Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Tuesday, June 28, 2011

Proses Hadapi Dugaan (PhD): Doa dan Usaha Senjatanya

Surya menyinariku hari ini. Seindah sang suria...Allah yang mengaturkan segalanya untuk kami. Surya adalah kawanku...kawan satu fakulti dan satu jabatan semasa di UiTM Johor dan juga di Shah Alam. Kini, kami sama-sama pelajar PhD. Hari ini, kami sama-sama selesaikan pendaftaran sebagai pelajar lama. 

Setelah selesai urusan, kami makan tengahari di Intekma Resort, UiTM. Kami makan Spaghetti, Sizzling Yum Mee dan Gado-gado. Kami bukan hanya berkongsi rasa makanan tetapi kami juga berkongsi rasa hati dan perasaan mengharungi PhD. Ada episod cerita kami yang membuatkan kami gelak, kami hampir menitiskan air mata, kami terasa diri sangat 'tak pandai', kami rasa susahnya dan macam-macam rasa lagi. Bak kata Surya...PhD not only turn you into 360 degrees but sometimes double up till you can't balance yourself

Umrah 2009: Terpahat di Hati
Bagiku pula, PhD seperti ujian ibadah haji (berdasarkan pengalaman orang lain yang telah bergelar haji dan hajjah). Bagaimana kita berhadapan dan menangani ujian sebelum, semasa dan sesudah haji itulah yang menentukan pencapaian haji kita. Ada orang begitu besar dugaannya sebelum menunaikan haji seperti sakit kritikal walaupun wang dah cukup. Ada orang yang begitu besar ujiannya semasa menjalani ibadah haji seperti marah yang melampau dengan pasangan. Ada orang yang begitu besar musibahnya selepas menjalani ibadah haji seperti kehilangan hartanya dan orang yang disayangi.

Begitu juga PhD...ujiannya berbeza bagi setiap orang samada sebelum, semasa dan selepas. Ada orang yang begitu besar cabarannya sebelum PhD seperti getir untuk mendapat tajaan. Ada orang yang begitu hebat rintangannya semasa PhD seperti bahtera perkahwinan runtuh atau idea baru asyik diambil orang sebelum sempat diterbitkan. Ada orang begitu besar cabarannya selepas PhD seperti angkuh dengan title Dr atau sukar naik pangkat walaupun sudah bekerja keras. 

Orang yang di luar rangkuman (samada mereka pernah berada dalam proses PhD atau tidak) mungkin tidak atau kurang memahami dan menyelami perjalanan hidup pelajar PhD. Sebagai pelajar, kita tak boleh mengubah orang di luar rangkuman. Justeru, kitalah yang perlu, dengan penuh hikmah, mengadaptasi diri dengan perubahan. Ramai juga yang berpesan agar pelajar PhD mesti melipatgandakan doa dan mempelbagaikan usaha sepanjang perjalanan. Moga-moga aku, Surya dan semua pelajar PhD yang niat belajarnya keranaMu, Ya Allah...akan menjadi graduan PhD yang bertaqwa dan berguna pada agama, bangsa dan negara

Amalkan doa (di samping ibadah-ibadah lain) dimudahkan urusan iaitu  :-
اللهم رب يسر ولا تعسر رب اتمم بالخير برحمتك يا ارحم الرحمين
Maksudnya: Ya Allah, Mudahkanlah segala pekerjaan dan janganlah disusahkan. Ya Allah, sempurnakanlah sebaik-baik dengan rahmatMu. Ya Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Saturday, June 25, 2011

Pesakit Hendaklah Dijaga (PhD): Sayangilah & Temanilah Mereka

Hospital Segamat
Dalam Kenangan
Anda pernah sakit dan dimasukkan ke hospital? Mungkin pernah dan mungkin tidak. Apabila kita sakit dan tinggal di hospital, kita dinamakan pesakit. Hemm...tapi kalau kita sakit dan tinggal di rumah, biasanya kita tidak dipanggil pesakit. Kenapa ya? Samada pesakit di hospital atau di rumah, orang sakit hendaklah dijaga, diambil berat dan disayangi.
Aku punya pengalaman menjadi pesakit di Hospital Segamat sewaktu melahirkan ketiga-tiga anakku. Berjuang kesakitan tanpa orang tersayang berada sama di sisi katil (wad pre-natal) sebelum melahirkan, amatlah memberi pengalaman pahit dan trauma pada diriku. Syukurlah, Allah hantarkan padaku doktor pakar, jururawat terlatih dan jururawat praktikal yang prihatin

