Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Monday, February 27, 2012

Peribadi Hebatnya Dikagumi(PhD): Nabi Muhamad SAW

Buku 25 Nabi & Rasul
Cendol Durian Borhan
Sumber: http://gambargambarpelik.blogspot.com
Setiap dua minggu biasanya kami sekeluarga akan hantar Dhia pulang ke asramanya di Pasir Penambang, Kuala Selangor. Kerapkali jua kami mencuba tempat makan baru (baru bagi kami) atau singgah tempat makan biasa yang ada makanan kegemaran kami. Di Pasir Penambang, ada dua tempat makan yang saya suka iaitu Cendol Durian Borhan dan Warong Soto. Warong Soto ini telah diubahsuai bumbungnya dan ada jual sate ayam serta otak-otak. Yang lebih menarik ada ruangan untuk menderma atau membeli sambil menderma. Di sinilah aku membeli buku: "Kisah Menarik 25 Nabi & Rasul". Kukongsikan beberapa petikan menarik tentang Rasulullah saw yang dituliskan oleh pengarang (boleh rujuk mukasurat 113 - 119):  

Apakah engkau benar-benar kenal Nabimu?
Kenal secara lahir dan batinnya, jasmani, maknawi dan rohaninya,
Atau engkau hanya kenal secara lahir sahaja, tidak lebih dari itu?
Atau engkau kenal secara rambang sahaja?
Sebenarnya kalau engkau kenallah secara lahir 
dan batin, jasmani, rohaninya peribadi Nabimu
Pastinya engkau jatuh hati kepadanya

Engkau akan cinta, engkau akan menyebut selalu namanya
Melalui selawat dan ingatan terhadapnya
Engkau terasa terhutang budi kepadanya
Kerana kedatangannya dan jasanya kepada dunia
Muhamad s.a.w, Nabimu
Dia seorang manusia istimewa, luar biasa yang tiada taranya
Dia adalah manusia yang paling mulia di sisi Allah Taala.
......
Tawadhuknya atau merendah diri, pakaian peribadinya
Kerana itulah dia sanggup duduk,makan,minum
tidur, baring dengan fakir miskin.
Menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah,
Tiada seorang pun melihat mukanya
Melainkan jatuh cinta kepadanya
......
Setiap orang yang meminta tidak pernah dikecewakan
Sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia
Ibadahnya banyak terutama sembahyang
hingga bengkak-bengkak kakinya
kerana terlalu lama berdiri di hadapan Tuhannya.
.....
Tidak pernah mendoakan musuh-musuhnya dengan kejahatan,
Sangat suka meminta maaf dan memberi maaf kepada sesiapa sahaja,
Dia membalas kejahatan dengan kebaikan,
Satu perbuatan yang luar biasa,
Tidak pernah menghina, mencaci
dan merendah-rendahkan orang lain.
....
Sangat menghormati dan memuliakan tetamunya,
Terlalu menjaga hak-hak jirannya sekalipun orang kafir,
Terlalu mengutamakan orang lain dari dirinya sendiri,
....
Tidak pernah melaknat sekalipun pada binatang
Apa yang diperkatakannya ibarat mutiara
Kerana itulah sangat mempengaruhi orang yang mendengarnya
Didikan dan pimpinannya sangat berjaya
....
Dapat menyatupadukan manusia yang berbagai-bagai etnik, puak, kaum, 
bangsa dan yang berlainan warna kulit, bahasa dan budaya.
Bahkan dapat menanamkan kasih sayang satu sama lain
Melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh kepada syariat Tuhannya
Berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya
Mampu menjadikan dunia bersih dari noda dan dosa
Berjaya menjadikan setiap orang rasa berpuas hati
....
Patut sangatlah baginda menjadi idola dan ikutan kita
Agar kita menjadi satu bangsa yang bertuhan, merdeka, bersatu, 
berakhlak mulia, bertamadun, berkasih sayang, bantu membantu, 
harmoni, bermaruah, bersih dari noda dan dosa
Allah dan Akhirat menjadi matlamat hidup kita.

