidak mampu bersuara dan pada masa yang sama beliau juga mencintai isterinya. Selepas satu musibah yang menimpa pada suami Atikah, barulah si ibu mertua ini berubah. Jalan ceritanya mudah dan sangat mudah difahami. 

Hanya buku berwarna pink
yg Belum Kumiliki
Banyak lagi dilema yang dilalui dalam bahtera perkahwinan. Penyelesaian yang syar'i sahaja mampu membuatkan bahtera perkahwinan ini selamat dunia dan akhirat. Yang menarik perhatianku ialah salah satu pesanan Dato' Dr Hj Fadzilah Kamsah sebelum drama ini berakhir iaitu "Takkan nak tunggu musibah berlaku, baru nak berubah." Pesanan ini sungguh menusuk kalbuku kerana terdapat ramai orang yang masih tidak mahu berubah walaupun telah banyak musibah berlaku. Malahan menantu perempuan terus dipersalahkan, yang paling tragik diceraikan dan digantikan dengan menantu baru. Begitulah beratnya...salah satu ujian dalam perkahwinan. 

Marilah kita sama-sama selamatkan, peliharai dan serlahkan institusi perkahwinan dengan bait-bait cinta Allah swt, cinta Rasulullah saw dan cinta sesama insan. Teguh institusi perkahwinan, maka kukuhlah keluarga, bangsa, negara, masyarakat dan ummah. Percayalah, dalam kesulitan pasti ada kemudahan, setelah berusaha untuk mengatasi sesuatu kesulitan, maka letakkanlah pengharapan hanya kepada Allah swt. Pesanan ini termaktub dalam Surah Al-Insyirah ayat 5- 8 yang bermaksud:- 
  • Ayat 5: Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan
  • Ayat 6: Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan
  • Ayat 7: Maka apabila engkau telah selesai dari sesuatu urusan, tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain.
  • Ayat 8: Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah engkau berharap

Sunday, October 23, 2011

Perbuatan Haiwani Dikeji(PhD): Kembalilah Kpd Islam



(Ada unsur keganasan dalam video ini)

Semasa kita sibuk menyambut Hari Kanak-kanak sedunia bulan Oktober ini, dunia telah digemparkan dengan kisah kanak-kanak di China dilanggar 2 kali dengan van tanpa diendahkan oleh orang yang melanggar dan orang ramai yang lalu lalang. Kanak-kanak tersebut kini koma. Seluruh dunia mengutuk perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini. Mengapa Allah swt turunkan insiden seperti ini? Petunjuk apakah yang Allah cuba berikan kepada manusia yang dilantik sebagai khalifah di dunia ini?

Walau apa pun alasan yang diberi terhadap insiden ini, ia adalah satu petanda yang menunjukkan manusia telah gagal menjalankan tugasnya sebagai khalifah dengan baik (termasuklah diriku sendiri). Manusia telah terpupus rasa tanggungjawabnya sesama insan. Lebih daripada 10 individu di tempat kejadian, mereka hanya lalu, lihat dan pergi. Sikap lalu, lihat dan pergi ini adalah sifat individualistik dan lebih teruk daripada haiwan. 

Insiden di Malaysia pada tahun 2010, adik Syafiah Humairah, 3 tahun, meninggal dunia selepas didera teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah. Ramai saksi (orang di padang bola dan jiran di kawasan perumahan) yang hanya mampu melihat adik Syafiah didera hingga mati. Insiden pada awal tahun ini, seorang pelajar sekolah agama didera, adik Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7 tahun, meninggal dunia setelah 3 hari koma. Mungkin ramai insan di sekolah yang tahu TETAPI hanya mampu lalu, lihat dan pergi.
Kasihan anak-anak ini....mereka perlukan orang dewasa untuk terus hidup dan mengenal erti hidup. Orang dewasa yang diharapkan telah hilang pertimbangannya dek nafsu, kuasa, kebendaan dan rasukan syaitan!

Pastinya ada banyak insiden seperti ini telah dan akan berlaku tapi iman kita tak mampu untuk bangkit membantu. Iman kita lebih nipis dari kulit bawang. Marilah kembali kepada ajaran Islam. Islam telah mengajar kita agar saling ingat-mengingati dan bantu-membantu dalam "menyuruh perkara kebaikan dan mencegah perkara keburukan." Kita tak boleh suruh orang berbuat baik sahaja TETAPI pada masa yang sama kita biarkan orang berbuat kejahatan. Ingatlah antara wasiat Rasullullah saw dalam khutbah terakhir baginda:-
Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun supaya orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. 
Ketahuilah bahawa setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim lain
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untukdipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakanOleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas kewafatanku. 
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku.

