Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Tuesday, December 20, 2011

Pabila Hamba Diuji(PhD): Abahku Sakit

Lama sudah aku tidak berkesempatan untuk menulis di blog. Di samping fikiran tak fokus, jadual tak keruan, badan keletihan dan ditambah pula kelajuan internet (guna broadband) di rumah ibubapaku di Felda amatlah perlahan. Nak tengok email pun terpaksa tidak aktifkan grafik. Untuk muat turun satu laman, sempat siap proses masak makan tengahari. Lebih lambat dari "snail mail"! Apalah yang dirungutkan...itu semua cabaran dan ia menampakkan pergantungan hidup masa kini kepada ICT. Allah swt baru ambil sementara nikmat tersebut dariku...itupun aku sudah mengeluh. Banyak nikmat lain yang Engkau beri padaku Ya Allah. Astaghafirullah (100x)...ampunilah hambaMu ini. 

Abahku sakit :-(
Sebenarnya...abahku sakit teruk. Sudah beberapa bulan abahku mengadu sakit tapak kakinya. Tapak kakinya akan terasa panas dan pijar seperti kena cili pada waktu malam. Pabila abah mahu tidur, abah akan halakan kipas angin duduk ke arah tapak kakinya untuk meredakan rasa panas dan sakitnya. Ubat doktor telah diambil, namun sakitnya tak pernah kurang. Abahku seorang yang tak berapa suka makan ubat kecuali panadol (aku juga sepertinya), sedangkan panadol hanya mampu menghilangkan kesakitan buat sementara.

Dua minggu lalu, sedang aku sibuk ingin menyiapkan satu tugasan PhD...tiba-tiba aku mendapat sms dari adikku, Ajit, yang abah terbaring di dalam bilik air dan tak boleh bergerak langsung. Membaca sms tersebut sudah cukup membuatkanku menggigil dan hati berdebar kencang. Kalau nak diikutkan hati, malam tu juga, aku mahu balik kampung.  Syukur Alhamdullillah...adik-adikku (Nizam, Ajit dan Ina) yang berada di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru, sempat berbuat sesuatu di atas nasihat jarak jauh dari adikku, Aro, yang bertugas sebagai doktor di Kelantan. Akhirnya...abahku dimasukkan ke Hospital Penawar Pasir Gudang. 
Moga abah cepat sembuh

Keesokan pagi...sekitar pukul 9 pagi...aku, anakku Dinie dan adikku, Farid yang bertugas di Batu Gajah pulang bersama. Adikku, Kamariah yang berada di Banting telah keluar lebih awal dan terus menuju ke hospital di mana abahku dirawat. Pada hari yang sama, adikku Aro dari Kelantan, Ham di Kluang dan Adam yang baru dua hari bekerja di Kemaman juga tiba. Semua adik beradik pulang demi abah yang tercinta! Moga abahku cepat sembuh dan kembali bertenaga.

Tuesday, December 6, 2011

Pedoman Hidup Diutama(PhD): Akhlak Dijaga

Setiap kali selepas sesi pembelajaran hafazan Al-Quran, Ustaz Shahzam dan Syahir pasti akan memberi kata-kata motivasi kepada pelajar-pelajarnya. Nasihat ustaz sering membuatkan aku ingin kembali ke zaman kanak-kanak agar aku punya lebih masa, lebih tenaga, lebih daya ingatan dan lebih fokus. Namun, zaman itu tidak akan dapat kukecapi kembali. Antara nasihat Ustaz kepada pelajar-pelajarnya ialah:
"Bersyukurlah kerana anda semua telah dipilih oleh Allah swt untuk menghafaz kalamNya. Di antara jutaan manusia di luar sana, anda terpilih. Dengan masa yang terhad sebagai penghafaz separuh masa, gunakanlah masa dalam kelas ini untuk menghafaz. Emak dan ayah hantar ke sini untuk belajar bukan untuk membuang masa. Orang yang menghafaz Al-Quran mesti menjaga akhlaknya iaitu akhlak yang baik seperti yang termaktub dalam Al-Quran. Orang yang menghafaz Al-Quran bukan hanya perlu membaca dan menghafaz tetapi perlu menghayati setiap ayat Al-Quran tersebut untuk dijadikan pedoman hidup."
Nampak macam biasa-biasa aje nasihat ini. Namun bagiku, dengan status usia yang lanjut, komitmen yang banyak dan bintik-bintik hitam berkarat dalam hati(dosa) yang banyak, nasihat ini bukan mudah untuk direalisasikan. Setiap kali aku menghadapi cabaran dan ujian, frasa "anda telah dipilih oleh Allah swt" dan "niatkan menghafaz Al-Quran hanya kerana Allah swt" sentiasa membuatkan aku bangkit semula.