Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Tuesday, August 14, 2012

Persiap Hari Damai(PhD): Aidil Fitri


Puasa [sumber: Islam101.com]
Telah 25/26 hari kita melalui puasa Ramadan. Pengabdian diri kepada Allah swt dalam 10 malam terakhir bagi meraih Lailatul Qadr masih diteruskan dan diperhebatkan. Pada masa yang sama, beberapa persiapan perlu dibuat untuk menyambut hari kebesaran umat Islam, Aidil Fitri, yang telah disyariatkan pada tahun pertama Hijrah.

Dalam membuat persiapan raya, pastinya ada antara kita yang merasakan diri seolah-olah bersalah dan berdosa kerana lalai terhadap Allah swt, lebih-lebih lagi kelalaian berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Salahkah membuat persiapan raya? Setelah menonton program Ihya Ramadan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin di TV Al-Hijrah semalam, kegusaran hati ini terlerai

Kuih raya [sumber: perekacerita.com]
Pastinya kita ingin mengemas/mencuci rumah, membeli baju raya, membeli/buat kuih raya, menghantar kad raya, menyusun atur perabot, menggantung langsir baru, menyediakan duit raya, mengemas bagasi, menyelenggara kunci rumah/sistem penggera dan menyelenggara kereta/motosikal. Apabila persiapan ini telah dibuat, diri berasa tenang, bahagia, damai dan selamat untuk menyambut Aidil Fitri

Apa tidaknya, rumah yang dihiasi cantik serta bersih dan kemas susun aturnya menjadikan ahli keluarga berasa tenang untuk bermesra. Rasa tenang untuk saling bermaaf-maafan. Rasa damai untuk menikmati juadah raya. Kenderaan yang telah diselenggara menjadikan diri dan ahli keluarga rasa selamat untuk berjalan-jalan  atau berjalan jauh. Kuih muih yang dibeli atau dibuat untuk diberikan kepada ibubapa sendiri/mertua atau untuk jamuan tetamu membuatkan keluarga dan tetamu terasa dihargai dan bahagia.   


Semua persiapan ini boleh dilaksanakan tanpa rasa bersalah atau berdosa asalkan kita:

1. Niat ikhlas kerana Allah swt (bukan untuk bermegah dengan orang lain)
2. Tidak menangguhkan/meninggalkan perkara wajib (contoh: dek keasyikan bershopping, tak solat zohor, dek keletihan dengan sengaja batalkan puasa dan tak tunaikan zakat fitrah)
3. Sentiasa mengalunkan zikir (tasbih/tahmid) secara 'live' atau dalam hati (contoh: semasa menghias rumah, menunggu giliran di kaunter bayaran)
4. Mendengar bacaan Al-Quran melalui DVD player atau telefon bimbit sambil mengemas rumah, semasa menunggu kereta diselenggara di kedai atau dalam perjalanan ke pusat membeli belah.
5. Ikut kemampuan diri sendiri bukan kemampuan orang lain
6. Tidak membazir walaupun berkemampuan- rancang dulu apa yang nak dibeli/dibuat
7. Tidak membazir masa- rancang masa perjalanan agar dapat berterawih dan qiamullail di waktu malam
8. Ikut syariat Allah swt (contoh: baju raya hendaklah yang menutup aurat, kuih-muih mesti dari bahan atau sumber wang yang halal, duit raya dari sumber wang halal, jaga batas pergaulan semasa bershopping)
9. Tidak mengganggu/menyusahkan orang lain atau awam (contoh: letak kenderaan ikut sesuka hati di kawasan membeli belah, membiarkan sampah bertaburan di tepi jalan asbab sampah dari mengemas rumah)
10. Baca/ulang kaji tentang tuntutan Aidil Fitri seperti solat sunat raya, zikir malam raya dsb

DAMAI hati kerana persiapan raya boleh dibuat tanpa menjejaskan ibadah puasa Ramadan pada 10 malam terakhir. Berpuasa dan beraya dengan tenang dan bahagia!

Tuesday, August 7, 2012

Panji Hebat D'dunia(PhD): Lailatul Qadr

Sumber:  shafiqolbu.wordpress.com 
Kita telah terlalu hampir dengan 10 malam terakhir bulan Ramadan dan pada malam-malam ini mengikut Imam Syafie r.a. adalah Lailatul Qadr. "Mencari Lailatul Qadr" telah diceritakan secara jelas oleh Ustaz Dr Abdul Basit Abd Rahman dalam program Tanyalah Ustaz, TV9 pagi semalam dan pagi tadi.

Yang pastinya Lailatul Qadr itu ada. Apa persediaan kita? Teruskan berzikir. Teruskan membaca/tadabbur Al-Quran. Teruskan solat  wajib, tarawih, solat witir dan solat sunat yang lain. Teruskan bersedekah. Teruskan berbuat baik kepada ibubapa dan ahli keluarga. Teruskan melaksanakan tugas harian di rumah (memasak, mengemas, membasuh baju, menyapu lantai dll) sambil bertasbih. Teruskan bekerja/belajar dengan niat kerana Allah, mengikut etika yang diredhai Allah, mengikut etika yang ditetapkan oleh majikan sambil berzikir dalam hati dan bermuhasabah diri. Teruskan berbuat baik sesama insan dan makhluk lain. Ringkasnya, FOKUS SEMUA niat/fikiran/ibadah/perbuatan/aktiviti hanya kerana Allah swt dan berakhlak baik pada setiap saat, di mana jua kita berada untuk sepanjang 10 hari terakhir Ramadan ini (mudah-mudahan berterusan selepas Ramadan). 