Tuesday, October 18, 2011

Petua Hadapi Domba(PhD): Sikap Yg Syar'i

Dapatkan buku ini untuk
Fahami Makna Fitnah
Baru minggu ini aku berkesempatan membaca buku bertajuk 'Fitnah Akhir Zaman: Menyikapi Huru-Hara Dan Kekacauan di Akhir Zaman' ditulis oleh Dr Muhamad bin A.W. al-'Aqil(2010), yang telah kubeli sewaktu Pesta Buku Antarabangsa 2011 lalu. Walaupun sempat membaca dua bab, tetapi kandungannya amat terkesan buatku.

Fitnah telah berlaku sejak lama dulu. Cuma mekanisma untuk tersebar luas KINI, lebih pantas dengan adanya kemajuan teknologi ICT. Sebagai seorang muslim kita harus mengetahui bagaimana sikap syar'i yang diajarkan oleh Islam apabila berhadapan dengan permasalahan fitnah. Buku ini menggariskan 5 sikap (nota: huraiannya boleh dibaca dari buku di atas) yang dapat menyelamatkan seseorang dari fitnah iaitu:-
  1. WAJIB memilih dan meneliti KEBENARAN setiap informasi pada saat terjadinya fitnah
  2. Komitmen terhadap jamaah muslimin dan imam mereka
  3. Tidak berkecimpung dalam permasalahan fitnah kecuali dengan ILMU yang SHAHIH
  4. Meninggalkan peperangan ketika terjadi fitnah
  5. BERTAUBAT dan kembali kepada Allah ketika terjadi fitnah
Kita tidak dibenarkan tergesa-gesa dalam menghukum informasi hingga terbukti kebenarannya. Perlu buat penelitian ke atas sumber informasi. Jika kita tidak tahu adalah lebih baik untuk diam (tak sebarkan) atau serahkan isu sensitif kepada Ulil Amri (pemerintah, ulama dan dewan syura yang memiliki keilmuan yang matang, intelektual, pendapat yang lurus dan bersikap bijak). Para sahabat Rasullullah saw tidak membiarkan isu-isu sensitif beredar di tengah masyarakat awam dan/atau jatuh ke tangan orang yang bukan ahli KERANA masyarakat tidak mampu mencernanya dengan tepat dan mungkin terjadi lebih banyak fitnah

ICT hanyalah satu alat...maka janganlah kita pula diperalatkan dan diperhambakan oleh ICT. Marilah kita gunakan ICT untuk memartabatkan Islam. Jauhilah segala bentuk kemungkaran termasuk fitnah semasa menggunakan ICT agar kita selamat dunia dan akhirat (Ingatan ini untuk diriku juga!). 

Monday, October 17, 2011

Phraya Hapus Dunia(PhD): Taat Pada Yg Esa

Bencana banjir di Thailand masih hangat diperkatakan. Teringat kisah Gunung Judi (Surah Hud ayat 44) di mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh sewaktu berlakunya banjir yang dahsyat.
Rasa takut dan insaf menyelubungi diri. Namun, pada masa yang sama, aku sungguh kagum akan kepatuhan dan ketaatan Sungai Chao Phraya dengan perintah Allah swt. Sungai ini diarahkan oleh Allah swt untuk melimpah ruahkan segala isi airnya dan menyebabkan 300 nyawa terkorban, sebahagian kawasan sawah padi musnah, tergendala kilang pemasangan kereta Toyota, Ford, Honda dan Isuzu dan terhenti sementara syarikat pembuatan cip.   


Kesan banjir Thailand bukan hanya dirasai oleh rakyat Thailand malahan seluruh penduduk dunia. Lihatlah kebesaran dan kekuasaan Allah swt, usaha manusia yang dibina bertahun-tahun diambil oleh Allah swt dengan hanya sekelip mata. Dengan banjir, Allah memutuskan rantaian bekalan  (supply chain) makanan dan kenderaan yang merupakan antara keperluan asas manusia. 