Aku juga pernah menjaga orang sakit di hospital iaitu menjaga anak sulungku, Dinie dan anak keduaku, Dhia. Dinie sakit mengejut...pagi sakit perut, tengahari dah kena bedah apendiksnya. Dhia pula sewaktu tinggal di asrama, demam panas dan kemudian naik bintik merah yang disyaki chicken pox, terus dihantar ke hospital berdekatan agar tidak menjangkit rakan-rakan seasrama. Seronok menjaga Dinie dan Dhia kerana keakraban anak dan ibu sangat kurasai.

Bagiku, menjaga orang sakit juga merupakan tugas yang mencabar terutamanya di waktu malam; kerana tidur sambil duduk di atas kerusi. Tidur tidak lena. Apabila terjaga, perlu melihat tahap kesihatan pesakit. Kekadang baru hendak melelapkan mata, dikejutkan oleh pesakit untuk ke bilik air. Kekadang tiba-tiba terjaga, terdengar pesakit atau pesakit di katil lain, merayu kesakitan. Mungkin kerana kurang keselesaan atau faktor-faktor lain, ada ramai pesakit di hospital, ditinggalkan keseorangan tanpa penjaga

Adakah perasaan kasih, sayang dan cinta tidak begitu utuh lagi pada pesakit, maka penjaga  tidak sanggup mengharungi kesusahan tersebut bersama? Atau sudah hilangkah perasaan belas dan nilai kasih sayang antara kita? Ada juga yang berkata, "Tak apa...di hospital, jururawat dan doktor ada, mereka boleh jaga, ubat ada, makanan sedap. Apa nak takut!". Mudahnya kita melepaskan tanggungjawab kita pada orang lain. Lebih menyedihkan lagi...jika kata-kata ini keluar dari suami atau isteri yang dicintai, anak-anak dan saudara mara yang disayangi. Seolah-olah, pesakit sudah tiada nilainya lagi di dunia ini.

Pengalaman sendiri, kulihat ada keluarga yang sangat prihatin dan penyayang, ahli keluarga bergilir menjaga sepanjang waktu. Ada keluarga yang kurang prihatin, datang melawat sama seperti pelawat umum yang lain, sambil membawakan pesakit beberapa keperluan. Ada keluarga yang tidak prihatin, tidak pernah datang melawat pesakit. Bersyukurlah, kiranya kita masih disayangi dan dijagai oleh ahli keluarga terdekat sewaktu kita sakit di hospital atau di rumah. Bagi ahli keluarga yang tidak atau kurang mengambil berat tentang orang sakit, insaflah. Temanilah dan sayangilah pesakit selagi mereka masih hidup...
Pengalaman keseorangan berjuang menahan kesakitan di hospital dan pengalaman melihat pesakit lain dibiarkan keseorangan terlantar di hospital membuatkan aku insaf. Aku lebih menghargai kasih sayang semua orang di sekelilingku dan kasih sayang Allah swt yang tiada bandingannya. Rupanya sakit adalah satu rahmat dari Allah. Apabila sakit, bolehlah membaca ayat 87 surah Al-Anbiya agar sakit kita diberi pahala dan membersihkan segala dosa kita:-
لا إله الا أنت سبحانك اني كنت من الظالمين.
Maksudnya: Tiada Tuhan selain engkau, Maha suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk dalam kelompok orang yang aniaya

Thursday, June 23, 2011

Pussy Haiwan Disayangi (PhD): Dello Candid!

Pada mulanya, Danish mahu menamakan kucing kami, Jello. Kemudian, aku menukarkan J kepada D supaya lebih gah sifat kejantanannya, maka jadi Dello. Hemmm....bila difikirkan semula macam jenama komputer Dell yang ditambah huruf O! Selain takut dengan Danish (tapi tak lari bila Danish membelainya), Dello akan lari ketakutan bila kami bawa beg plastik/kain atau bakul baju kotor. Dia lari macam lipas kudung!Lucu sungguh aksinya...

