Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Friday, March 23, 2012

Perlu Hargai Dia(PhD): Selagi Masih Ada...

Ust Abdul Halim
Dalam aku tercari-cari ruangan dan email untuk menghantar soalan soalselidik kepada pengguna blog, ku terjumpa satu blog post yang sangat menyayat hatiku - kisah keinsafan seorang yang bernama lelaki. Ceritanya membuatkan air mataku mengalir deras. Ketabahan seorang isteri solehah di sebalik kemungkaran seorang suami. Bolehkah aku jadi isteri solehah seperti dia, walaupun aku tidak dilayan begitu? Bacalah cerita di blog Ustaz Abdul Halim Abdullah iaitu "Hargailah ia sementara masih ada".

Selesai membaca artikel ini, terbayanglah semua ahli keluargaku iaitu suami, anak sulungku dan anak keduaku yang tinggal di asrama, mak abah di Kota Tinggi, mak abah mertua di Penang, adik beradikku, anak-anak saudaraku, pak cik mak cikku, sepupu-sepupuku dan sanak saudara yang dah lama tak ku ziarah. Selain ahli keluarga, aku juga terbayang wajah guru-guru, ustaz ustazah, supervisors, jiran-jiranku, rakan-rakan sekerjaku, rakan-rakan sepengajianku, rakan-rakan blogku dan semua insan yang menjadikan hidupku sentiasa penuh dengan warna warni. Namun, kekadang ku terasa sesal dek perbuatan dan kata-kataku yang mungkin tidak mencerminkan perasaan kasih dan sayangku, membuatkan aku dan mereka semakin ada jurang.  

Ampunkan diri ini...
Aku teringat salah satu peringatan Ustaz Kazim dalam CD ceramahnya; "Setiap kali ada kematian, cuba  kita ingat semula, ada tak kita buat silap dengan si mati? Kalau tak ada buat salah, lega rasanya. Tapi kalau ada, dah tak boleh nak minta maaf lagi dan bersedekahlah atas nama si mati dengan harapan si mati  mahu memaafkan di akhirat kelak." Ada ramai yang kukenal telah pergi buat selamanya....

Maafkan diri ini, wahai semua insan yang pernah hadir dalam hidupku, aku hanyalah hamba Allah yang sentiasa ada silapnya.  

Wednesday, March 21, 2012

Pulih Hafazan D'Ingatan(PhD): Zero Defect

Setiap orang melalui cabaran yang berbeza. Menghafaz Al-Quran secara separuh masa adalah satu cabaran besar. Dulu, ku sangka mengingat setiap ayat Al-Quran adalah sama tekniknya seperti mengingat fakta dalam ilmu-ilmu lain. Apabila telah khatam sesuatu modul hafazan Al-Quran, aku sangat teruja untuk modul seterusnya. 

Rupa-rupanya, sebelum memasuki modul atau juz baru, kita perlu ulang semula hafazan kita yang lalu. Alamak...ada sahaja yang tertinggal atau tersalah. Tersalah huruf, baris, perkataan dan ayat. Kekadang ayat dari satu surah dibaca dalam surah yang lain. Seorang pembaca Al-Quran, kesalahan seperti ini mesti dielakkan kerana ia boleh mengubah makna ayat tersebut. 

Sumber: http://qualitydigest.com
Oleh itu,  kita mesti betulkan bacaan dan hafazan secara berulang-ulang sehingga mencapai "zero defect". Mungkinkah "zero defect" yang terdapat dalam ilmu pengurusan dipelajari dari Al-Quran? Manusia sudah tentu boleh mencapai "zero defect" untuk satu jangka masa pendek. Namun, dalam jangka masa panjang, ada sahaja kepincangan yang berlaku. Bak kata Ust Dr Muhamad Luqman Ibrahim, Universiti Malaya; "lidah kita tidak bertulang, ada saja silap yang dibuat. Bacaan semasa umur remaja, takkan sama dengan bacaan semasa. Jadi, kita perlu terus belajar dan belajar Al-Quran."