Mari kita sama-sama berusaha. Mudah-mudahan dengan usaha amalan ini, kita meraih Lailatul Qadr yang dijanjikan "terlebih baik daripada amalan seribu bulan (surah Al-Qadr ayat 3)".  Pada MALAM tersebut, malaikat Jibrail dan semua malaikat turun beramai-ramai ke bumi serta memberi salam, berjabat tangan dan mengucapkan amin atas segala doa kepada setiap orang yang sedang melakukan ibadah kepada Allah swt samada sedang berdiri, duduk, bersolat dan berzikir hingga TERBIT FAJAR.

1000 bulan = 83 tahun 4 bulan (83.33 tahun)

Jika umur kita sampai 60 tahun, bermakna kita mendapat pahala amalan baik untuk selama 83.33 tahun dengan lebihan 23.33 tahun. Bukankah itu jauh lebih baik dan menggembirakan daripada segala bonus/harta yang ada di dunia? Moga kita semua menjadi insan terpilih untuk meraih Lailatul Qadr. Jika kita telah terpilih nanti, usahlah diheboh-hebohkan kepada sesiapa (pesan Ustaz...)

Friday, August 3, 2012

Pahala Hampir Daif(PhD): Buang Tabiat Buruk!

Ramadan ke-14, Gred Puasaku?
Mengikut definisi puasa, ada tiga kategori ujian yang dilalui iaitu makan, minum dan nafsu. Seronok rasanya, apabila ujian lapar dan dahaga di bulan Ramadan yang mulia ini, telah mencapai tahap lulus atau cemerlang. Masing-masing berjaya mematuhi syarat tempoh masa untuk kategori ujian lapar dan dahaga. Ini bermakna, jika mengikut peratus keseluruhan, maka nilai puasa kini adalah 66.67%. Kalau ikut gred di sekolah/universiti, markah ini boleh capai gred 'memuaskan'. 

Jika kategori ujian nafsu tidak mencapai tahap lulus, maka nilai keseluruhan puasa akan jadi sia-sia (0%). Teringat sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
"Berapa banyak orang yang berpuasa, sedangkan ganjaran kepada puasanya hanya lapar dan dahaga... " 
Sumber:  http://manmala.blogspot.com 
Ujian kategori nafsu yang paling sukar dilalui, walaupun syaitan telah dibelenggu di bulan Ramadan ini. Nafsu yang mana satukah, yang perlu dikawal? 
  1. Mata; contohnya 'tonton/tengok/klik' iklan atau program yang memaparkan gambar/video/aurat yang tak patut dilihat di TV atau Internet, baca fitnah/gossip
  2. Telinga; contohnya dengar lagu-lagu yang melalaikan, dengar umpatan/gossip 
  3. Mulut/lidah; contohnya marah-marah anak/isteri/suami/ibubapa, maki orang, fitnah orang, berbohong/berdusta, mengejek, mencebik, bergurau keterlaluan.
  4. Tangan; contohnya menulis perkataan yang tidak berfaedah, mengambil harta/barang orang lain, memfitnah orang melalui tulisan, hantar surat layang, tampar /pukul anak/isteri/kawan 
  5. Kaki; contohnya pergi ke disko tengok persembahanpergi kedai toto tengok nombor apa yang kena, tendang anak/isteri/orang
http://telagabiru-tbsb.blogspot.com 
Jika telah mengenalpasti nafsu yang perlu dikawal dan pada masa yang sama mengakui kelemahan itu, maka dengan mudah untuk kita mengawal nafsu tersebut. Bagaimana? Apabila kita tahu di manakah/ bagaimanakah perbuatan/ tabiat BURUK kita boleh muncul, maka dengan mudah mencari SOLUSI atau jalan untuk mengelakkannya

Namun, jika telah mengenalpasti nafsu yang perlu dikawal dan pada masa yang sama TIDAK mengakui kelemahan itu, maka sukar bagi kita untuk keluar dari tabiat BURUK tersebut. Yang ruginya adalah kita kerana pahala puasa tak dapat, puasa lapar dan dahaga sahaja dan....yang paling ditakuti ialah kemurkaan Allah swt

Oleh itu, marilah kita semua kembali ke jalan Allah swt sebelum terlambat iaitu sebelum nyawa kita diambil olehNya. Insaflah dan kembalilah...sesungguhnya Allah swt Maha Pengampun Lagi Maha Pemurah dan suka kepada orang yang memohon keampunan. Keinsafan dan keampunan di bulan Ramadan ini pasti lebih membahagiakan dan bahagianya berpanjangan hingga ke akhirat.