Mesra Dgn Farid, Adikku
Manja Dgn suamiku
Dari Kejauhan!
Di Rak TV pun OK!
Dello nak makan?

Dello balik kampung?
Dello selesa?
Dello ushah mouse?

Wednesday, June 22, 2011

Pelayaran Hidup Diurus (PhD): Allah Fokusnya

Menonton Halaqah Sentuhan Qalbu di TV9 yang bertajuk Mengurus Dunia membuatkan air mataku mengalir deras bila memikirkan caraku menguruskan hal dunia seperti kerjaya, keluarga, harta, kawan, masyarakat dan sebagainya. Dek kejahilanku, keegoanku dan pengaruh syaitan durjana, kebanyakan urusan dunia tersebut sering kali tersasar dari tujuan pengabdian kepada Allah swt
Kerjaya dikejar siang dan malam kerana inginkan penghargaan dan pencapaian pangkat, hinggakan lupa bersujud kepada Yang Maha Pencipta. Jika  berkesempatan solat, seringkali hanya mengambil masa yang singkat dan dibuat hampir-hampir di akhir waktu. Solat tahajud mungkin tiada dalam diari kerana keletihan kerja di siang hari. Antara suruhan Allah swt dan arahan bos di pejabat, mana yang lebih ditaati dan ditakuti?  
Mencintai suami atau isteri kerana kehebatan, keturunan dan kecantikan pasangan, hingga lupa nilai agama yang patut diutamakan. Berhabis wang kerana ingin mengekalkan kecantikan dan kehebatan fizikal untuk pasangan. Adakah cantik fizikal sahaja perlu dikekalkan? Cantik rohani bagaimana? Adakah kita pernah diajak/diajar oleh pasangan untuk melengkapkan kecantikan rohani? Adakah kita pernah mengajar/mengajak pasangan dan anak-anak untuk melengkapkan kecantikan rohani? Mana lebih ditakuti kehilangannya, kasih sayang pasangan atau kasih sayang Allah? 

Begitulah...kehidupan dunia yang ku layari. Terlalu pentingkan dunia, lantas akhirat terabai dan hilang fokus. Aku tertipu dengan nikmat dunia yang besarnya hanyalah seperti setitis air dan aku melepaskan nikmat akhirat yang luasnya bagaikan lautan tidak bertepi. Aku masih belum terlambat untuk kembali kepada Allah dan mendapatkan kasih sayang Allah. Bila kita memiliki kasih sayang Allah, kita akan memiliki kasih sayang semua makhluk di dunia ini. Percayalah...
Bertaubatlah dan berjanjilah pada diri untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa walaupun dengan cara berdikit-dikit. Aku mahu pelayaran hidupku ini mendapat manfaat di dunia dan di akhirat. Marilah kita panjatkan doa memohon cinta Allah swt yang berbunyi:
"Ya Allah, aku bermohon kepadaMu segala kebaikan, akhlak yang terpuji, menjauhi segala kemungkaran, mengasihi golongan yang miskin. Aku mohon cintaMu, menyintai mereka yang mencintaiMu, berilah taubat, ampunan dan rahmatMu dan jika Engkau berkhendak menguji suatu kaum, matikanlah aku tanpa diuji." [mukasurat 135 dalam buku Indahnya Amalan Doa oleh Dato' Ismail Kamus]

Saturday, June 18, 2011

Penat Hasil Duduk (PhD): Gerakkan Sendi

Bila mengadap komputer terlalu khusyuk, tak sedar masa berlalu begitu cepat. Lebih daripada 2 jam sehari, namun kekadang hasilnya bukan seperti yang dirancang. Bila azan berkumandang, barulah tersedar. Mata terasa pedih. Nak bangun, kaki terasa kebas. Urat pinggang rasa macam nak putus. Dulu-dulu aku tak terasa penat begini. Adakah ini disebabkan usia telah memasuki era 40-an? Ditambah pula, kurang gemar minum susu dan ambil supplement tidak bersungguh.