Kesucian Al-Quran ini mestilah dipelihara bukan hanya pada bacaannya tetapi juga pada ajaran yang terkandung di dalamnya. Menjaga bacaan mungkin masih boleh ditunaikan oleh sebahagian umat Islam. Tetapi menjaga ajaran yang tertulis di dalamnya, sering kali kita dustai. Ada sahaja perintah Allah swt yang kita langgar pada setiap detik masa, samada secara sedar atau tidak. Justeru, kita sebagai hamba Allah swt mesti sentiasa melafazkan taubat dan menterjemahkan makna taubat dalam kehidupan seharian. Teruskan bertaubat selagi hayat dikandung badan kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih.
[Nota: Klik untuk Solat Pengawal Hafazan (update: 13/9/12)]

Tuesday, March 20, 2012

Pesona Hati D'Cameron(PhD): Bunga, Teh & Strawberi

Cameron Highland, Pahang masih menjadi pilihan destinasi makan angin sempena cuti sekolah Mac lalu. Ku terpesona dengan pemandangan indah kebun teh nan menghijau serta bunga-bungaan yang pelbagai jenis dan warna. Di samping suhunya nan sejuk lagi nyaman. Banyaknya nikmat yang Allah berikan pada rakyat Malaysia ini. Syukurlah!

Bunga Raya Merah Jambu
Indahnya Malaysia! Alangkah lebih baiknya, sekiranya kawasan penanaman bunga dan strawberi di sini lebih tersusun. Ku selalu bayangkan kalaulah kawasan ini berbentuk  seperti bunga raya, pulau atau rebung. Pastinya dari kejauhan atau dari pandangan udara, pemandangan kawasan ini lebih indah dan mempesonakan. Ahh! Anganku mungkin hanya akan merosakkan keindahan alam semulajadi di sini. Harapanku agar kita semua mampu memelihara keindahan Cameron Highland untuk jangka masa panjang. Moga keindahan dan kemewahan hari ini dapat dirasai oleh generasi akan datang

Heritage Hotel di waktu petang
Heritage Hotel di waktu malam
Strawberi Cameron Highland
Happy Birthday
Birthday kek tak jadi beli!
Lata Iskandar, Tapah
Pokok Halau Nyamuk!
Bunga Orkid banyak di lereng bukit!

Tuesday, March 13, 2012

Pemilik Hati Dinilai(PhD): Allah Niatnya

Ust Ahmad Dusuki
Hampir setiap pagi program Tanyalah Ustaz, TV9 menjadi makanan rohaniku. Sambil mempersiapkan anak ke sekolah dan keluarga, telinga mendengar kata-kata Ustaz yang memberi nasihat. Setiap kali, pasti ada satu dua nasihat yang mengetuk hati dan kotak fikiran. Minggu lepas tajuk "Nilai Hati Di sisi Allah", disampaikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani sangat-sangatlah berkesan, Hati yang baik akan terserlah kebaikannya di luar dan di dalam diri.  

Hatiku Hanya UntukMu
Mungkin itulah sebabnya manusia melihat manusia yang lain dengan pelbagai penilaian dan gerak hati. Lokasi fizikal hati tidak kelihatan dek mata kasar ini, mampu memberi pelbagai aura penilaian kepada orang lain dan menerima pelbagai gelombang penilaian daripada orang lain. Aura ikhlas akan terpancar keikhlasannya, aura dengki akan terpancar hasadnya. Kehebatan hati ini telah diceritakan zaman berzaman, cuma mungkin olahannya mengikut suasana semasa, contohnya The SecretQuantum Ikhlas dan www.iLuvislam.com.

Beruntung menjadi orang Islam kerana Islam telah lama mengajar penganutnya agar mementingkan soal hati; di mana setiap amalan hendaklah dimulakan dengan niat di hati.  Niat ini mesti ditujukan hanya kerana Allah swt. Niat sesuatu perbuatan(amal), lama kelamaan akan terserlah jua baik atau buruknya. Balasan buruk atau baiknya sekeping hati, boleh disaksikan dengan kadar segera iaitu sejak di dunia lagi ("bayar cash") dan juga semasa kita di hari akhirat kelak.  Semasa di dunia ini, lidah kita punya banyak alasan untuk memberitahu seluruh alam mengapa dan kenapa kita berniat demikian. Tetapi di akhirat kelak, tiada lagi alasan!

