Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Monday, October 29, 2012

Pengorbanan Habil Diredhai(PhD): Kita bagaimana?

Salam Baitullah TV1
Syukur kerana masih diberi peluang untuk menonton rancangan Laibakallah TV Al-Hijrah, Salam Baitullah TV1 dan Khabar Haji Astro Oasis sepanjang musim haji tahun ini. Menonton program-program ini, diri terasa dekatnya dengan Makkah dan Madinah. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar yang tidak pernah jemu-jemu untuk didengari dan terus dihayati. Rupa-rupanya ibadah korban ini telah lama dibuat, sejak...pengorbanan Habil, putera Nabi Adam. 

Abil Dilihat Setulus Habil
Sumber: sinarharian.com.my
Ketulusan dan keikhlasan pengorbanan Habil masih dirasai nikmatnya oleh umat akhir zaman. Habil sentiasa memastikan kambing korbannya adalah kambing terbaik antara yang terbaik.  Kalaulah keikhlasan pengorbanan Habil dicontohi dalam rumahtangga, insyaAllah, institusi keluarga akan terbela. Pasti...suami, isteri, anak-anak, ibubapa sendiri, ibubapa mertua dan ahli dalam sesebuah keluarga akan mendapat layanan paling terbaik antara yang terbaik.  

Adakah kita sentiasa memberikan yang terbaik antara yang terbaik dalam setiap tanggungjawab/kerja/tugas/ibadah kita? Atau kita selalu meminta-minta yang terbaik walaupun kita tak sebaik mana pun? Mungkinkah keikhlasan dalam diri telah hampir lenyap dan kita hanya membiarkan ianya terus hilang? 

Surau At-Taufiqiyyah - 7 lembu korban
Ku yakin kita semua tahu bahawa pengorbanan kita tidaklah setanding Habil, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Oleh itu, marilah kita sama-sama menilai semula tahap keikhlasan pengorbanan kita dan tambahbaikkan pada setiap masa. Contohnya, jika kita tak pernah cuci pinggan lepas makan, korbankan rasa ego/malas/malu untuk membasuhnya. Dengan hanya mencuci pinggan, dapat kasih sayang dari Allah swt dan ahli keluarga. Bayangkanlah, kalau kita melaksanakan pengorbanan lebih besar, rahmat Allah swt pasti datang mencurah-curah! Selagi nyawa di kandung badan, yakinlah dan percayalah...Allah swt sentiasa menerima taubat hambaNya dan akan membantu hambaNya yang ingin berbuat baik

Thursday, October 11, 2012

Pendorong Hidup Daku(PhD): Maafkanku, Mak Abah

Untukmu mak abah
Sumber: wardahal-jannah.blogspot.com
Dua hari mengikuti program Tanyalah Ustaz TV9 bertajuk "Kesilapan anak-anak kepada ibubapa" yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani. Kupasan terkesan di hati! Setelah mendengar senarai kesilapan yang diutarakan ustaz, ku mengakui sebagai anak, memang tidak terlepas dari kesalahan tersebutAmpunkan anakmu ini, mak dan abah. 

Muhasabah diri sebentar dan bayangkan wajah mak abah kita sekarang. 
Dah berapa lama kita tidak menelefon mereka? Adakah ibubapa kita yang lebih dahulu menelefon kita untuk bertanya khabar? Kalau ini berlaku pada kita, maka kita sebenarnya telah berdosa pada ibubapa kita. Mungkinkah kerana dosa pada mereka, kita kebelakangan ini dilanda keresahan, kebimbingan dan kesulitan hidup
Oleh itu, bingkaslah telefon mereka sekarang dan minta ampun. Walaupun ini kali pertama kita buat dan kita dikatakan 'buang tabiat', tak mengapa. Ianya jauh lebih baik daripada kita menanggung dosa. 
Kalau,mak abah/mertua dah tak ada..kita masih melakukan dosa pada mereka?
Haji untuk mereka
Sumber: http://salnboru.blogspot.com
YA, jika kita tidak berdoa memohon keampunan untuk mereka. YA, jika kita masih tidak tunaikan haji untuk mereka.  YA, jika kita tidak membayar hutang-hutangnya seperti hutang kad kredit dan hutang tempah baju.  YA, jika kita menghabiskan hartanya tanpa menyelesaikan segala hutangnya dengan Allah dan manusia/syarikat. YA, jika kita tidak bertanya khabar kepada sahabat-sahabat mereka

Oleh itu, bersegeralah untuk menyelesaikan hutang mereka sebelum kita kembali alam barzakh dan tidak sempat untuk berbuat demikian. 