Adakah manusia kini akan terus bongkak dan angkuh dengan kekuatan dan kebijaksanaan mereka dan merasakan diri mereka lebih hebat dari Allah Yang Maha Berkuasa? Adakah manusia kini akan terus rakus dan tamak untuk memiliki dunia yang sebenarnya adalah milikMu, Ya Allah? Adakah manusia kini akan terus jauh dengan ajaran Rasullullah saw dan perintahMu, Ya Allah?

Ampunkanlah kami, Ya Allah (3x). Usahlah Engkau panjangkan kemurkaanMu kepada kami di Malaysia. Jadikanlah kami rakyat Malaysia yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmatMu. Bimbinglah dan tunjukkanlah kami jalan yang benar dan satukanlah hati-hati kami dalam menegakkan perintahMu dan menentang musuhMu. Jauhkanlah kami dari segala bentuk fitnah dunia dan akhirat. Teguhkanlah iman kami  hanya kepadaMu, Ya Allah - Allah Yang Maha Esa dan Tuhan seluruh alam.

Friday, October 14, 2011

Produk Halal D'Halfest(PhD): Sokong Jihad Mereka...

Free Beg tajaan CIMB Islamic
Halfest 2011
Susu Ilham...Kau Ilhamku?
Sama Nama, Sharifah

Promosi Halfest 2011 di papan iklan telah kulihat sejak 26 Sept lalu. Aku berkesempatan menghadiri pesta ini semalam (13/10/11) bagi memberi sokongan kepada mereka yang telah berjihad untuk memastikan muslim menggunakan sesuatu yang HALAL di sisi Allah swt. Semoga mereka ini terus tabah mengharungi cabaran dalam menegakkan hukum Islam di bumi Malaysia ini.  

Pelbagai produk halal dipamerkan dari makanan, minuman, buku, pinggan mangkuk, pakaian, hartanah, kosmetik, produk kesihatan berasaskan herba hinggalah alat pembuatan untuk pengilangan. Dalam tak larat, kami sempat juga habiskan lawatan kesemua tiga dewan pameran ini. Lenguh kaki! Tapi tak apa...kami akan mencuba produk DIMAZ setelah mendapat khidmat nasihat dari Encik Musa. Di samping mendapat ilmu yang bermanfaat di pesta, aku dan suami terjumpa dengan rakan sekerja di UiTM Segamat, Prof Madya Ismail Shari, bekas pelajar UiTM Segamat iaitu Izat, Shuhaimi dan Nurul.  Berilah sokongan anda dengan meluangkan masa untuk hadir Halfest 2011 dari 12 - 16 Oktober 2011 di PWTC.

Selamat Datang ke Halfest 2011
Terima kasih kerana ke Halfest 2011
Prof Madya Ismail Shari
Pelajar UiTM Segamat & Shah Alam
Kopi Mahkota Dewa dari Johor
Ladang Gaharu, Trengganu
Usahawan Johor
Usahawan Kelantan
Jutawan Muda, Irfan Khairi
Encik Musa, DIMAZ

Wednesday, October 12, 2011

Penagih Hancur D'Siber(PhD): Iman Boleh Kawal


90% kanak-kanak ketagih layari Internet itulah antara tajuk hangat dalam berita hari ini (Berita Harian ms 2). SEDIH tapi TAK PELIK. Sebab kanak-kanak ini belajar dari/tanpa orang DEWASA! 
Ada apa pada benda-benda ini hingga ketagihan? Ketagih Internet sebab pantas dapat maklumat. Ketagih Facebook sebab pantas bersosial. Ketagih Twitter sebab pantas 'twit' mesej. Ketagih blog sebab pantas papar hasil penulisan. Ketagih handphone sebab pantas hubungi sesiapa di mana saja yang dalam lingkungan. Ketagih ipad sebab pantas akses Internet dan handphone. Ketagih komputer sebab pantas untuk main game dan buat tugasan/kerja


Doa mula dan akhir kerja
Semua benda-benda ini ada keupayaan yang manusia kagumi iaitu kePANTASan atau keLAJUan. Semuanya kita mahu cepat. Nak cepat sampai rumah/tempat kerja. Nak cepat naik gaji/pangkat. Nak cepat dapat anak. Nak cepat makan/minum. Nak cepat tidur. Nak cepat pandai. Nak cepat kerja. Nak cepat tamat belajar. Nak cepat kaya. Nak cepat beli rumah. Nak cepat beli kereta. Macam-macam cepat ada! Semua contoh-contoh di atas adalah andaian aku sahaja; tapi ada juga yang aku sendiri terasa! 