Tiba-tiba, aku teringat terjemahan ayat 9-10, surah Al-'Adiyat (surah ke-100): [Ayat 9:] Tidakkah dia(manusia) mengetahui, apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur;[Ayat 10:] dan didedahkan segala yang terpendam di dalam dada.
Sungguh hebat! Seketul daging yang bernama hati menjadi cerminan peribadi seseorang semasa di dunia dan menjadi nilaian amal seseorang semasa di akhirat kelak. Oleh itu, marilah kita sama-sama contohilah hati Nabi Muhamad saw; seorang insan yang memiliki sekeping hati yang sangat tinggi aura positif dan ikhlasnya sehingga dapat dirasai oleh setiap makhluk di dunia ini

Thursday, March 1, 2012

Pakaian Hendak Diubah(PhD): Sah Solat

Telekong
Sumber: http://gerairizqitelekungsolat.blogspot.com
Menonton 30 Minit bersama Ust Don siri bertajuk "Syarat Sah Solat: Menutup Aurat" membuatkan aku teringat beberapa pengalamanku menutup aurat untuk solat. Majoriti wanita Islam di Malaysia diperkenalkan dengan telekong sebagai pakaian menutup aurat ketika solat. 

Dulu-dulu, pakaian solatku dijahit oleh mak atau nenek. Mak beli kain "cotton" putih, potong dan jahit. Mak mesti jahitkan kain sarungnya untuk jadikan "ala-ala guni" agar aurat kaki tak terselak waktu sujud. Rasa selesa pakai kain sarung 'ala-ala guni' ni sebab selalunya lepas solat isyak, terus terlena dengan pakaian solat. Kaki terasa hangat bagaikan dalam selimut. 

Kini dah ada pelbagai fesyen telekong yang cantik-cantik. Fesyen sulaman dan jahit tepi yang menarik dan unik. Dek tertarik dengan fesyennya hingga terlupa dengan syarat menutup aurat dalam solat. Atau otak ini telah ada satu keyakinan yang mengatakan bahawa para penjual/pembuat pakaian solat ini pasti telah mengambil kira faktor menutup aurat seperti yang mak dan nenekku amalkan dulu-dulu

Ku pernah membeli pakaian solat berkain nipis yang bersulam cantik serta warna coklat gelap. Pakaian solat ini ringan, "compact" dan sangat mudah untuk dibawa, boleh dimasukkan dalam beg tangan sahaja. Oleh kerana, jenis kainnya terlalu nipis dan ringan, kain ini mudah terangkat pabila ada angin kuat seperti angin dari kipas angin! Sedang aku sujud, tiba-tiba telekong ini terlangkup ke hadapan. Bila bangun dari sujud, muka dah tertutup dan agak sukar untuk membetulkannya semula hingga terpaksa membatalkan solat. Kini, pakaian solat itu tetap compact dalam almari pakaianku. 

Cara hidup dah berubah. Nak jahit telekong sendiri dah tak pandai atau mungkin tak berkesempatan. Barangan 'ready made' sangat diperlukan dalam kehidupan masa kini. Ku sangat-sangatlah mengharapkan para pembuat dan penjual pakaian solat orang Islam di luar sana pada masa akan datang (kesilapan yang lalu, kita bertaubatlah dan moga Allah swt mengampunkan kita semua yang serba kekurangan dan kealpaan), sudah memasukkan kriteria menutup aurat dalam pembuatan pakaian solat. Jika kalian berbuat demikian, pahala pasti milik anda kerana semua wanita Islam solat menepati syarat sah solat. Jika anda menolong agama Allah, Allah pasti menolong kalian. Itu janji Allah swt dan Allah swt tidak pernah memungkiri janjiNya. Allah sahajalah tujuan hidup kita.