Dahsyatnya Doamu
Sumber: makbonda61.blogspot.com
Sebagai anak...walau macamana 'salah' sekali pun mak abah dan/atau mertua kita, mereka tetap WAJIB kita hormati, minta ampun dari mereka dan doakan kesejahteraan mereka selalu. Usahlah jadi penghukum terhadap kekhilafan mereka KERANA kita belum tentu menjadi ibubapa sehebat merekaoleh itu jadilah penyeri hidup mak abah

Sebagai ibubapa pula, kemuliaan yang Allah swt telah berikan kepada kita sebagai ibubapa, usahlah disalahgunakan. Fahamilah kesulitan hidup anak masa kini, berpada-padalah dalam "ingin menguasai hidup anak" terutama anak yang berumahtangga/ tinggal sebumbung, berwaspadalah dalam 'terasa hati' dengan anak-anak kerana ditakuti ianya menjadi doa mustajab yang kita sendiri sesali implikasinya dan doakanlah kebaikan anak-anak. Usahlah jadi penghukum terhadap kekurangan anak KERANA kita belum tentu menjadi anak sehebat anak-anak kitaoleh itu jadilah pendorong hidup anak-anak.

Anak doakan mak abah, mak abah doakan anak. Moga bersinar bahagialah hidup kita sekeluarga di dunia dan di akhirat.  

Friday, October 5, 2012

Peristiwa Hidup Diurus(PhD): Anak & Bajet 2013

Bajet 2013 dibentang pada 28 September 2012 (Jumaat). Dah seminggu berlalu...

Sumber:
http://suarabba0813.blogspot.com
Tarikh sama pada sebelah pagi. Sekolah Dhia mengadakan Majlis Bacaan Yassin, Solat Hajat dan Restu Ilmu untuk calon PMR 2012. Selepas ucapan Pengetua SMKA, Kuala Selangor, Pn Hamidah Binti Ghazali, ibubapa dan anak-anak bersalaman dengan semua guru-guru yang hadir. Kemudian, semua ibubapa, guru-guru dan calon-calon PMR menunaikan solat hajat dan membaca yassin di Surau sekolah. Sebelum solat hajat, ustaz menyampaikan deskripsi tatacara solat hajat dan memaklumkan bahawa doa ibu adalah 3 kali lebih mustajab dari doa bapa dan guru. Moga semua calon PMR di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang; cemerlang dunia dan akhirat.

Sumber:
http://muhammadghazi.wordpress.com
Tarikh sama selepas solat Jumaat. Sedang kami mempersiapkan diri untuk mendengar bajet, tiba-tiba  kami dikejutkan dengan panggilan telefon yang menyatakan Danish cedera di sekolah. Danish dan guru pengiringnya sedang menunggu di hadapan klinik. Jantungku berdegup kencang! Terkenang peristiwa Danish cedera dahi (kena jahit dan ada kesannya sampai sekarang) sewaktu Tadika dahulu. Dalam hati tidak berhenti-henti berdoa. Rupanya, Danish terjatuh selepas dilanggar kawan-kawan yang sedang bermain. Kemalangan telah tercatat di Luh Mahfuz. Setelah doktor merawat Danish, nyata kecederaan di kepalanya tidak parah langsung; cuma darah tak berhenti mengalir. Danish kesakitan. Tapi lukanya tidak perlu dijahit! Terima kasih kepada Cikgu 'J' dan Cikgu Zaharah yang prihatin. Alhamdullillah!

Tiba di rumah, kami masih sempat mendengar pembentangan bajet 2013.

Setelah mendengar liputan tentang bajet 2013, ku sengaja membelek-belek bil dan resit perbelanjaan asas di dalam laci. Ku kuatkan semangat untuk buat pengiraan rasmi ke atas semua perbelanjaan (bulanan dan tahunan). Tak sangka begitu banyaknya perbelanjaan yang perlu dikeluarkan! Kalau ikut gajiku masa mula-mula kerja dulu, memang tak cukup. Kini, ku lebih memahami mengapa ramai anak-anak muda kita yang baru memulakan kerjaya, terasa peritnya untuk menanggung kos sara hidup

Sumber:
sayasukabacablog.blogspot.com
Diharap anak-anak muda lebih tabah dan menghargai hidup susah yang tak susah sangat ni. Keperluan asas semua dah ada walaupun kena bayar sikit (Pandai-pandailah berjimat). Sambil mandi pagi sebelum pergi bekerja, dah boleh masak air. Siap mandi, dah boleh bancuh air milo/teh/kopi 3-in-1 dan makan roti! Ayuh, mari kita terus berdikari untuk perbaiki kehidupan! 

Duit bukan matlamat tetapi pengurusan wang yang baik dan wang dari sumber yang baik, insyaAllah, memudahkan matlamat hidup dicapai. Apa matlamat hidup kita? Mendapat redha Allah swt dalam semua urusan hidup kita di dunia dan hidup bahagia selamanya di akhirat kelak