Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Thursday, August 4, 2011

Puasa Hadapi Dugaan(PhD): Program Realiti Hebat

Diam tak diam, hari ini telah masuk hari ke-4 kita berpuasa Ramadan untuk tahun 1432H. Pantasnya masa berlalu. Bila kurenung-renungkan...puasa (begitu juga solat, zakat dan haji)  merupakan satu PROGRAM REALITI yang hebat dan sempurna. Allah swt telah menyediakan program berprestij ini untuk melatih hambaNya menjadi orang-orang beriman. Hadiah yang dijanjikan Allah swt untuk orang yang mengerjakan puasa mengikut spesifikasinya...melebihi nilai wang ringgit dan kehidupan penuh mewah. Hadiahnya syurga melalui pintu Ar-Rayyan. Bagaimana nak masuk syurga jika seringkali hambaNya ini 'pitching' lari atau terkeluar dari program puasa? Contohnya, tidak semua orang patuh masa untuk bersahur lewat iaitu di hujung dua pertiga malam dan mempercepatkan berbuka puasa apabila azan maghrib berkumandang. Ada sahaja alasan yang diberi. 

Nasi Kandar Fareed's Line Clear
Tak sempat bersahur kerana tak terjaga atau malas atau tak berdaya nak bangun. Jam loceng dan loceng di telefon bimbit berbunyi tanpa henti tapi tangan dengan pantasnya mematikan bunyi deringan tersebut. Bersahur awal selepas solat tarawih kerana takut tak terjaga dari tidur. Bersahur pukul 2 pagi...makan punya makan sampai pukul 4 pagi. Niat hati ingin berbaring sebentar di atas sofa sambil menunggu waktu subuh. Bila tersedar, rancangan Tanyalah Ustaz TV9 dah bermula. Alamak! solat subuhku..subuh masih ada waktu lagi ke? 
Tak sempat berbuka kerana tersekat dalam kesesakan jalan raya dan terlupa nak letak/bawa buah kurma dan air dalam kenderaan. Sampai rumah pukul 8 malam, baru berbuka. Bila berbuka di rumah pula, sibuk menyediakan juadah di dapur dan mendahulukan ahli keluarga yang lain...sampai diri sendiri tidak berbuka. Bila berbuka di hotel/restoran atau dengan juadah di bazar Ramadan, berbuka dengan pelbagai macam makanan eksotik sampai perut macam nak meletup, solat maghrib pula terpaksa dilengah-lengahkan dan silap-silap haribulan...solat tarawih pun tak terbuat.

Surah Al-'Asr
Begitulah diri ini yang masih berpuasa pada tahap rendah. Kekadang alhamdullillah, pahala wajib dan sunat dapat. Tetapi paling menyedihkan ialah apabila pahala sunat dan wajib terlepas begitu sahaja. Seingatku, pahala amalan sunat sama nilainya dengan amalan wajib, manakala amalan wajib bernilai 70 kali ganda daripada ganjaran di bulan biasa. Ruginya aku! Mampukah aku mencapai puasa tahap para anbia jika aku masih begini? Usia semakin lanjut dan saat kematian semakin hampir...berapa lama lagikah perlu aku menunggu untuk membuat transformasi diri? Ayuh sedarlah diri...ada 26 hari lagi Ramadan. Jika masih diizinkan olehNya, marilah lalui program realiti puasa ini dengan penuh keimanan dan kesabaran.

No comments:

Post a Comment