Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Friday, August 5, 2011

Perjuangan Harungi Detik(PhD): Puasa Lawan Arus

Puasa Ramadan adalah perjuangan melawan arus kebiasaan. Itulah antara ungkapan yang kudengar dari  TV Al-Hijrah semalam dan rancangan MHI TV3 hari ini. Hebat, kan! Puasa yang kubelajar sejak waktu kecil dan masih ku laksanakan hingga hari ini, rupa-rupanya mempunyai jutaan pengertian tersirat dan tersurat. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Agung dan lagi Maha Bijaksana. 

Bagaimana mungkin aku melawan kebiasaanku yang setiap 7 pagi aku pasti bersarapan pagi dan pukul 1 tgh aku  pasti menikmati makan tengahari? Bersarapan pagi dan makan tengahari biasanya dibenarkan tapi di bulan Ramadan kedua-duanya diharamkan. Kutahu ada beberapa lagi perkara yang dilarang sewaktu berpuasa.  Rupa-rupanya perjuangan ibubapaku melatih aku berpuasa sejak kecil membuatkan aku sudah TERBIASA menghadapi cabaran menahan lapar dan dahaga. Bila rasa letih, kami beradik-adik akan  pergi bermain di belakang rumah yang penuh dengan pepohon getah.  Dulu...rumahku tiada TV dan radio, maka  kuranglah dosa mata dan telinga. Kini, dosa mata dan telinga boleh diperolehi melalui hujung jari dan berlaku di dalam rumah. Perjuangan ibubapaku memberi didikan agama telah kuteruskan pada anak-anakku dan seawal umur 5 tahun sudah berpuasa.

Menyaksikan kepayahan anak-anak melawan kebiasaan rupa-rupanya menguji kesabaranku sebagai seorang ibu. Biasanya, bila anak-anak meminta apa-apa keperluan, aku akan tunaikan. Adakah aku akan menurut kebiasaan ini apabila anak merintih lesu dek berpuasa? Adakah aku akan benarkan mereka berbuka awal atau menjanjikan ganjaran yang 'lumayan'? Jika aku terlalu bertegas, seolah-olah puasa itu menyusahkan. Jika aku terlalu lenient, seolah-olah puasa itu boleh ditinggal-tinggalkan. Gabungan dua perjuangan melawan arus (berpuasa + keibuan) sudah tentu amat sukar. Hanya rahmat Allah swt sahaja yang membolehkan aku memberi reaksi positif kepada anak-anak dan pada masa yang sama kesucian ibadah puasa terpelihara.

Kuyakin setiap langkah yang diambil jika asasnya adalah kerana Allah swt, maka segalanya dipermudahkan. Tiba-tiba, anakku Danish datang berbisik padaku bahawa dia berpuasa sebab nak syurga Ar-Rayyan. Mulutku tergamam dan hati terasa amat sebak. Mungkinkah ini petunjuk dari Allah swt? Teringat aku akan salah satu doaku agar keluarga menjadi orang yang bertaqwa iaitu:-
ربنا هب لنا من ازواجنا و زريتنا أعين واجعلنا للمتقين اماما
Bermaksud: Ya Allah, Kurniakanlah kami keturunan iaitu isteri dan anak-anak cucu kami sebagai cahaya mata yang berakhlak mulia dan jadikanlah kami mengikut jejak langkah orang yang bertaqwa.

Benarlah puasa itu merupakan satu proses latihan untuk menentang arus kebiasaan. Pada mulanya agak sukar untuk diharungi, namun dalam kesukaran ada kesenangan dan kemanisan iman. Malahan, limpahan rahmat dan nikmat yang tidak terhitung dicurahkan olehNya. Sesungguhnya, Allah lebih mengerti akan kemampuan hamba-hambaNya.

No comments:

Post a Comment