Teringat aku akan nasihat seorang pegawai perubatan dalam slot kursus haji tentang bagaimana nak menjaga kesihatan di dalam kapalterbang. Penerbangan yang mengambil masa selama 5 - 8 jam ditambah pula dengan ruang tempat duduk yang kecil. Tentu badan stres! Sesetengah orang yang tidak biasa 'terbang', akan mengalami tekanan perasaan. Untuk elakkan tekanan tersebut, beliau menyarankan agar  kaki, tangan, leher dan bahu digerak-gerakkan. Dengan berbuat demikian, aliran darah dalam badan akan mengalir dengan selesa ke seluruh badan.

Syukurlah aku dilahirkan sebagai seorang Islam. Senaman ciptaan Yang Maha Penyayang memang sudah sedia ada dalam aktiviti seorang muslim pada setiap hari iaitu solat 5 waktu sehari semalam. Mari kita kira...kalau satu solat wajib kita peruntukkan 10 minit, ini bermakna 50 minit kita telah bersenam! Ditambah pula dengan solat-solat sunat. Tentu kita akan lebih sihat tubuh badan, fikiran dan rohani! Kebaikan solat bukan hanya 3-in-1 tetapi lebih daripada itu...solat membawa kita ke syurga!
Solat Banyak Kelebihannya
Begitulah indahnya Islam! Keberkesanan solat dalam hidup manusia telah dibuktikan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan,Universiti Malaya dan ramai lagi pakar sains dunia. Namun, kita sahaja yang suka menyusahkan diri dek kejahilan tentang ilmu Islam. Untuk  itu, marilah tingkatkan usaha secara berterusan menimba ilmu hingga ke akhir hayat... 

Wednesday, June 15, 2011

Pussy Haiwan Disayangi (PhD): Dello Namanya

Sama tinggi dgn Danish
Sewaktu mula-mula pindah ke sini, suamiku menyuarakan hasrat untuk memelihara kucing. Aku suka dan sayang kucing tetapi aku keberatan nak menjaga kebersihannya. Bau najis dan muntahnya kekadang membuatkan aku hilang mood. Aku bersetuju dengan syarat kebersihan dijaga. Dua hari kemudian, dia mendapatkan seekor kucing parsi jantan di kedai Haiwan Pet Hana, Puncak Alam. Dek kelincahannya bermain bola, tuan terdahulu menamakannya Drogba.  Tetapi kami telah memberi nama baru iaitu Dello.

Teman Setiaku
Menurut pakar kesihatan, binatang peliharaan adalah terapi kesihatan untuk manusia. Ianya memang benar! Tatkala fikiran dan badan letih, terasa amat terhibur melihat gelagat dan telatah Dello. Dello tersangat manja dengan suamiku dan paling takut dengan Danish!

Sudah dua kali Dello hilang. Susah nak cari Dello sebab dia jenis pendiam; kekadang penat panggil namanya, tidak mengiau langsung! Bagiku, Dello ada dua keistimewaan yang membuatkan aku terasa damai dan dekat dengannya. Pertama, jika aku berjaga malam, Dello merupakan teman paling setia di sisi. Kedua, sekitar 6 pagi, Dello pasti mengiau-ngiau kuat di depan pintu bilik tidurku. Dello akan turun tangga beriringan denganku untuk sama-sama pergi tempat makannya. Dello lapar, nak makan! Sayang Dello!

Dhia Acah Dello
Terlentang!
Tidur Di Tangga pun jadi!
Sama Corak Dgn Dello

Tuesday, June 14, 2011

Panda Halatuju Ditemui (PhD): Ketenangan Dalaman

Cuti sekolah kali ini, suamiku mengajak kami sekeluarga menonton filem Kungfu Panda 2 di pawagam. Selesai  makan tengahari dan solat zuhur, kami terus ke pawagam. Hampir dua jam tidak terasa dek unsur lucu dan aksi dalam filem ini. Sewaktu dalam perjalanan pulang, Danish bertanya; "Mak, apa maksud inner peace yang Po cakap tadi?" Inner peace terjemahannya ketenangan dalaman. Danish masih tak faham. Aku memberi beberapa contoh seperti Danish rasa gembira bila kena solat, Danish rasa seronok bila Danish beri derma dan Danish rasa suka bila tolong mak. "Perasaan gembira, seronok dan suka itulah yang membuatkan Danish tenang. Itulah inner peace ", jelasku. Apabila telah faham, Danish mula mengaitkan ceritanya dengan kisah ikhtiar hidup - buku kegemarannya.

