
Hari ini kumahu catatkan doa yang sering kubaca sewaktu selepas solat di dalam blog sendiri. Himpunan doa-doa ini kuambil dari buku Amalan dan Ibadat Seharian oleh Hj Johari Hj Alias (1992). Doa-doa ini ditulis dalam bahasa Melayu dan Arab. Sehingga hari ini, buku doa ini kubawa setiap kali bermusafir. Dah naik lusuh dibuatnya! Himpunan doa di bawah tidak termasuk awalan dan akhiran doa iaitu puji-pujian ke atas Allah swt dan selawat ke atas Nabi saw.
{Doa 1} [ Ya Allah, wahai Tuhanku, hidupkan aku dengan iman, matikan aku dalam iman serta masukkan aku ke dalam syurga bersama-sama iman. Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah segala dosaku dan dosa-dosa ibubapaku, serta kasihanilah ibubapaku sebagaimana mereka berdua mengasihaniku semasa aku masih kecil.
Ya Allah, akhirilah umurku dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umurku dengan kesudahan yang tidak baik. Ya Allah, ya Tuhanku, janganlah kiranya Engkau pesongkan imanku sesudah Engkau kurniakan kepadaku petunjuk. Anugerahilah aku rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia. ]
{Doa 2} [ Ya Allah wahai Tuhanku, aku berlindung denganMu daripada syak dan keraguan dan menyegutukanMu dan aku berlindung denganMu daripada kufur dan beriman dengan pura-pura, dan aku juga mohon perlindungan denganMu daripada kejahatan akhlak dan pandangan yang buruk, dan kesudahan yang buruk pada harta-hartaku, keluargaku dan anak-anakku sekalian.
Ya Allah, wahai Tuhanku, aku berlindung denganMu daripada segala bala bencana, daripada mendapat kecelakaan yang berpanjangan dan kesudahan yang buruk. Aku juga mohon perlindunganMu daripada kegembiraan orang-orang yang membenciku di atas kekecewaanku, dan aku mohon perlindunganMu daripada mengidap sebarang penyakit dan harapan yang menghampakan. ]
{Doa 3} [ Ya Allah, aku memohon dariMu kebajikan yang segera dan yang akan datang yang Engkau ketahui dan aku tidak ketahui. Aku memohon dariMu syurga dan apa saja yang boleh aku menghampiri kepadanya dari percakapan, perbuatan gerak hati dan keyakinan. Dan aku berlindung dengan Engkau dari azab neraka dan apa saja yang boleh menghampiri aku kepadanya dari percakapan, perbuatan, gerak hati dan keyakinan.
Ya Allah, aku memohon kebajikan sebagaimana yang dipohon oleh hambaMu dan pesuruhMu, Nabi Muhamad s.a.w. Ya Allah, apa yang Engkau tentukan atasku sesuatu perkara, jadikanlah kesudahannya petunjuk wahai Tuhan yang hidup, wahai Tuhan yang berdiri sendiri, wahai Tuhan yang Maha Besar dan Maha Mulia. Tiada Tuhan yang lain melainkan Engkau, dengan kemurahan rahmatMu, aku memohon pertolongan, dan dari azabMu aku minta dijauhkan, dan perbaikilah keadaanku seluruhnya sebagaimana Engkau perbaikkan orang-orang yang soleh. ][Nota: Klik untuk Doa Selamat dan doa sebelum/selepas belajar (update 13/9/2012)]
No comments:
Post a Comment