Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Wednesday, April 13, 2011

PhD == Pohon Hidup Diriku

Semalam aku amat letih tetapi kuminta suamiku mengejutkanku jika aku terlelap kerana aku benar-benar ingin menonton Halaqah Sentuhan Qalbu pukul 10.00 malam di TV9. Program ulang tayang! Topiknya kali ini ialah Pohon Hidup  dan tetamu jemputannya adalah Mufti Negeri Perak, SS Tan Sri (Dr) Hj Harussani Bin Hj Zakaria. Aku amat tertarik dengan tajuk dan juga tetamu jemputannya. Program ini amat menyentuh hati nuraniku kerana ianya membawa penonton melihat diri sendiri secara terus. Membawa penonton muhasabah dan menginsafi diri secara live. Hari ini aku mendapat satu lagi makna PhD iaitu Pohon Hidup Diriku

Lebih menginsafkan aku ialah apabila ulama atau Mufti Negeri Perak ini sebak dan mengalirkan air mata ketika menghuraikan sebuah hadis tentang menyediakan diri agar Pohon Hidup dalam diri kita terus subur. Pohon hidup yang dimaksudkan dalam program ini ialah Pohon IMAN. Kita terlalu sibuk membajai dan menyiram pohon duniawi sehingga kita lupa untuk menyiram dan membajai pohon IMAN. 
Pohon IMAN kita tandus, kering, kontang dan terbiar. Wang yang kita cari bukan tujuan untuk Allah, suami/isteri yang kita cinta bukan kerana Allah, anak-anak yang kita pelihara dan sayangi bukan kerana Allah, harta yang kita miliki bukan digunakan kerana Allah, karier yang kita ada tidak dilaksanakan kerana Allah, ilmu yang kita cari bukan kerana Allah.   Berkejar-kejar ke sana ke sini. Sibuk sana sini. Berlumba-lumba tak tentu hala.  Semuanya bukan kerana Allah. 
Kita menjadi hamba dunia. Tanggungjawab wajib diabaikan apatah lagi yang sunat. Tanggungjawab pada Allah dikemudian-kemudiankan. Solat tak sempat. Sedekah tak cukup duit. Makan dan minum ikut sempat; bukan ikut adab dan halal. Adab dan etika diketepikan. Ambil hak orang sana sini. Salahkan orang kanan kiri. Kita lupa janji kita, kita lupa muhasabah diri kita. Kita sebenarnya hanyalah hamba Allah dan khalifah di bumi ini yang menunaikan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya untuk bekalan hidup yang abadi di akhirat kelak.
Kalau insan yang begitu taqwa, warak dan tawadduk seperti Mufti Negeri Perak juga menangis, adakah aku tidak menangis? Adakah aku masih ego pada Yang Maha Pencipta? Adakah aku merasakan aku tidak berdosa? Atau adakah merasakan segala yang kulakukan diterima Allah? Aku yakinkah aku tidak berbuat  sebarang khilaf? Sempurnakah aku? Ternyata hanya Nabi Muhamad saw sahaja manusia yang maksum (sempurna) di dunia ini. Baginda yang telah dijanjikan syurga oleh Allah swt TIDAK PERNAH berhenti bertaubat lebih daripada 70 kali setiap hari sepanjang hayatnya. Bagaimana pula dengan aku? 

Akhirnya...aku menangis jua. Air mata tidak dapat dibendung lagi. Mengalir deras. Ditambah pula mindaku memutarkan semula (flashback) detik-detik hidup yang lalu...! Banyaknya khilaf, salah, lalai, leka, alpa, amarah, jahil dan dosa. Ya Allah...ampunilah hambaMu ini. Usah Engkau pesongkan hatiku setelah Kau beri petunjuk. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pengurnia.

No comments:

Post a Comment