Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Thursday, June 9, 2011

Penawar Hati Diziarahi (PhD): Jumpa Mak Abah


Pekan Sungai Rengit
Tiba sahaja cuti sekolah, anak-anak yang tinggal di asrama pulang. Suami memberitahuku bahawa agenda cuti sekolah kali ini adalah balik Felda Kledang.  Riang tidak terkira bagaikan mahu melompat tinggi-tinggi. Dah lama aku tak pulang ke kampung sejak Aidil Fitri tahun lalu. Rindu pada mak abah dan suasana Felda; Felda yang telah banyak memberi manfaat kepada kami sekeluarga sejak 1980. Syukurlah atas semua nikmat Allah yang disalurkan melalui Felda kepada kami.

Kami melalui lebuhraya Senai-Desaru yang baru dan keluar Ulu Tiram kerana laluan tersebut belum dibuka sepenuhnya. Jika lebuhraya ini dibuka sepenuhnya, adik beradikku yang tinggal di Pasir Gudang akan lebih kerap menjenguk mak abah di Felda. Ada kelainan di pekan Sungai Rengit. Sewaktu membeli keperluan dapur, aku dan suami sempat menjamah rojak di Restoran Selera Keluarga Kita di D'Mara sambil menikmati keindahan laut yang mengadap Singapura. Lihat banyak kapal-kapal besar berlabuh. Indahnya, Maha Suci Allah!
Rojak
D'Mara Sungai Rengit
Suatu petang, aku sempat membawa mak, abah dan Adam menyusuri pantai Desaru dan Tg Balau. Mak kata dia dah lama tak tengok Tg Balau...walaupun dekat. Singgah di jeti Tg Balau, nak makan mee udang. Malangnya tutup! Kami sekeluarga terus berjalan-jalan di tepi pantai Tg Balau yang berhampiran Muzium Nelayan. Banyak monyet. Takut juga..kot-kot monyet mengganas. Tetapi menurut pak cik jual ais krim di situ, monyet-monyet ini hanya menyerang makanan yang ditinggalkan pengunjung. Lega!

Berselera dan Sedapnya!
Pantai Tg Balau
Kutanya abah, di mana ada gerai makan yang sedap-sedap untuk kita makan malam. Abah kata di Sungai Rengit ada sebuah restoran yang dia suka dan selalu bawa mak makan di situ. Lantas, kami terus ke Restoran Tom Yam, Sungai Rengit, bersebelahan dengan Klinik Rakyat. Kami makan ikan siakap masak tiga rasa dan masak stim ditambah dengan lauk lain. Memang sedap masakannya. Itulah pertama kali, kulihat mak dan abah betul-betul menikmati makanan luar. Rasa terharu!

Sewaktu menonton TV di malam hari, abah mengadu sakit kaki dan minta mak urut kakinya. Abah dah siap bawa minyak angin dan bantal di depan TV. Aku bantu mak. Mak urut kaki kanan dan aku urut kaki kiri abah. Urut kaki dan badan abah adalah salah satu kebiasaanku sewaktu kecil dulu. Sambil urut, ku belek-belek tapak kaki abah...tak pecah-pecah berbanding dulu. Tiba-tiba hatiku terasa sebak kerana dah sekian lama aku tak buat begini pada abah. Maafkan Ana, abah.

Kelihatan Kapal dari Tg Pengelih
Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan kepada mak abah yang sangat kusayangi. Ya Allah, terima kasih kerana mempermudahkan aku menziarahi mak abah; taat anak perempuan yang telah berkahwin kepada ibubapanya adalah tertakluk kepada kebenaran suami. Kasih mak abah membawa ke syurga. Kepulangan yang sungguh bermakna!

No comments:

Post a Comment