Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Tuesday, January 31, 2012

Perasaan Hati Dicintai(PhD): Selawat Nabi


Selawat Nabi
sumber: http://cheritasesuatu.blogspot.com
Kelmarin, sewaktu lagu "Awan Nano" dinobatkan menjadi juara AJL ke-26, aku secara spontan memberitahu suamiku bahawa tajuk lagu ini mengingatkan aku tentang peristiwa awan yang sentiasa melindungi Nabi Muhamad saw. Semalam, aku bertambah sebak bila mendengar Ust Don (nada suara Ust yang tersekat-sekat menahan sebak dan air matanya bergenang) bercerita tentang saat-saat kewafatan Nabi Muhamad saw dalam program 30 Minit Bersama Ust Don, TV Al-Hijrah yang bertajuk "Cinta Rasul".  Di siaran yang sama, program bertajuk "Men Around the Prophet" pula disajikan dengan kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Omar Al-Khattab.
Rindunya padamu, Ya Rasullullah. Rindukan saat-saat manis berada di zon Raudhah, Masjid Nabawi Al-Munawarrah pada 2009. Khabarkanlah rasa rindu dan cinta ini dengan berselawat pada baginda, berselawatlah sebanyak mungkin agar rasa cinta dan rindu ini tidak hilang dari hati yang sentiasa lalai atau dilalaikan. Sungguh indah...selawat kita ini akan didengari oleh Nabi Muhamad saw dan baginda mendengarnya dengan penuh rasa kecintaan. Rasa cinta baginda pada ummahnya, yang mahukan semua pengikutnya masuk ke syurga yang kekal abadi.

[Nota: Beberapa hari lagi kita akan menyambut Maulidur Rasul]

Thursday, January 26, 2012

Pancaran Hebat Dirasai(PhD): Ribut Solar

Terjemahan Al-Quran
Meneliti setiap perkataan dalam sesuatu surah biasanya boleh memperkukuhkan daya ingatan terhadap surah yang dihafaz. Antara Al-Quran Terjemahan yang ku guna pakai ialah Tafsir Qur'an Per Kata oleh Dr Ahmad Hatta. Semasa sesi ulangkaji bacaan Al-Quran, ku pernah membacakan terjemahan Surah At-Takwir kepada rakan seperjuangan yang rata-rata umur mereka bawah 15 tahun. Mereka bertanya kepadaku: "Macam mana matahari digulung ya?" Lidah ku kelu untuk menerangkannya kerna aku sendiri tidak mengerti dan tidak tergambar bagaimana bintang paling besar ini boleh digulungkan. Adakah gulungannya seperti kita menggulung tikar? Allahu Akbar(33x).

Berikut adalah terjemahan ayat 1-9 daripada 29 ayat dalam Surah At-Takwir:-
"[1] Apabila matahari digulung, [2] dan apabila bintang-bintang berjatuhan,  [3] dan apabila gunung-ganang dihancurkan,  [4] dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan,  [5] dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan,  [6] dan apabila lautan dipanaskan,  [7] dan apabila ruh-ruh dipertemukan dengan tubuhnya,  [8] dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya,  [9] kerana dosa apa dia dibunuh? "
Ribut Solar: cantik kilauan
cahayanya walaupun bencana
Terjemahan ini membuatkan aku teringat dengan ribut matahari (solar) yang kini sedang melanda dunia. Mungkinkah ribut solar ini merupakan kesan dari matahari digulung? Ribut solar (klik untuk tonton video ribut solar) memang terlalu asing bagiku dan kita semua. Yang sering kita dengar ialah ribut taufan, ribut dek hujan lebat, ribut dek putaran angin, ribut dek laut bergelora dan ribut salji. Semua ribut alam semulajadi telah melanda dunia kita dan bayangkanlah...kalau semua ribut alam ini bergabung tenaga.

Ke manakah kita harus pergi? Tidak takutkah kita? Apakah persediaan kita? Adakah amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dunia sudah cukup untuk kita lari dari bencana? Persediaan dunia sahajakah? Bagaimana persediaan akhirat? Adakah kita masih tidak mahu berhenti dari membuat 'ribut' dan kerosakan di mukabumi ini?  Saya amat takut dan saya pasti kalian juga takut dengan semua bencana ini. Oleh itu....marilah kita sama-sama kembali ke jalan yang lurus, jalan yang telah disyiarkan oleh Nabi Muhamad saw dan jalan yang diredhai Allah swt.