Tuesday, February 21, 2012

Pelajar Hayati Dunia(PhD): Nilai Sebuah Buku

Konsep Halal Difahami
oleh Non-Muslim
Buku memang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan seseorang yang sedang belajar. Orang belajar mengaji, bukunya adalah Al-Quran atau Mukaddam. Orang yang belajar kenal huruf, bukunya ada gambar yang ada huruf. Orang yang belajar guna alat elektrik, bukunya adalah manual. Orang yang belajar nak pasang perabot sendiri (DIY), bukunya adalah kertas manual. Orang yang belajar menyanyi, bukunya adalah note-note nyanyian. Orang yang belajar memasak, bukunya adalah buku masakan. Orang yang belajar memandu, bukunya adalah panduan peraturan jalanraya. Apakah buku kita yang paling baik? Sudah tentulah Al-Quran dan Hadis. 

Elemen Pengaruh:
Anda Terpengaruh?
Untuk lebih mantap atau berkesan sesuatu ilmu, kita perlukan guru. Belajar mengaji, perlu guru mengaji. Belajar  kenal huruf, perlu cikgu sekolah tadika atau kekadang mak abah. Belajar alat elektrik, perlu tengok orang lain guna. Belajar pasang perabut sendiri, perlu penerangan wakil penjual tentang membaca gambarajah. Belajar menyanyi, perlu ada guru vokal. Belajar memasak, perlu ada chef sekurang-kurangnya ibu kita. Belajar memandu, perlu ada guru memandu. Guru akan membantu kita untuk memahami ilmu yang tidak boleh dicapai oleh fikiran kita. Kemudian, kita akan diilhamkan dalam sesuatu ilmu untuk kita menjadi orang pandai yang semakin baik(taqwa) atau jahat(mungkar) di sisi Allah swt

Al-Quran Terjemahan
Syukurlah atas nikmatNya, apabila mendapat lebihan wang RM200 (baucer buku 1Malaysia) untuk diri sendiri dan anak-anak bersekolah pula sebanyak  RM100. Dengan wang sebanyak itu, banyak buku yang boleh dibeli untuk menambahkan ilmu yang sememangnya sangat cetek. Tempoh baucer akan tamat hujung Mac 2012 dan kita masih ada peluang untuk mendapatkan ilmu yang telah dibukukan oleh para penggiat ilmu di kedai buku berhampiran dan pesta/ekspo buku (contohnya Ekspo Buku Islam 2 Putrajaya) yang diadakan dalam bulan Februari dan Mac ini. Marilah beramai-ramai membeli dan membaca buku agar ilmu-ilmu ini tidak 'hilang'. Namun, pada masa yang sama kita mesti yakini bahawa hanya Al-Quran, buku yang kekal abadi lagi benar.

Friday, February 10, 2012

Penyeri Hati D'jiwa (PhD): Cinta Rasullullah

Buku Kelebihan Selawat
Februari kali ini sungguh berseri kerana sambutan Maulidur Rasul. Kisah Nabi Muhamad saw diceritakan di TV [ Al-Hijrah, TV9, TV3, TV1 dan Astro Oasis]. Pelbagai gaya penyampaian penceramah hingga menyentuh perasaan dan mengetuk pintu hati. Maka terpancarlah cahaya cinta dan terlerailah rasa rindu kepada kekasih Allah swt, Nabi Muhamad saw. Ahh...barulah terasa nikmat menonton TV kerna programnya punya "roh baik". Teruskanlah usaha sebegini agar rakyat Malaysia boleh menikmati program yang membawa ketenangan jiwa. Percayalah...jiwa tenang, hati jadi senang, fikiran jadi rasional, akhlak jadi sopan, hidup tambah bahagia, masyarakat jadi sepakat, negara jadi lebih makmur!
Lagu Best : "Solatlah Dulu"

Sewaktu cuti sempena Maulidur Rasul pada 5 Feb yang lalu, kami sekeluarga menghadiri majlis merai menantu di Kuantan, Pahang, rumah Prof Madya Hj Razali Ismail dan Kak Yah. Tahniah untuk Zaim dan Atikah, moga jodoh berpanjangan hingga ke syurga. 