Lagipun, kita selalu bergerak bertentangan dengan asal kejadian kita sebagai manusia. Manusia dijadikan secara berperingkat-peringkat. Manusia dalam kandungan perlu melalui 9 bulan tumbesaran. Tak boleh cepat sangat ...nanti mati atau tak normal! Kalau dah ditakdirkan terlahir awal, doktor akan beri EXTRA CARE untuk memastikan tahap kesihatan manusia pada tahap normal. Manusia mula matang pada umur 9 - 13 tahun bergantung kepada pengalaman kehidupannya. Allah turunkan Al-Quran dan solat juga secara berperingkat-peringkat. 

Namun, adakah kita perlu berpatah balik untuk tidak menggunakan teknologi? TIDAK...tapi kita perlu ada EXTRA CARE. Marilah kita sama-sama ubah objektif hidup kita daripada objektif mahu CEPAT capai sesuatu matlamat kerana DUNIA kepada mahu CEPAT capai sesuatu matlamat kerana ALLAH swt. Dengan kawalan mengikut Al-Quran dan As-Sunnah sahaja yang mampu mengatasi segala KETAGIHAN yang ada.

Monday, October 10, 2011

Panorama Hebat Disaksi(PhD): Langit & Tasik Biru

Nasi Kandar
Cuaca hari ini tidak secerah semalam (9/10/11:cantik nombor ni!). Semalam kami sekeluarga tidak dapat menikmati nasi kandar Fareed's Line Clear kerana tutup. Untuk makan tengahari, kami mencuba masakan pelbagai lauk pauk kampung di Restoran Rasa Le Lagi, Bukit Rahman Putra. Boleh tahan masakannya! Lain kali boleh makan lagi - nak rasa lontong dan laksa Johor. 
Taman Tasik Biru

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, kulihat pemandangan sungguh indah. Langitnya sungguh biru, sebiru-birunya. Kelompok awan putih juga banyak. Cuacanya sungguh cerah. Ditambah pula dengan pemandangan hijau sepanjang jalan. Perkataan biru telah membuatkan suamiku rasa teruja untuk meninjau kawasan Tasik Biru yang selama ini kami lihat dari atas Lebuhraya Guthrie sahaja. 

Beginilah indahnya pemandangan yang sempat kurakamkan. Berikut adalah doa ketika melihat perkara yang disukai (buku Zikir, Doa dan Wirid di Tanah Suci oleh Ustaz Zahazan & Mohd Azrul Azlen, ms 99):
الحمد لله الذي بـنعمته تتم الصالحات
Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatNya sempurnalah segala kebaikan.
Nun....Kelab Golf Rahman Putra 
Suasana Dusun,  Lorong Melati
Langit Biru, Awan Putih, Pokok Hijau
Laguna Biru dari Jalan Setia

Tempat Rekreasi di Tasik Biru
Tasik Biru Cantik

Sunday, October 9, 2011

Permohonan Haji Dukacita(PhD): Rayu Lagi

Bulan Zulkaedah merupakan bulan bermulanya kembara suci (pinjam tagline TV Al Hijrah) para jemaah haji bagi menunaikan rukun Islam yang kelima. Kebanyakan rancangan agama memfokuskan isu-isu berkaitan dengan ibadah haji. Kenangan berada di bumi haram Mekah Mukarramah dan Madinah Munawarrah 2009 masih terbayang-bayang. Tiba-tiba hati terasa sebak dan jantung seakan terhenti. 

Terngiang-ngiang kata-kata dari staf Tabung Haji Contact Center: "Permohonan rayuan haji puan untuk tahun ini ...dukacita." Suaranya seakan terhenti untuk melindungi perasaan sedih bagi pihakku. Namun beliau terus berbicara: "Puan boleh ajukan permohonan rayuan haji untuk tahun depan apabila tamat musim haji tahun ini...iaitu bermula bulan Muharam." Sebaik sahaja perbualan tamat, aku tidak dapat menahan sebak. Sebagai insan biasa, aku pasti bersedih dan tidak dapat menahan air mata kesedihan.

source:
walimahpedia.blogspot.com
Aku terus sujud syukur. Walaupun sedih kerana tidak berjaya menjadi tetamu Allah pada tahun ini, aku mesti terus bersyukur kepada Allah Yang Maha Pengasih di atas segala nikmatNya yang telah, sedang dan akan kukecapi selagi hayat ada. "Ya Allah, aku mahu menunaikan haji hanya keranaMu. Aku mahu menjadi hambaMu yang mampu melengkapkan kelima-lima rukun Islam...walaupun aku tidak pasti berapakah pahala yang kuperolehi bagi setiap perlaksanaan rukun Islam tersebut.