Tuesday, January 24, 2012

'Prosperity' Hangat Dirasai(PhD): Tahun Baru Cina

sumber: princessredbloodsnow.blogspot.com
Dua hari (21 Jan) sebelum Tahun Baru Cina, adikku Farid mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya. Alhamdullillah (3x) majlis berjalan lancar walaupun aku sekeluarga tidak berkesempatan turut serta. Terima kasih yang tidak terhingga kepada adik-adikku yang lain iaitu Ajit & Ann, Ina & Yusuf, Nizam & Linda serta Adam dan orang Felda yang membantu mak & abah menguruskan majlis tersebut. Tidak lama lagi, bertambahlah bilangan ahli keluarga. Didoakan agar Farid dan tunangnya sentiasa tabah dan bersabar dalam mengharungi alam pertunangan sementara menanti hari bahagia. 
McDonald Puncak Alam
Sumber: blog.najahudin.com
Tahun Baru Cina atau sebutan biasanya bagiku ialah Hari Raya Cina, sekolah akan bercuti. Ketiga-tiga anakku bercuti juga. Dinie yang jauh di Terengganu pun balik. Sewaktu dalam perjalanan mengambil Dhia pulang bercuti, aku terpandang McDonald di pekan Kuala Selangor. Aku terus teringat bahawa 'prosperity' burger di McDonald hanya ada pada bulan cuti perayaan Tahun Baru Cina. Hahah! Boleh nikmati 'prosperity' burger di McDonald Puncak Alam bersama anak-anak. Dhia...anak yang paling seronok kerana makanan bercitarasa barat memang kegemarannya!

Restoran Hj Sharin Low
Ada sesuatu yang mencuit hatiku pada cuti kali ini - tentang anakku Danish. Danish dengan penuh keyakinan memberitahuku agar menyediakan baju raya pada hari raya nanti. Aku bertanya padanya: "Danish nak pergi beraya ke rumah kawan atau cikgu berbangsa Cina ke?" Rupa-rupanya Danish fikir, asal hari raya mesti pakai baju raya. Setelah mendengar penjelasanku, baru Danish faham bahawa raya kali ini bukan Hari Raya Aidil Fitri!

Selamat tahun baru Cina kepada guru mental arithmetik anak-anakku semasa di Segamat dahulu iaitu Cikgu Lim Ching Yam dan isteri. Moga Pusat Tuisyen Bistari Gemilang, Segamat (07-931 3536) yang diusahakan Cikgu Lim terus maju dan dapat membantu rakyat Malaysia. Tak lupa juga pada Cikgu Tan suami isteri di Taman Bunga Raya, Segamat (sebelah rumah mama papa) yang gigih memberi tunjuk subjek UPSR kepada Dinie dan Dhia dahulu. Jasa keluarga Cikgu Lim dan Cikgu Tan sangat-sangat kami kenang dan hargai sampai akhir hayat.

Friday, January 20, 2012

Pernah Hati Dilukai(PhD): Sembuhkanlah...

http://enamelinos-een.blogspot.com/
"Hati siapa yang tidak pernah dilukai?" itulah antara bait-bait nasihat untuk insan yang putus dalam percintaan atau pasangan suami isteri mengharungi kemelut rumahtangga. Pada tika itu, tiada kata dan ucapan yang boleh menggambarkan hati nan terluka dan kepedihan menanggungnya. Kecewa yang amat sangat. Kompas kehidupan seakan tersalah arah. Semua kerja tak menjadi dan buntu seketika. Langkah jadi longlai. Nafas seakan terhenti. Jalan keluar perlu dicari untuk tidak membiarkan diri terus terperangkap dalam kelukaan. Begitulah senarionya apabila hati dilukai orang

Imam Shuib Webb
Bagaimana jika hati sendiri dilukai oleh tuan empunya diri? Ehh...ehh...ehh...pernahkah aku merasa terluka dek diri sendiri? Apakah yang membuatkan hatiku dilukai oleh diri sendiri? Ku merenung jauh ke dalam skrin TV yang sedang menyiarkan rancangan Reflections (Rabu- Jumaat, Pukul 10.30 malam), TV Al-Hijrah oleh Imam Shuib Webb. Imam Shuib Webb menerangkan kehebatan Surah Al-Insyirah dan kaitannya surah ini dengan kisah perjuangan Nabi Muhamad saw dalam menghadapi kesulitan menyebarkan dakwah Islam. 

