Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Monday, August 15, 2011

Pabila Halangan Dilalui (PhD): Taqwa Pilihan Kita

Pagi ini aku sempat mendengar beberapa nasihat dari  Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah. Nasihat ini terbit dari beberapa soalan yang diajukan oleh Wardina kepada ustazah dalam Segmen Fikrah Ramadan di TV3. Aku suka mendengar segmen ini kerana pengaju soalan (hos program) selalunya memberi permasalahan biasa yang dihadapi oleh orang biasa-biasa dan ditanya dengan bahasa yang biasa-biasa. 

Antara masalah biasa yang dihadapi oleh wanita ialah berasa sangat sedih kerana tidak dapat mengutip pahala yang berganda dalam bulan Ramadan ini dek kehadiran haid yang dikurniakan Allah swt. "Redhalah dengan apa yang Allah swt kurniakan itu DAN isikanlah waktu yang terluang dengan aktiviti lain kerana amalan sunat mendapat pahala amalan wajib dan amalan wajib mendapat pahala 70 kali ganda", begitulah nasihat ustazah. 

Banyakkan Doa
Aktiviti solat iaitu 5 waktu solat wajib dan solat sunat tarawih dah terhenti. Aktiviti membaca Al-Quran selalunya dibuat selepas solat 5 waktu juga terhenti. Cadangan pertama untuk mengisi masa terluang ialah memasak untuk ahli keluarga berbuka puasa dan bersahur. Cadangan kedua ialah bangunkanlah atau pujuklah ahli keluarga untuk solat tarawih atau solat malam

Sebagai insan biasa-biasa, aktiviti solat dan membaca Al-Quran yang terhenti ini, ku isi dengan mendengar bacaan Al-Quran, alunan zikir-zikir atau ceramah melalui CD player atau Internet. Buku-buku rujukan yang kubeli masih banyak belum sempat kubaca. Baca buku sekejap sambil berbaring. Tak sampai 5 minit, buku baca mukaku pula!  Kekadang kuganti dengan aktiviti mengemas rumah yang 'hard core' seperti membersihkan kipas-kipas siling atau vakum setiap ceruk rumah. Berpeluh-peluh badan dibuatnya dan terasa amat sihat. 
Masalah biasa-biasa di kalangan wanita ialah suami tak dengar cakap atas perkara-perkara baik.  Jawapan yang diberi sangat menarik perhatianku iaitu isteri perlu lebihkan doa dari bercakap. Selalunya wanita lebih banyak cakap; pagi cakap, tengahari cakap, petang cakap dan malam nak tidur pun cakap. Ustazah kata: "ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut emosi basi. Ooo....rupa-rupanya selama ini kata-kataku jadi basi! Ustazah menambah lagi: "Bersyukurlah dengan suami yang ada. Contohilah ketabahan dan kesabaran Siti Asiah, isteri Firaun, melayani Firaun yang zalim dengan penuh hikmah." 

Friday, August 12, 2011

Perusuhan Hangat D'England (PhD): Banyak Buruknya!

Rusuhan di UK menjadi berita hangat di sana-sini. Malaysia dikejutkan dengan kisah adik Asyraf Haziq Rosli, pelajar perakaunan, yang dirompak ketika beliau dalam keadaan berdarah selepas diserang dan dipukul oleh perusuh. Adik Asyraf juga tidak tahu yang orang lain merakamkan kejadian tersebut. Syukurlah...adik Asyraf selamat. 
Tapi...adakah takdir adik Asyraf, seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan baru selesai aktiviti berbuka puasa bersama rakan, sekadar kebetulan dan tidak memberi pengajaran apa-apa kepada kita di Malaysia? Mungkin ada antara kita yang mengatakan...ala ini perkara kecil sahaja? Ingat, sesungguhnya Allah swt tidak menjadikan sesuatu sia-sia seperti maksud sebahagian ayat 191 dalam Surah Al-'Imran iaitu:
....ربنا ما خلقت هذا با طلا , سبحانك فقنا عذاب النار 
Yang bermaksud: "...Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.

Selesaikah isu yang diperjuangkan dengan cara merusuh yang tidak mengikut undang-undang? Banyak perkara boleh diselesaikan dengan cara baik dan tanpa pertempuran. Jadi...mengapa kita perlu memilih cara yang membawa kerosakan lebih besar? Entahlah...aku juga tidak mengerti. 

Yang pasti, walaupun aku insan biasa yang masih punya hijab jahil, hijab dosa, hijab syaitan, hijab sifat mazmumah dan hijab kelalaian, mahu sentiasa cuba sedaya upaya menyelesaikan kemelut kehidupan melalui cara damai, musyawarah dan perpaduan. Niat dan fikiran yang positif dan suci akan melahirkan tindakan yang positif dan suci. Moga kita semua tergolong di kalangan orang yang sentiasa mengambil pengajaran dari apa yang berlaku dan memelihara agama Allah dalam apa jua keadaan. InsyaAllah. Syukurilah apa yang kita miliki dan perbaikilah yang apa kurang semata-mata hanya kerana Allah swt.