Bagiku, tenang mudah diperkatakan tetapi sukar dihayati, dipraktikkan dan diperolehi tanpa FOKUS [khusyuk]. Sukar untuk tenang ketika kumarah. Sukar untuk tenang ketika aku didustai. Malahan, sukar untuk kutenang sebelum, semasa dan selepas solat. Semasa solat, fizikal nampak tenang mematuhi pergerakan solat tetapi fikiran tidak fokus pada solat. Kekadang sedang rukuk solat, otak mendapat ilham menu makan tengahari. Bila difikir-fikirkan markah solatku...terasa ngeri...ngeri yang amat sangat! Merasai ngeri sahaja tidak mencukupi. Dan tidak boleh maju dalam solat...juga tidak boleh maju dalam hidup.

Oleh itu, mulai sekarang kucatatkan setiap langkah untuk setiap usahaku, kunilai pencapaian untuk setiap usaha tersebut, kuperbaiki setiap usaha yang tidak berjaya, kupertingkatkan setiap usaha yang berjaya dan kufokuskan fikiran pada setiap gerakan usaha yang dirancang. Macam konsep PDCA [Plan-Do-Check-Act] yang pernah aku buat aje!? Dan kurasa Continuous Improvement punya kaitan dengan istiqamah!

Ayuh diri...kuatkan semangatmu...mari lakarkan dan fokuskan satu persatu impian masa depanmu! Usah gentar dan takut kerana Allah sentiasa bersama-sama orang yang menyusuri kehidupan dan usaha dengan doa. Lantas, kubaca doa ini agar dipermudahkan segala urusanku.

اللهم رب يسر ولا تعسر رب اتمم بإلخير بـرحمتك يا ارحم الراحمين
Maksudnya: Ya Allah, Mudahkanlah segala pekerjaan dan janganlah disusahkan. Ya Allah, sempurnakanlah sebaik-baik dengan rahmatMu, Ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Monday, June 13, 2011

Pilihan Hati Didengari (PhD): Nasyid Untuk Anakku

Berinteraksi dengan komputer yang disambung ke talian Internet adalah aktiviti utama anak-anakku sewaktu cuti sekolah. Mujurlah komputer kegunaan mereka telah diletakkan di ruang tamu [tempat terbuka] sebagai langkah memantau. Sebagai ibu, kusangat bimbang dengan dunia siber yang dilihat sebagai tempat BEBAS di mana manusia seolah-olah lupa bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui! Dunia maya yang penuh dengan informasi bebas saringan, bebas nilai murni dan bebas akidah. Bukan kanak-kanak sahaja yang terkandas, malahan begitu ramai orang dewasa yang terjerumus di dalamnya!

Antara informasi yang dikongsi anak-anak pada cuti sekolah kali ini ialah nasyid 'Freedom' dendangan Maher Zain dan bacaan Al-Quran oleh imam Al-Masyari. Sewaktu mereka kecil-kecil dulu,

  • lagu nasyid seperti Bismillah, Syukur dan Puji-pujian dari kumpulan Raihan
  • zikrullah alunan arwah Ustaz Asri Rabbani  dan nasyid kumpulan Rabbani 
  • lagu Yusuf Islam seperti Bismillah, I look I see dan Your Mother  
adalah salah satu makanan  pilihan yang diberikan kepada nikmat pendengaran. Diharap alunan ayat-ayat Allah dan nasyid yang mengingatkan Allah swt dan Rasullulah saw akan terus menjadi pilihan mereka. Ingatan penuh taqwa (rasa takut kepada Allah) merupakan alat saringan kendiri paling mujarab untuk menghadapi arus kebebasan di alam maya dan alam nyata.