Diceritakan Pelbagai Ujian Kesesakan
Untuk ke/Di MINA
Aku juga yakin...ada banyak hikmah di sebalik kekecewaan ini. Kini, aku benar-benar memahami perasaan bakal-bakal jemaah haji yang hatinya benar-benar teringin menunaikan haji tetapi masih gagal permohonan rayuan mereka. Aku seperti bakal-bakal jemaah haji yang lain berazam untuk terus berdoa, perbanyakkan amalan mahmudah, sucikan sumber rezeki, lipat gandakan taubat dan tambahkan ilmu agar diterima menjadi tetamu Allah pada musim haji akan datang dan seterusnya mendapat haji yang mabrur. Aku akan terus membuat rayuan kepada Tabung Haji dan merintih setiap saat pada Allah Yang Maha Esa agar hajatku ini diredhai, diperkenankan dan disampaikan.


Friday, October 7, 2011

Penawar Hati Datang (PhD): Mak Abah Kota Tinggi

Alangkah gembiranya hatiku pabila adikku, Adam, memberitahuku bahawa mak abah akan bermalam di rumahku. Mereka datang untuk menemani Adam yang menghadiri temuduga kerja di Wisma Rohas Perkasa, Kuala Lumpur. Terima kasih kepada Adam kerana telah berjaya membuat perancangan yang rapi untuk mak abah bermalam di Puncak Alam dan juga di Batu Gajah, Perak. Dapatlah mak abah melihat perubahan Kuala Lumpur dan juga meninjau tempat kerja Farid di KTM, Batu Gajah.
Sementara menunggu Adam selesai temuduga pukul 4 petang, aku dan suami membawa mak abah makan tengahari di Tugu View Cafe, melawat Tugu Peringatan Negara, solat Zohor di Masjid Wilayah Persekutuan dan window shopping di KLCC. Mak abah beli kasut di KLCC sebagai kenang-kenangan


Malam sebelum berangkat ke Batu Gajah, aku sempat menjamu mak abah hasil masakanku iaitu masak bening tauhu lembut dicampur sayur penyejuk badan dan stim ikan kembong. Simple saja masakanku tapi tetap membuka selera mak, abah dan Adam yang masih keletihan. Walaupun ada nasi dan lauk panas-panas, mak seperti kebiasaan menghabiskan masakan yang tidak habis dulu iaitu nasi gorengku pagi tadi. 
Masjid Wilayah Persekutuan
Kenangan Bersama Pelakon Kuswadinata
Moga kenangan sehari di Puncak Alam dan Kuala Lumpur pada 6 Oktober akan membuatkan mak abah rindu pada aku sekeluarga sebagaimana aku sentiasa merindui mereka berdua. Ya Allah, berkatilah mak abah ku, anugerahkanlah mereka berdua ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan serta permudahkan segala urusan mereka berdua. Mak abah adalah penawar hatiku!

Wednesday, October 5, 2011

Perlu Harus Dipulih(PhD): Bacaan Al-Fatihah


Selepas pulang dari kelas hafazan semalam, aku sempat merehatkan diri sambil menonton Program '30 Minit Bersama Ustaz Don' di TV Al-Hijrah. Program baru yang berteras subjek tajwid pada setiap Selasa, pada kali ini, memaparkan kesalahan tajwid yang popular dalam surah Al-Fatihah. Ustaz Don sempat mengupas 3 kesalahan iaitu:-
1.      Berhenti (waqaf ) yang salah
·         Tidak berhenti pada tempatnya
·         Tidak menarik (mengambil) nafas ketika berhenti
·         Tidak niat untuk menyambung ayat
2.      Menukar huruf  atau sebutan(makhraj) huruf yang salah
3.       Menyambung ayat (wasal) dengan salah
Tanda Waqaf
 