Thursday, August 11, 2011

Palestine Hendaklah Dibela (PhD): Dana & Jihad Berterusan

Lagu Maher Zain bertajuk "Palestine Will Be Free" berkumandang melalui CD player Hifi. Lantas, teringat aku akan cerita dari wakil Aqsa Syarif Berhad mengenai Palestine di Surau At-Taufiqqiyah hujung minggu lalu. Aqsa Syarif Berhad adalah antara NGO yang menyalurkan bantuan pada masa kini dan pada masa lalu kepada rakyat Palestine. Mendengar pengalaman Aqsa Syarif berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk sampai ke Palestine membuatkan aku bangga dengan rakyat Malaysia yang punya jiwa jihad nan tinggi. Semangat jihad ini mesti diserlahkan lagi agar Israel dan konco-konconya gentar.

Kreativiti rakyat Malaysia membantu rakyat Palestine dalam mempertahankan bumi Anbia perlulah dipuji. Menurut wakil Aqsa Syarif, rakyat Palestine ramai yang berpelajaran tinggi dan mereka boleh memegang jawatan tinggi di negara luar. Tapi rakyat Palestine memilih untuk tinggal di buminya sendiri walaupun terpaksa kais pagi makan pagi di samping berdepan dengan serangan Israel yang ikut sukahati.  Rakyat Palestine hanya dibenarkan turun ke laut tetapi jauhnya sekitar kurang 10 km dari pantai. Kurang 10 km boleh dapat ikan apa? Jika pergi jauh dari itu, mereka akan ditangkap. Zalimnya Israel! Kesukaran ini yang membuatkan Malaysia memberi bantuan dalam bentuk perusahaan ternakan ikan air tawar.  Keadaan kita berbeza...rakyat kita dibenarkan mencari rezeki berpuluh batu di tengah lautan walaupun kekadang hasil tangkapan tak sempat sampai ke rakyat Malaysia sendiri.

Bila kufikirkan secara mendalam...jika rakyat Palestine tidak lagi mempertahankan bumi Anbia ini, adakah aku rakyat Malaysia sanggup tinggal di Palestine dan mempertahankan bumi Palestine? Aku perlukan rakyat Palestine untuk mempertahankan bumi Palestine...bumi anbia yang sangat kita kasihi. Tunjukkanlah tanda kasih kita dengan jihad wang dan tenaga yang kita mampu. Ayuh...hulurkan sumbangan kita untuk Tabung Palestine melalui akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299. Setelah membuat sumbangan, sila hubungi pihak Aqsa Syarif di talian 03-87334636 atau email admin@aqsasyarif.org.my sebagai proses pengrekodan. Dek keterujaan menyumbang, aku tidak perasan bahawa Aqsa Syarif mempunyai 2 akaun yang berbeza. Jadi...aku telah TERSILAP akaun! Syukurlah...pegawai yang bertugas di Aqsa Syarif dengan penuh sopan memberitahuku yang beliau akan memaklumkan pada pihak kewangannya.

Ku panjatkan doa agar bumi Palestine akan bebas dari cengkaman Israel suatu hari nanti...Janji Allah swt itu adalah BENAR.

