Seawal pukul 10:30 pagi (8 April) kami dah tiba di KLIA untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Pak Ngah, Mak Ngah, Pak Su dan Mak Su yang akan menunaikan umrah. Bagi Pak Su dan Mak Su, ini merupakan pengalaman pertama mereka ke sana. Setelah semua ahli rombongan telah berkumpul di Kaunter L, kami diberitahu bahawa penerbangan sebenar adalah pukul 8:30 malam; bukannya pukul 3:00 petang. Jelas terbayang, wajah ahli rombongan sedikit suram kerana terpaksa menunggu lebih lama. Kasihan melihat wajah mereka terutamanya mereka yang dah 'berumur' dan wajah ahli keluarga yang menghantar. "Ah...lamanya kena tunggu!" Itulah antara sedikit cabaran sebelum menjadi tetamu Allah.
 |
Ahli keluarga Kota Tinggi |
Terkenang saat-saat indah semasa pertama kali menjadi tetamu Allah pada Mei 2009. Kalau boleh nak berada di sana sepanjang hayatku. Sewaktu peninggalanku selama 2 minggu, emak dan abahku menjaga anak-anakku, Dhia dan Danish. Abah menghantar Dhia ke sekolah di Bukit Siput dan Danish ke tadika di Gemereh. Itulah pengorbanan abah dan mak padaku...dia seolah-olah merasai dan mengerti yang anak sulungnya ini dilanda badai dalam hidup. Hujung tahun 2008 merupakan tahun badai... yang membuatkan hatiku hancur luluh, jasadku hampir kaku dan nafasku hampir terhenti.
 |
Tanah Suci Mekah |
Sebaik kaki menjejaki Lapangan Terbang Jeddah, hati semakin berdebar dan gusar. "Adakah aku diterima menjadi tetamuMu, Ya Allah? Aku terlalu banyak salah, aku terlalu banyak dosa, Ya Allah. Kau ampunkanlah aku, Ya Allah. Kau permudahkanlah, Ya Allah." rintih hatiku sepanjang perjalanan dari Jeddah ke Madinah dan dari Madinah ke Mekah. Namun, kegusaranku berakhir sebaik sahaja tiba di kedua-dua Tanah Suci. Hatiku yang luluh, kini terasa terlalu
DAMAI dan
TENANG. Ketenangan yang tak boleh digambarkan. Terlalu banyak hidayah dan petunjuk yang Allah pancarkan dalam hati dan fikiranku agar aku dapat meneruskan kehidupan yang mendatang dengan penuh ketaqwaan.
 |
Masjid Nabawi |
Dulu ku hanya tahu bahawa kasih sayang Allah itu Maha Luas dan Maha Kekal. Sekadar tahu dan yakin disebabkan ilmu tauhid yang kupelajari. Kini, nikmat kasih sayang Allah swt dan Rasulullah saw yang kurasai di Tanah Suci dulu, membuatkan aku lebih menyakini kasih sayang Allah serta sentiasa menghargai dan mensyukuri setiap pemberianNya.
PemberianNya dan kasih sayangNya terlalu sempurna! Hatiku benar-benar rindukan Mekah dan Madinah. Hatiku benar-benar rindukanMu, Ya Allah. Ya Allah, pilihlah aku dan suami sekali lagi untuk menjadi tetamu agungMu bagi menunaikan rukun Islam yang ke-5 pula. Moga doaku ini dimakbulkan. Amin....
No comments:
Post a Comment