Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Sunday, November 27, 2011

Penerokaan Hargai Dunia (PhD): Pusat Sains Negara

Pintu Gerbang Pusat Sains Negara
Destinasi pertama cuti sekolah hujung tahun 2011 ini ialah Pusat Sains Negara (PSN). Dinie demam tapi dia tetap bersemangat untuk pergi. Harga tiket masuk amatlah murah dibandingkan dengan nilai ilmu yang diperolehi pengunjung dan nilai penyelenggaraan barang-barang pameran di pusat ini. Bagi kami, satu hari suntuk memang tidak mencukupi untuk menghayati semua pameran di PSN ini. Masih ada tempat yang kami tak sempat nak tengok. Namun, kalian jangan risau, solat masih boleh dikerjakan walaupun seharian di sini. Ada surau yang selesa untuk digunakan. Bagi pengunjung wanita, jika terlupa bawa telekung, telekung juga ada di surau ini. Kalau lapar...ada cafe yang terletak di atas bukit berlatar belakang taman. Cantik sungguh pemandangannya. Dan ada juga van  bergerak Restoran Ayamas di pintu masuk PSN. 

PSN dari Jejantas
Cuti sekolah ini...jika berada di Kuala Lumpur (lokasi sebenar PSN), ambillah kesempatan untuk membawa keluarga ke sini. Boleh tambah ilmu, boleh 'refresh' ilmu dan boleh eratkan hubungan sesama ahli keluarga dan rakan. Terasa ruginya kalau rakyat Malaysia tidak memanfaatkan fasiliti ilmu yang telah disediakan oleh negara. Tidak semua negara di dunia ini yang punya galeri seperti ini. PSN di negara ini dari tiada menjadi ada dan daripada ada menjadi lebih baik. Syukurilah nikmat ini selagi ianya ada. 

Taman Pra-Sejarah
Pameran Robotic
Dhia Bagaikan di Permukaan Bulan
PSN Tersergam Indah 1996
Model Robot dari Kertas
Macam kat Aquaria
Danish & Transformer
Dinie & Gadis Robot

Saturday, November 26, 2011

Pohon Hijrah Diberkati (PhD): Berdoalah...

Esok adalah 1 Muharam 1433. Bermulanya tahun baru hijrah. Islam begitu indah. Telah disediakan doa khusus untuk menghadapi tahun baru. Ada 2 doa yang perlu kita baca iaitu (1) doa akhir tahun untuk tahun 1432 dan (2) doa awal tahun untuk tahun 1433. Doa akhir tahun akan dibaca selepas solat asar dan doa awal tahun akan selepas solat maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah 1432. Kita juga dianjurkan untuk berpuasa sunat pada 10 Muharam (hari Asyura) nanti.

Seingatku, aku lebih kerap terlepas atau terlalai untuk memanjatkan doa-doa ini pada tahun-tahun yang lalu. Kalau kuingat sekalipun, kubaca doa tersebut tanpa penghayatan kerana tidak ambil berat tentang pengertiannya. Hari ini, bila kubaca pengertian doa-doa ini...hati terasa sebak. Sebenarnya dalam doa ini, kita merintih memohon rahmat daripada Allah swt...walaupun dosa kita bertimbun dan taubat jarang dibuat. Hati terdetik: "Mengapakah dulu-dulu, aku tak berapa kisah?...Ya Allah, ampunilah hambaMu ini." Astaghafirullah (100x). 

Doa Akhir Tahun
(Baca selepas solat asar)
Doa Awal Tahun
(Baca selepas solat maghrib)
Ya Allah,
Apa yang aku kerjakan pada malam ini 
daripada perkara yang Engkau tegah,
Aku tidak bertaubat daripadanya dan
Engkau tidak meredhainya, dan
Engkau tidak melupainya dan
Engkau tidak memarahi aku kerananya
 sedangkan Engkau berkuasa menyiksaku
 dan Engkau memerintahkan aku untuk
 bertaubat setelah aku berani melakukan maksiat terhadapmu, maka aku memohon keampunan kepadaMu.

Ampunilah aku dari segala yang aku lakukan padanya perkara yang Engkau redha dan Engkau menjanjikan untuk member pahala.