Saturday, June 11, 2011

Pancaran Habanya Dinanti (PhD): Sang Suria

Panorama di Lebuhraya Seremban-KL
Tatkala dalam perjalanan, aku pasti teruja dengan keindahan matahari. Kucuba sedaya upaya merakamkan panorama indah ini melalui kedudukanku di dalam kenderaan. Tidak semua ambilan gambar tersebut menjadi. Kemahiranku mengendalikan kamera tidak mampu merentasi kepantasan kenderaan dan pergerakan matahari. Kejap matahari terlindung dek pokok, kejap matahari dilindung dek tiang lampu. Dalam hati terdetik, walau secanggih mana teknologi manusia, manusia tidak mampu merakam setiap detik keindahan Sang Suria dari setiap sudut dan lokasi di dunia ini. Manusia memang tidak upaya. Hanya Allah yang Maha Kuasa! Namun, aku akan terus berinovasi kerana Allah suka kepada hambaNya yang cintakan ilmu dan mempelajari semua kejadian ciptaanNya.

Antara surah dalam Al-Quran yang kuketahui ada menceritakan tentang matahari ialah surah As-Syam, Adh-Dhuha dan Al-Fajr. Teringatku kepada doa selepas solat sunat Israq (solat apabila matahari naik segalah). Doa tersebut berbunyi: "Segala puji hanya kepada Allah yang telah menjadikan hari ini sejahtera dan telah terbit matahari dari tempatnya. Wahai Allah, berilah aku kebaikan hari ini dan jauhkanlah daripadaku keburukan hari ini. Wahai Allah, terangilah hatiku dengan cahaya hidayahMu sebagaimana Engkau terangi bumi dengan matahariMu terus menerus dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih." Doa ini sangat terkesan padaku dan aku sering membayangkan jika cahaya imanku secerah dan sehangat Sang Suria. Sungguh indahnya hidupku dan hura haranya hidup syaitan. Malang sekali, aku sering kecundang dan memberi kemenangan kepada syaitan!

Syukurlah...kerana setiap hari matahari tetap patuh dengan perintah Allah untuk terus menyinari dunia. Selagi matahari terbit dari timur dan tenggelam di sebelah barat, maka tanda kiamat akhir belum tiba. Ini bermakna ruang taubat masih terbuka luas untukku...justeru kembalilah kepada Allah swt dan Nabi Muhamad saw.

Matahari Terbenam 
Matahari Hampir Terbenam

Panorama Matahari Naik di Lebuhraya KESAS
Matahari Naik - Danish Catch this!


Thursday, June 9, 2011

Pakar Hardware Diimpot (PhD) : Adam Electron

Pulang semula ke Puncak Alam dari bercuti di Felda, kubawa adik bongsuku, Adam, bersama. Dia sedang cuti semester hingga pertengahan Julai. Dah lama kupujuk Adam. Baru kali ini, dia setuju dan mak abah pula beri kebenaran. Aku benar-benar memerlukan kepakaran elektronik Adam. Aku hampir putus asa dengan kerosakan beberapa alat elektrik di rumahku. Pendek kata, asal barang rosak, cadangannya beli baru. Hampir setahun kubertahan dengan masalah elektronik ini dan ku menganggap semua ini sebagai penghapus dosa dan pengukuh imanku.

Perkemaskan Wayar Telefon
Perbaiki Kipas
Adam berjaya membetulkan masalah yang kuhadapi dengan kos yang murah di antaranya ialah :-
1) kipas angin remote control ditukar fungsinya kepada manual
2) lampu yang tinggi wattnya ditukarkan kepada lebih rendah tetapi masih terang
3) loceng rumah yang rosak telah diperbaiki.
4) starter lampu ditukar dengan starter lebih baik
5) wayar-wayar yang lintang pukang diperkemaskan
6) Plug yang tidak berfungsi diperbaiki
7) Hadiah lampu yang kuterima, kini telah dipasang

Suami dan Adam 
Aku bersyukur mempunyai adik sebaik Adam. Suamiku sangat teruja dengan kepakaran Adam dalam bidang elektronik dan kereta. Dinie, Dhia dan Danish sangat akrab dengan Adam yang dipanggilnya Pak Su. Dinie dan Dhia hampir setiap masa berkongsi cerita dengan Adam. Kekadang kedengaran mereka bergelak tawa. Danish pula sibuk memuji Pak Su di depanku. Hatiku terasa gembira kerana Adam disenangi dan disayangi suami dan anak-anakku, walaupun kami jarang berjumpa. 