Monday, August 8, 2011

Pembelajaran Hafazan Ditemui(PhD): Mantap Tajwid Dulu

Aku selalu mengidamkan untuk hafaz Al-Quran. Setiap hari terfikir, bagaimana nak menghafaz Al-Quran jika ilmu tajwid yang dipelajari dulu, kini kian kabur. Seingatku, aku mula belajar mengaji sejak umur 6 tahun dan kemudian belajar tajwid di sekolah menengah sampai Tingkatan 3. Guru Al-Quran dan berzanji aku sewaktu di rumah adalah ibuku, Kamilah, dan arwah nenekku, Susemi.  Membaca Al-Quran memang telah menjadi kebiasaan walaupun kekadang ponteng semulajadi atau ponteng dek sibuk kononnya. Namun, aku tidak pasti ilmu tajwidku KINI berada di tahap mana; teruk, biasa-biasa, baik atau cemerlang? 
Alhamdullillah...pada 27 Julai 2011 bersamaan 26 Syaaban 1432 lalu, aku telah ditemukan dengan seorang rakan (mahu dikenali sebagai Kak J) dalam Bengkel Pengenalan Rasch di tempatku bertugas. Suami beliau mengusahakan sebuah Maahad Tahfiz yang bernama Maahad Habibullah Al-Hafiz, Bandar Puncak Alam (Tel:03-33932471, Faks No: 03-33932471 dan Email: maahadhabibullah@gmail.com). Ya Allah...Engkau permudahkan hajat hambaMu ini untuk mendalami kitabMu, Al-Quran. Permintaanku pada Ustaz Shahzam  dan Ustaz Syahir ialah belajar dari ZERO. Rakan sekelasku adalah anak-anak yang bersekolah rendah. Ustaz dan rakan-rakan sekolahku ini jauh lebih muda  dariku, namun mereka sangat mahir menghafaz Al-Quran. Hebatnya mereka...pada usia muda telah terisi dada mereka dengan ayat-ayat Allah.
Perasaan malu memang ada dengan rakan sekelas. Tetapi aku lebih malu dan takut dengan Allah swt. Aku sangat takut pada Allah swt...apalah nak jawab bila mati nanti. Maka bermula belajar tajwid dengan membaca surah Al-Fatihah dan menyebut huruf-huruf Hijaiyah. Antara huruf yang aku gagal sebut dengan makhraj betul ialah:- 
ط,خ , ح ,ض  

Selama ini, aku rasa tak ada masalah untuk menyebut huruf tersebut. Susah rupanya. Mungkin sebab dah tua dan lidah dah keras! Namun, adik-adik dan ustaz dalam kelas tersebut sangat baik dan sentiasa membantu aku. Aku juga tak malu bertanya pada mereka. Aku berkesempatan mengikut kelas tersebut selama 3 hari sahaja kerana Ramadan telah bermula. Bulan Ramadan ini, kelas tajwid dan hafazan kami ditangguhkan dan kami diberi tugasan untuk menghafaz beberapa surah dalam Juz 30. Mampukah aku menghafaznya dengan TAJWID yang betul?
Firman Allah swt yang dalam surah Al-Qamar ayat 17, 22, 32 dan 40 bermaksud: "Sesungguhnya kami telah memudahkan Al-Quran untuk pengajaran (dihafaz), adakah orang yang ingin mengambil pelajaran daripadanya...". Inilah kata-kata perangsang yang diberikan oleh Ustaz yang mengajarku. Sesungguhnya, Allah swt sentiasa akan membantu hambaNya yang ingin mempelajari Al-Quran. 

Friday, August 5, 2011

Perjuangan Harungi Detik(PhD): Puasa Lawan Arus

Puasa Ramadan adalah perjuangan melawan arus kebiasaan. Itulah antara ungkapan yang kudengar dari  TV Al-Hijrah semalam dan rancangan MHI TV3 hari ini. Hebat, kan! Puasa yang kubelajar sejak waktu kecil dan masih ku laksanakan hingga hari ini, rupa-rupanya mempunyai jutaan pengertian tersirat dan tersurat. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Agung dan lagi Maha Bijaksana. 

Bagaimana mungkin aku melawan kebiasaanku yang setiap 7 pagi aku pasti bersarapan pagi dan pukul 1 tgh aku  pasti menikmati makan tengahari? Bersarapan pagi dan makan tengahari biasanya dibenarkan tapi di bulan Ramadan kedua-duanya diharamkan. Kutahu ada beberapa lagi perkara yang dilarang sewaktu berpuasa.  Rupa-rupanya perjuangan ibubapaku melatih aku berpuasa sejak kecil membuatkan aku sudah TERBIASA menghadapi cabaran menahan lapar dan dahaga. Bila rasa letih, kami beradik-adik akan  pergi bermain di belakang rumah yang penuh dengan pepohon getah.  Dulu...rumahku tiada TV dan radio, maka  kuranglah dosa mata dan telinga. Kini, dosa mata dan telinga boleh diperolehi melalui hujung jari dan berlaku di dalam rumah. Perjuangan ibubapaku memberi didikan agama telah kuteruskan pada anak-anakku dan seawal umur 5 tahun sudah berpuasa.

Menyaksikan kepayahan anak-anak melawan kebiasaan rupa-rupanya menguji kesabaranku sebagai seorang ibu. Biasanya, bila anak-anak meminta apa-apa keperluan, aku akan tunaikan. Adakah aku akan menurut kebiasaan ini apabila anak merintih lesu dek berpuasa? Adakah aku akan benarkan mereka berbuka awal atau menjanjikan ganjaran yang 'lumayan'? Jika aku terlalu bertegas, seolah-olah puasa itu menyusahkan. Jika aku terlalu lenient, seolah-olah puasa itu boleh ditinggal-tinggalkan. Gabungan dua perjuangan melawan arus (berpuasa + keibuan) sudah tentu amat sukar. Hanya rahmat Allah swt sahaja yang membolehkan aku memberi reaksi positif kepada anak-anak dan pada masa yang sama kesucian ibadah puasa terpelihara.