Oleh itu, aku pohon daripadaMu, Ya Allah
Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah
Yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan,
Engkau terimalah diriku
Janganlah Engkau putuskan harapanku
terhadapMu
Wahai Tuhan Yang Maha Mulia


Ya Allah, Engkau zat yang kekal abadi,
Sedia adanya dengan anugerah dan
kemakmuranMu zat yang Maha Agung
Kami menggantungkan 
nasib (dan harapan).
Kini, tahun baru telah menjelang.
Oleh itu, kami mohon perlindunganMu
bagi sepanjang tahun ini daripada
segala godaan syaitan dan jin.
Berikanlah kami kemampuan
Untuk menghindari segala nafsu
yang meruntun kepada kejahatan.
Bimbinglah kami dengan segala
yang dapat mendekatkan diri
kepadaMu
Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan
Maha Mulia.”

Rujukan:
Indahnya Amalan Berdoa, Dato’ Ismail Kamus, mukasurat 181-182
Rujukan:
Indahnya Amalan Berdoa, Dato’ Ismail Kamus, mukasurat 172-173

Friday, November 18, 2011

Pi Hitung Diriku (PhD): Cinta Allah


Rancangan Muhasabah Diri bertajuk "Diusir dari memasuki syurga" disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal di TV Al-Hijrah semalam benar-benar mengajak aku mengimbau sifat takkabur dalam diri. Dalam program ini, pengertian takabbur dirujuk kepada sebuah hadis iaitu ".......takabur adalah menolak kebenaran dan menghina orang lain." Mendengar contoh yang diberikan oleh Ustaz, membuatkan hati terdetik: "Pernahkah aku berbuat demikian?" Fikiran merayau masuk ke terowong waktu. Takkaburnya aku...Astaghafirullah (100x)

Tiba-tiba kembara fikiranku ke masa lampau terhenti dek alunan nasyid oleh kumpulan Rabbani bertajuk Kerlipan Cinta di kaca TV. Menghayati bait-bait lagu tersebut membuatkan diri menilai rasa cinta pada Allah swt, tuhan Yang Maha Pengasih. Yang pasti...cinta Allah adalah cinta abadi, sentiasa ada walaupun hambaNya ini seringkali tidak menghiraukan cintaNya. Diri ini banyak mengejar cinta lain dari cintaMu, Ya Allah. Cinta lain, cinta yang sementara. Cinta yang mungkin kecundang dek godaan dan dugaan di sepanjang perjalanan atau dipisahkan oleh kematian.
Kerlipan Cinta oleh Nasyid Rabbani
Hidayah...
Kerlipan Cipta Cintaku
Harum Rembulan Mawar
Dingin Dihakis Cita

Keseorangan...
Aku...
Masih menghitung diri
Kesiangan yang panjang
Ingin mengisi hati...

Padamu kasih
Satukan aku
Dengan rahmatmu
Dengan kalimah
Malam Siangku
Berliku liku 
Duri Dugaan
Siratan Cinta

Biar di jemala mentari
Dan di bahu gunung berapi
Pasrahku abadi untukMu...untukMu

Ku kembara setia di sisinya
Ku inginkan bahagia abadi
Ku impikan sentosa naungannya
Selamanya...

Wednesday, November 16, 2011

Pengertian Huraian Diulangkaji(PhD): Al-Quran

Sedang khusyuk menyalin gambarajah hukum mad dalam kelas tajwid, tiba-tiba Ustaz mengajukan dua soalan mudah iaitu (1) Apakah nama lain bagi Al-Quran? dan (2) Apakah definisi Al-Quran? Terkedu aku kerana jawapan kepada dua soalan tersebut agak samar-samar dalam kotak fikiranku. Aku cuba memejam mata beberapa saat untuk memfokuskan fikiran dan menerawang dalam setiap kotak simpanan ingatanku  bagi mencari jawapannya. 

Al-Quran
Hati terasa sungguh sedih dan diri terasa malu kerana sebagai umat Islam, maklumat asas seperti ini tidak terpahat dengan rapi dalam otakku dan tidak terpacul dengan spontan dari bibirku. Sungguh berbeza jikalau ditanya dengan soalan-soalan berbentuk duniawi! 

Ustaz telah memberikan jawapan dan jawapan tersebut telah ku tuliskan dalam buku nota tajwid. Hari ini, bila kubuka lembaran Al-Quran terjemahan keluaran Yayasan Restu Malaysia pada bahagian isi kandungan (sebelum Surah Al-Fatihah). Menakjubkan! Ada jawapan untuk dua soalan di atas. Selama ini, aku tidak berapa kisah untuk menelitinya. 

