![]() |
Hospital Segamat Dalam Kenangan |
Anda pernah sakit dan dimasukkan ke hospital? Mungkin pernah dan mungkin tidak. Apabila kita sakit dan tinggal di hospital, kita dinamakan pesakit. Hemm...tapi kalau kita sakit dan tinggal di rumah, biasanya kita tidak dipanggil pesakit. Kenapa ya? Samada pesakit di hospital atau di rumah, orang sakit hendaklah dijaga, diambil berat dan disayangi.
Aku punya pengalaman menjadi pesakit di Hospital Segamat sewaktu melahirkan ketiga-tiga anakku. Berjuang kesakitan tanpa orang tersayang berada sama di sisi katil (wad pre-natal) sebelum melahirkan, amatlah memberi pengalaman pahit dan trauma pada diriku. Syukurlah, Allah hantarkan padaku doktor pakar, jururawat terlatih dan jururawat praktikal yang prihatin.
Aku juga pernah menjaga orang sakit di hospital iaitu menjaga anak sulungku, Dinie dan anak keduaku, Dhia. Dinie sakit mengejut...pagi sakit perut, tengahari dah kena bedah apendiksnya. Dhia pula sewaktu tinggal di asrama, demam panas dan kemudian naik bintik merah yang disyaki chicken pox, terus dihantar ke hospital berdekatan agar tidak menjangkit rakan-rakan seasrama. Seronok menjaga Dinie dan Dhia kerana keakraban anak dan ibu sangat kurasai.
Bagiku, menjaga orang sakit juga merupakan tugas yang mencabar terutamanya di waktu malam; kerana tidur sambil duduk di atas kerusi. Tidur tidak lena. Apabila terjaga, perlu melihat tahap kesihatan pesakit. Kekadang baru hendak melelapkan mata, dikejutkan oleh pesakit untuk ke bilik air. Kekadang tiba-tiba terjaga, terdengar pesakit atau pesakit di katil lain, merayu kesakitan. Mungkin kerana kurang keselesaan atau faktor-faktor lain, ada ramai pesakit di hospital, ditinggalkan keseorangan tanpa penjaga.
Adakah perasaan kasih, sayang dan cinta tidak begitu utuh lagi pada pesakit, maka penjaga tidak sanggup mengharungi kesusahan tersebut bersama? Atau sudah hilangkah perasaan belas dan nilai kasih sayang antara kita? Ada juga yang berkata, "Tak apa...di hospital, jururawat dan doktor ada, mereka boleh jaga, ubat ada, makanan sedap. Apa nak takut!". Mudahnya kita melepaskan tanggungjawab kita pada orang lain. Lebih menyedihkan lagi...jika kata-kata ini keluar dari suami atau isteri yang dicintai, anak-anak dan saudara mara yang disayangi. Seolah-olah, pesakit sudah tiada nilainya lagi di dunia ini.
Pengalaman keseorangan berjuang menahan kesakitan di hospital dan pengalaman melihat pesakit lain dibiarkan keseorangan terlantar di hospital membuatkan aku insaf. Aku lebih menghargai kasih sayang semua orang di sekelilingku dan kasih sayang Allah swt yang tiada bandingannya. Rupanya sakit adalah satu rahmat dari Allah. Apabila sakit, bolehlah membaca ayat 87 surah Al-Anbiya agar sakit kita diberi pahala dan membersihkan segala dosa kita:-
لا إله الا أنت سبحانك اني كنت من الظالمين.
Maksudnya: Tiada Tuhan selain engkau, Maha suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk dalam kelompok orang yang aniaya
Terima kasih Link kan blog saya ya kak. I hope you continue writing. Sebagai peringatan buat saya dan kita semua ke arah kebaikan, Insya Allah.
ReplyDeleteTerima kasih atas dorongan dan sokongan Fadzlina.
ReplyDeleteBegitulah kita yang bergelar manusia yang asal kejadiannya..memang mudah lupa sebab itu Islam menyarankan umatnya saling ingat mengingati.