Kuyakin setiap langkah yang diambil jika asasnya adalah kerana Allah swt, maka segalanya dipermudahkan. Tiba-tiba, anakku Danish datang berbisik padaku bahawa dia berpuasa sebab nak syurga Ar-Rayyan. Mulutku tergamam dan hati terasa amat sebak. Mungkinkah ini petunjuk dari Allah swt? Teringat aku akan salah satu doaku agar keluarga menjadi orang yang bertaqwa iaitu:-
ربنا هب لنا من ازواجنا و زريتنا أعين واجعلنا للمتقين اماما
Bermaksud: Ya Allah, Kurniakanlah kami keturunan iaitu isteri dan anak-anak cucu kami sebagai cahaya mata yang berakhlak mulia dan jadikanlah kami mengikut jejak langkah orang yang bertaqwa.

Benarlah puasa itu merupakan satu proses latihan untuk menentang arus kebiasaan. Pada mulanya agak sukar untuk diharungi, namun dalam kesukaran ada kesenangan dan kemanisan iman. Malahan, limpahan rahmat dan nikmat yang tidak terhitung dicurahkan olehNya. Sesungguhnya, Allah lebih mengerti akan kemampuan hamba-hambaNya.

Thursday, August 4, 2011

Puasa Hadapi Dugaan(PhD): Program Realiti Hebat

Diam tak diam, hari ini telah masuk hari ke-4 kita berpuasa Ramadan untuk tahun 1432H. Pantasnya masa berlalu. Bila kurenung-renungkan...puasa (begitu juga solat, zakat dan haji)  merupakan satu PROGRAM REALITI yang hebat dan sempurna. Allah swt telah menyediakan program berprestij ini untuk melatih hambaNya menjadi orang-orang beriman. Hadiah yang dijanjikan Allah swt untuk orang yang mengerjakan puasa mengikut spesifikasinya...melebihi nilai wang ringgit dan kehidupan penuh mewah. Hadiahnya syurga melalui pintu Ar-Rayyan. Bagaimana nak masuk syurga jika seringkali hambaNya ini 'pitching' lari atau terkeluar dari program puasa? Contohnya, tidak semua orang patuh masa untuk bersahur lewat iaitu di hujung dua pertiga malam dan mempercepatkan berbuka puasa apabila azan maghrib berkumandang. Ada sahaja alasan yang diberi. 

Nasi Kandar Fareed's Line Clear
Tak sempat bersahur kerana tak terjaga atau malas atau tak berdaya nak bangun. Jam loceng dan loceng di telefon bimbit berbunyi tanpa henti tapi tangan dengan pantasnya mematikan bunyi deringan tersebut. Bersahur awal selepas solat tarawih kerana takut tak terjaga dari tidur. Bersahur pukul 2 pagi...makan punya makan sampai pukul 4 pagi. Niat hati ingin berbaring sebentar di atas sofa sambil menunggu waktu subuh. Bila tersedar, rancangan Tanyalah Ustaz TV9 dah bermula. Alamak! solat subuhku..subuh masih ada waktu lagi ke? 
Tak sempat berbuka kerana tersekat dalam kesesakan jalan raya dan terlupa nak letak/bawa buah kurma dan air dalam kenderaan. Sampai rumah pukul 8 malam, baru berbuka. Bila berbuka di rumah pula, sibuk menyediakan juadah di dapur dan mendahulukan ahli keluarga yang lain...sampai diri sendiri tidak berbuka. Bila berbuka di hotel/restoran atau dengan juadah di bazar Ramadan, berbuka dengan pelbagai macam makanan eksotik sampai perut macam nak meletup, solat maghrib pula terpaksa dilengah-lengahkan dan silap-silap haribulan...solat tarawih pun tak terbuat.

Surah Al-'Asr
Begitulah diri ini yang masih berpuasa pada tahap rendah. Kekadang alhamdullillah, pahala wajib dan sunat dapat. Tetapi paling menyedihkan ialah apabila pahala sunat dan wajib terlepas begitu sahaja. Seingatku, pahala amalan sunat sama nilainya dengan amalan wajib, manakala amalan wajib bernilai 70 kali ganda daripada ganjaran di bulan biasa. Ruginya aku! Mampukah aku mencapai puasa tahap para anbia jika aku masih begini? Usia semakin lanjut dan saat kematian semakin hampir...berapa lama lagikah perlu aku menunggu untuk membuat transformasi diri? Ayuh sedarlah diri...ada 26 hari lagi Ramadan. Jika masih diizinkan olehNya, marilah lalui program realiti puasa ini dengan penuh keimanan dan kesabaran.