Untuk soalan pertama, aku hanya mampu memberikan satu nama lain untuk Al-Quran iaitu Al-Furqan. Mengikut para ulama' terdapat 90 nama Al-Quran tetapi antara yang masyhur ialah:-
 Al-Kitab, Al-Furqan, Al-Zikr, الروح, الوحي, Al-Kalam, Al-Mubin, Al-Karim dan Al-Nur
Untuk soalan kedua, jawapan ku ringkas dan tidak menepati dengan definisi masyhur Al-Quran iaitu:-
"Al-Quran ialah kalam Allah s.w.t yang bersifat mu'jiz yang diturunkan kepada Nabi Muhamad s.a.w dengan perantaraan Jibrail a.s. dalam bahasa Arab yang termaktub dalam mushaf yang disampaikan kepada umat Islam melalui riwayat yang mutawatir, yang menjadi ibadah dengan membacanya, dimulai dengan Surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan Surah An-Nas." (ms 16, Al-Quran terjemahan, Yayasan Restu, cetakan 2006)
MRSM Ulul Albab Kota Putra, Besut 
Syukurlah kerana Allah swt masih memberi ruang dan peluang untukku kembali mengingati kalamNya. Hari ini (16 Nov 2011 bersamaan 20 Zulhijjah 1432) merupakan hari penting untukku dan anakku, Dinie, dalam dunia hafazan Al-Quran. 
Berikut adalah doa selepas menghafaz Al-Quran yang diamalkan oleh para tahfiz:-
اللهم اني استود عك بما علمتني فأردده الي وقت حاجتي اليه ولا تنسينه يا رب العلمين
Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku kembalikan kepadaMu apa yang Engkau ajarkan kepadaku, kembalikan kepadaku di waktu aku memerlukannya dan jangan dilupakannya, wahai Tuhan sekalian alam."

Sunday, November 13, 2011

Pengantin Harap Dirai(PhD): Moga Bahagia Selalu


Pelbagai cara pasangan mempelai ingin abadikan hari bahagia tersebut. Ada yang mementingkan konsep persandingan seperti konsep dalam taman, hitam putih dan tradisional. Ada yang mementingkan tarikh cantik seperti tarikh 11.11.11 yang kebetulan jatuh pada hari jumaat yang mulia. Walau apa jua pilihan mereka, diharap pasangan dan keluarga sentiasa meletakkan keredhaan Allah swt sebagai tangga teratas dalam penentuan dan pelaksanaan pilihan
Hanim dan suami, Segamat, Johor
Moga pasangan ini bahagia hidup berumahtangga hingga ke akhir hayat. Sekiranya badai melanda dalam bahtera perkahwinan nanti, ingatlah saat-saat bahagia ini. Ingatlah bagaimana hati yang penuh rasa cinta terpancar di wajah suami isteri yang berseri-seri. Cahaya cinta bukan hanya untuk hari pernikahan dan persandingan. Cahaya cinta bukan hanya untuk dilakonkan pada hari-hari tertentu. Pasangan hendaklah sentiasa menyuburkan cahaya cinta ini dengan cahaya iman sepanjang waktu, walau di mana jua berada. Cahaya cinta tanpa dipagari cahaya iman akan mudah putus asa ketika dilanda badai dan akan mudah terpedaya ketika dilanda godaan. 

Sokongan seluruh lapisan masyarakat dan keluarga dapat membantu mengukuhkan mahligai perkahwinan mereka ini.  Kepada pasangan ini, kita ucapkanlah kata-kata berinspirasi, nasihatilah dengan penuh hikmah dan tunjukkanlah nilai-nilai mulia berkeluarga yang diperintahkan oleh Allah swt. Dengan kerjasama semua....kita semua mampu mencapai matlamat utama hidup ini iaitu mendapat redha Allah swt. Kukuh institusi keluarga maka kukuhlah bangsa, agama, negara dan ummah.
Linda dan Syahril, Teluk Air Tawar, Penang
Rahmat dan Zaitun, Kulim Kedah
Nota: Tahniah untuk Ustaz hafazanku yang akan melangsungkan perkahwinan pada 24 Disember 2011 ini.