Adam dan Dhia di Johnny Steamboat
Adam dan Danish di Secret Recipe
Adam di Terminal Bersepadu Selatan
Seminggu lamanya Adam menyelesaikan masalahku. Adam memang seorang pakar elektronik dan kreatif dalam kerjanya. Terima kasih Adam kerana sudi tolong Kak Ana. Ya Allah, permudahkanlah pembelajaran Adam di Politeknik Pasir Gudang dan Engkau perkenankanlah segala cita-cita murni Adam. Ya Allah, terima kasih kerana memberi jalan penyelesaian terhadap masalah elektronik di rumahku dan jadikanlah rumahku ini sebagai syurga untuk kami sekeluarga mengabdikan diri kepadaMu. 

Penawar Hati Diziarahi (PhD): Jumpa Mak Abah


Pekan Sungai Rengit
Tiba sahaja cuti sekolah, anak-anak yang tinggal di asrama pulang. Suami memberitahuku bahawa agenda cuti sekolah kali ini adalah balik Felda Kledang.  Riang tidak terkira bagaikan mahu melompat tinggi-tinggi. Dah lama aku tak pulang ke kampung sejak Aidil Fitri tahun lalu. Rindu pada mak abah dan suasana Felda; Felda yang telah banyak memberi manfaat kepada kami sekeluarga sejak 1980. Syukurlah atas semua nikmat Allah yang disalurkan melalui Felda kepada kami.

Kami melalui lebuhraya Senai-Desaru yang baru dan keluar Ulu Tiram kerana laluan tersebut belum dibuka sepenuhnya. Jika lebuhraya ini dibuka sepenuhnya, adik beradikku yang tinggal di Pasir Gudang akan lebih kerap menjenguk mak abah di Felda. Ada kelainan di pekan Sungai Rengit. Sewaktu membeli keperluan dapur, aku dan suami sempat menjamah rojak di Restoran Selera Keluarga Kita di D'Mara sambil menikmati keindahan laut yang mengadap Singapura. Lihat banyak kapal-kapal besar berlabuh. Indahnya, Maha Suci Allah!
Rojak
D'Mara Sungai Rengit
Suatu petang, aku sempat membawa mak, abah dan Adam menyusuri pantai Desaru dan Tg Balau. Mak kata dia dah lama tak tengok Tg Balau...walaupun dekat. Singgah di jeti Tg Balau, nak makan mee udang. Malangnya tutup! Kami sekeluarga terus berjalan-jalan di tepi pantai Tg Balau yang berhampiran Muzium Nelayan. Banyak monyet. Takut juga..kot-kot monyet mengganas. Tetapi menurut pak cik jual ais krim di situ, monyet-monyet ini hanya menyerang makanan yang ditinggalkan pengunjung. Lega!

Berselera dan Sedapnya!
Pantai Tg Balau
Kutanya abah, di mana ada gerai makan yang sedap-sedap untuk kita makan malam. Abah kata di Sungai Rengit ada sebuah restoran yang dia suka dan selalu bawa mak makan di situ. Lantas, kami terus ke Restoran Tom Yam, Sungai Rengit, bersebelahan dengan Klinik Rakyat. Kami makan ikan siakap masak tiga rasa dan masak stim ditambah dengan lauk lain. Memang sedap masakannya. Itulah pertama kali, kulihat mak dan abah betul-betul menikmati makanan luar. Rasa terharu!

Sewaktu menonton TV di malam hari, abah mengadu sakit kaki dan minta mak urut kakinya. Abah dah siap bawa minyak angin dan bantal di depan TV. Aku bantu mak. Mak urut kaki kanan dan aku urut kaki kiri abah. Urut kaki dan badan abah adalah salah satu kebiasaanku sewaktu kecil dulu. Sambil urut, ku belek-belek tapak kaki abah...tak pecah-pecah berbanding dulu. Tiba-tiba hatiku terasa sebak kerana dah sekian lama aku tak buat begini pada abah. Maafkan Ana, abah.

Kelihatan Kapal dari Tg Pengelih
Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan kepada mak abah yang sangat kusayangi. Ya Allah, terima kasih kerana mempermudahkan aku menziarahi mak abah; taat anak perempuan yang telah berkahwin kepada ibubapanya adalah tertakluk kepada kebenaran suami. Kasih mak abah membawa ke syurga. Kepulangan yang sungguh bermakna!