Semasa berada di Kuantan Parade, ku sempat membeli CD Selawat, CD Iwan Syahman (bekas penyanyi dangdut) serta buku Kelebihan Selawat oleh Maulana Muhamad Zakariya. Buku Syamail Muhamad saw telah "sold out" di semua kedai yang ku kunjungi. Walaubagaimanapun, apa yang kuingin telah ditemui dalam buku Kelebihan Selawat iaitu tip melihat Rasullullah saw di dalam mimpi. Namun yang membuatkan aku lebih terharu ialah kata-kata ahli Sufi Parsi (mukasurat 114): 
"Pertemuan atau perpisahan tidak mempunyai nilai dibandingkan dengan kegembiraan kekasih dan mencari sesuatu yang lain daripada kegembiraannya adalah satu kesalahan (di dalam percintaan)"
Marilah kita sama-sama kuatkan azam untuk memberi kegembiraan kepada Rasullullah saw dengan mematuhi perintah Allah swt dan mengikut sunnah Nabi Muhamad saw. InsyaAllah...kita pasti gembira bertemu dengan baginda kelak.
Ana Ikan Bakar Petai, Tanjung Lumpur
Riverview Kuantan
Surau Klasik di Restoran Ikan Bakar
Zaim dan Atikah

Wednesday, February 1, 2012

Pengawal Hafazan D'ingatan (PhD): Solatlah...

Sumber: mama-syafi.blogspot.com
Ungkapan ini biasa kita dengar: "Kejayaan sukar dicapai, tetapi mengekalkan sebuah kejayaan adalah lebih sukar." Jika diaplikasikan dalam kehidupan kita seharian, ia memang ada benarnya. Contohnya: kita telah berjaya solat pada seawal umur 9 tahun, tetapi lebih sukar untuk sentiasa berjaya solat. Untuk mengekalkan sebuah kejayaan, kita mesti kaedah latihan mantap yang diadun dengan nilai fizikal dan spiritual. Bila difikirkan secara mendalam, mungkin sebab itulah solat dilaksanakan berulangkali dalam sehari, iaitu 5 solat wajib dalam sehari dan kalau ada kemampuan buat solat sunat di waktu siang atau malam. Rupa-rupanya, solat 5 waktu ini adalah ruang latihan asas untuk kita perkukuhkan kejayaan solat kita. Islam sangat Indah!

Doa Kuatkan Daya Ingatan - Surah Ar-Rahman ayat 1-5
Sumber: mamamiya-elize.blogspot.com
Bukan itu sahaja, solat boleh mengawal ayat-ayat Al-Quran dari hilang daripada ingatan. Solat adalah pertemuan antara seorang hamba dengan Allah swt dan jika disulami dengan kalam suci, maka bertambah asyik dan manislah pertemuan tersebut. Hasil pertemuan yang asyik dan manis pasti akan menghalang diri seseorang dari melakukan perbuatan yang boleh merosakkan perhubungan yang indah. Perhubungan yang indah dan baik antara hamba dan Penciptanya, pasti menghasilkan kejayaan lain yang lebih bermakna. Lihatlah, bacalah dan hayatilah kisah-kisah orang terdahulu yang telah berjaya dalam solatnya. Dengan kata lain, kejayaan solat ada di dalam rutin solat itu sendiri dan kejayaan solat mampu mencipta kejayaan yang lain. Ikut istilah usahawan, ini dikira satu nilai tambah (value-added) berharga. Sungguh hebat! Allahu Akbar(33x)

Antara motivasi  untuk membaca ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafaz dalam solat ialah:- 
  1. Membaca 3 ayat di dalam solat lebih baik daripada mendapat harta yang paling berharga  (contoh 3 ayat ialah Surah Al-Kauthar atau Surah An-Nasr) 
  2. Sesiapa yang membaca dalam solatnya 100 ayat pada satu malam, maka dia digolongkan dalam golongan orang taat kepada Allah swt.  (contoh 100 ayat ialah Surah Al-Fajr[30 ayat] + Surah An-Naba [40 ayat] + Surah Al-Balad [20 ayat] + Surah Al-Ikhlas [4 ayat] + Surah An-Nas [6 ayat])  
  3. Sesiapa yang bangun dengan membaca 10 ayat, maka ia digolongkan dalam golongan orang yang ingat Allah swt. (contoh 10 ayat ialah Surah Al-Falaq[5 ayat] + Surah Al-Masad [5 ayat]) 
  4. Sesiapa yang bangun dengan membaca 1000 ayat, maka ia digolongkan dalam kalangan orang yang dikurniakan ganjaran berganda
  5. Membaca 100 ayat dalam satu malam, ditulis baginya ketaatan sepanjang malam
  6. Jaminan tidak akan melupakan Al-Quran bagi mereka yang sentiasa membaca Al-Quran pada waktu malam ataupun siang.  

(Nota: untuk lebih terperinci tentang motivasi memantap hafazan Al-Quran ini, sila rujuk formula 10 dalam buku "Sehingga Al-Quran Terpahat di Hati").