Pengorbanan Hamba Ditunai(PhD): Aidil Adha

Majlis Korban, Surau Al-Furqan
Ini adalah kali kedua kami merayakan Aidil Adha di rumah sendiri. Agak sukar juga membuat persiapan raya dari segi penyediaan makanan. Aku cuma berjaya memasak nasi himpit, rendang ayam dan kuah lemak lodeh. Anak-anak dan suami menikmati masakanku tanpa banyak kerenah. Hanya aku yang masih merindui masakan mak! Selepas solat raya di Surau At-Taufiqqiyah berhampiran rumah, kami bersegera ke Surau Al-Furqan untuk majlis korban di sana. Sebenarnya, kami ingin menyertai korban surau di kariah kami tetapi kuota korban dah penuh. Tak ada rezeki untuk tahun ini. 

Menyaksikan acara korban, membuatkan aku terbayang Nabi Ismail a.s. yang berada di pangkuan Nabi Ibrahim a.s.  Ketulusan dan kehebatan pengorbanan mereka sentiasa agung di sisi Allah swt hingga hari akhirat. Pada usia remaja di kala itu, wawasan Nabi Ismail untuk mendapat redha Allah swt semata-mata amatlah dikagumi. Bagaimana pengorbananku semasa usia remaja? Bagaimana kumahu mendidik anak-anakku yang kini di usia remaja, agar mereka sudah punya wawasan seperti Nabi Ismail? Jauh di sudut hatiku berkata: "Moga Allah swt sentiasa menerima pengorbananku yang mungkin tidak setulus Nabi Ismail, tidak sehebat Nabi Ibrahim dan tidak secekal Siti Hajar.

Gali lubang untuk darah korban
Ikat kaki lembu
Kerjasama Pegang Lembu
Lembu Pertama Dikorbankan
Darah korban dikambus
Sesi Melapah

Keluarkan Isi Perut Lembu
Sesi Agihan Daging Korban

Wednesday, November 2, 2011

Penyejuk Hati Daku(PhD): Al-Quran & Nabi Muhamad

Pejam celik, pejam celik, dah masuk bulan Zulhijjah. Aidil Adha akan tiba tidak lama lagi. Anak-anak yang tinggal di asrama akan pulang bercuti. Bila tiba Aidil Adha...pastinya kita akan teringat khutbah terakhir Rasulullah saw di Lembah Uranah, Arafah pada 9 Zulhijjah. Antara wasiat baginda ialah:-
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku.
Sentiasa teringat akan perjuangan Nabi Muhamad saw dalam menegakkan syiar Islam dan kasih sayang baginda terhadap umatnya. Tatkala menonton rancangan Law Kaana Bainana di TV Al-Hijrah setiap hari Ahad pukul 9.00 malam pasti kerinduan dan kecintaan terhadap baginda semakin membara. Mengubati rasa rindu pada baginda...antaranya ialah dengan membaca Al-Quran. Ini kerana akhlak Nabi Muhamad saw adalah akhlak Al-Quran

Hati pasti menjadi damai pabila mendengar bacaan Al-Quran. Apatah lagi kalau kita membaca, mempelajari dan menghayati Al-Quran seperti yang diperingatkan oleh Ustazah Asni Mansor Al-Hafizah dalam rancangan Muqaddimah TV9 dua hari lepas. Al-Quran adalah kitab yang mesti diyakini oleh semua orang Islam. Al-Quran merupakan satu mukjizat yang penuh dengan ilmu dunia dan akhirat serta sentiasa benar sepanjang zaman

Namun, sebagai insan biasa aku seringkali alpa dan menjadikan Al-Quran sumber rujukan ilmu yang terakhir. Ya Allah...ampunilah aku (100x). Aku mahu menjadikan Al-Quran pilihan utamaku...Ya Allah. Tunjukkanlah daku jalannya dan teguhkanlah semangat daku untuk mencapai matlamat ini. Usah Engkau pesongkan hatiku setelah Engkau beri petunjuk...Ya Allah.

Mampukah aku menjadi umat Al-Quran (salah satu topik dalam rancangan Tanyalah Ustaz TV9)? Apakah pelan tindakan untuk istiqamah menjadi umat Al-Quran? 
Source: ukhtievy.blogspot.com  
"Wahai diri...yang punya iman senipis kulit bawang dan hati yang dipenuhi pelbagai racun keimanan...mulakan saat ini dengan membaca walaupun hanya sepotong ayat. Dan tingkatkanlah usaha kita setiap hari mengikut kemampuan agar boleh ditambah bilangan ayat yang dibaca dan ditingkatkan kualiti bacaan serta penghayatan terhadap Al-Quran."