Terkesima aku sebentar kerana Al-Fatihah merupakan bacaan wajib dalam solat. Jika bacaannya tidak betul, apa dah jadi markah solatku selama 30 tahun ini? Adakah solat-solatku diterima? Atau solat-solatku hanya sia-sia belaka? Mengharapkan kasih sayang, rahmat dan pengampunan Allah swt, marilah kita cari guru Al-Quran untuk menyegarkan semula ilmu tajwid ini

Kenapa perlu guru? Belajar tajwid perlu melalui DUA proses iaitu  (1) memahami ilmu tajwid melalui CD/buku/kuliah/kelas dan (2) membaca Al-Quran di hadapan  (bersama) guru/ ustaz/ ibubapa/ keluarga/ kawan yang mahir tentang tajwid.  Marilah kita sama-sama atasi kejahilan, kealpaan, kedegilan dan rasa malu kita, semata-mata hanya untuk mendapat redha dan cinta Allah swt. Banyakkan doa agar kita semua dianugerahkan kekuatan jiwa, kesihatan fizikal dan kelapangan masa untuk lebih kerap praktis tajwid yang betul untuk surah Al-Fatihah (dan juga surah-surah yang lain). 

Monday, October 3, 2011

Pakaian Harian Diurus (PhD): Panjang Prosesnya!

Ustaz Kazim 
Baju kotor bertimbun dalam bakul dan ditambah dengan baju kotor dari bagasi. "Letihnya badan...kalau tak dibasuh baju yang bertimbun...siapa lagi yang nak membasuhnya? Sendiri juga susah..." itulah antara rintihan hati setiap kali pulang dari kampung, bercuti atau kerja out-station. Dulu...aku pasti stres

Kini...bila aku lihat baju bertimbun, aku pasti tersenyum kerana ungkapan Ustaz Kazim tentang wanita menguruskan kain dalam salah satu CD ceramahnya. "Kasihan orang perempuan ni, dari buka mata waktu pagi hingga tutup mata waktu malam....semuanya pasal kain. Pagi basuh kain, tengahari angkat kain dari ampaian, petang lipat kain, malam gosok kain, susun kain, pergi shopping beli kain dan hemm...bila dah nak tidur kena buka kain pula (riuh penonton ketawa)." Semua perbuatan tersebut nampak remeh tapi jika dibuat dengan niat tulus ikhlas kerana Allah swt serta diiringi zikirullah, maka besarlah ganjaran pahalanya
Menguruskan pakaian kini lebih mudah kerana air telah tersedia dari paip. Tak perlu diangkut dari telaga. Tak perlu lagi membasuh baju menggunakan papan basuh kerana mesin basuh telah mengambil proses tersebut. Aku pernah melalui zaman membasuh baju versi lama iaitu versi sewaktu paip air tiada lagi di rumah. Letih tapi pada masa yang sama...ianya menyeronokkan kerana kami adik beradik boleh bermain air telaga atau sungai. Syukurlah...kini semua kesusahan dan kesukaran tersebut telah berlalu...air paip telah sampai ke rumah.
Slim Kaki Iron Board! 
Selesai membasuh, baju perlu dikeringkan. Jika tiada mesin pengering baju, baju perlu disidai menggunakan penyangkut baju dan disusun di ampaian mengikut kesesuaian. Tunggu beberapa jam untuk kering, kemudian diangkat dari ampaian untuk proses digosok atau dilipat. Menggosok baju memerlukan kesabaran dek panas dari seterika dan kekusutan kain. Bagiku pula, proses menggosok mengambil masa 5 jam bagi semingggu cucian. Kekadang...sehingga kejang urat di betis! 
Baju Digantung Penuh Tersusun?
Aku tidak berapa ingat bagaimana aku mendidik tiga heroku untuk menguruskan pakaian harian dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Yang aku pasti...sejak tinggal di asrama, mereka telah tahu bagaimana menguruskan pakaian walaupun standardnya perlu diperbaiki lagi. Harapanku, agar pengalaman mereka ini mampu menghargai wanita yang telah dan akan menguruskan pakaian harian mereka. Penghargaan yang tidak memerlukan jutaan ringgit...hanyalah ucapan dan bisikan terima kasih yang tulus ikhlas, sudah mampu meleraikan segala kepenatan dan meruntun rasa kasih. Aku juga mengimpikan agar suatu hari nanti...ada sebuah mesin yang berupaya mencuci, mengering, menggosok dan melipat pakaian mengikut khendak pengguna.