Telinga mendengar rancangan TV, fikiran berlegar mencari jawapan dan tangan sibuk menyelak-nyelak helaian mukasurat buku "Sehingga Al-Quran Terpahat di Hati" yang kubeli tempohari. Apabila kuterpandang sepotong ayat dalam sebuah perenggan di buku ini (mukasurat 176), maka hatiku berkata: "Rupa-rupanya...aku sentiasa melukai hati sendiri.
"Dosa merupakan luka-luka. Alangkah banyaknya luka yang berlaku di medan peperangan! Seorang hamba tidak ditimpakan dengan siksaan yang lebih besar kecuali kerana kekerasan hatinya dan jauhnya daripada Allah swt. Hati yang paling jauh daripada Allah ialah hati yang keras. Apabila hati menjadi keras, maka mata pun menjadi lapar (melihat perkara yang haram dan maksiat). Hati menjadi keras kerana 4 perkara yang dilakukan secara berlebihan dalam keperluannya iaitu makan, tidur, bercakap dan berjaga-jaga." 

Jika hati dilukai orang kita perlu mencari jalan keluar, apatah lagi apabila hati sendiri dilukai oleh diri sendiri. Jalan keluarnya tidak lain tidak bukan ialah kembali kepada Allah swt Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang dan Maha Pengampun, dengan belajar bertaubat, belajar untuk belajar lagi, belajar untuk banyak berbuat baik dan belajar untuk tinggalkan kemurkaanNya. Moga segala urusan kita dipermudahkan olehNya. InsyaAllah...

Saturday, January 14, 2012

Pahat Hadiah D'hati(PhD): Hidupkan Al-Quran

Majalah & Buku 
Sewaktu membaca majalah Solusi keluaran 39, ku terpandang satu iklan buku terbaru. Tajuk buku tersebut sudah menggamit hati yang sedang mencari-cari sumber rujukan bagi menambah ilmu tentang dunia hafazan Al-Quran. Setelah membaca sinopsis di laman web Telaga Biru, hasratku semakin membara untuk membaca buku ini. Hatiku berkata: "Suatu hari nanti, pasti akan kumiliki buku ini."

Alhamdullillah...hari ini sewaktu mencari siri terbaru buku Ikhtiar Hidup yang diminati Danish, buku "Sehingga Al-Quran Terpahat di Hati" yang kucari-cari ditemui di kedai buku MPH, Jaya Jusco Bukit Raja. Buku ini ditulis oleh seorang guru dan juga seorang tahfiz iaitu Mohd Solleh Abdul Razak. Bacalah buku ini...yang memuatkan 11 Formula yang sesuai untuk semua insan yang ingin/sedang/telah menghafaz Al-Quran. 

Al-Quran yang mulia ini merupakan satu amanah dan hadiah untuk kita. Nabi Muhamad saw merintih kerana umatnya pada akhir zaman akan menyisihkan Al-Quran seperti maksud ayat 30 dalam Surah Al-Furqan:
"Dan berkatalah Rasul, Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".
Golongan yang meninggalkan Al-Quran (mukasurat 306, buku "Sehingga Al-Quran Terpahat di Hati") ada 5 iaitu:-
  1. Tidak mendengar Al-Quran, tidak beriman dengannya dan tidak memperdengarkannya.
  2. Tidak beramal dengan Al-Quran dan tidak mengikuti hukum halal dan haramnya. Sekalipun dia membaca dan beriman dengannya.
  3. Tidak meletakkan Al-Quran sebagai hakim dan berhukum dengannya dalam perkara pokok agama dan cabangnya.
  4. Tidak tadabbur dan memahami Al-Quran serta pengetahuan yang dikhendaki oleh Allah swt
  5. Tidak memohon penawar atau sembuhkan penyakit dan berubat dengan Al-Quran daripada segala penyakit hati dan jasad.
Aku hanya insan biasa dan pastinya aku juga termasuk dalam salah satu 5 golongan di atas. Marilah kita sama-sama bertaubat dari segala dosa dan kelemahan kita. Seterusnya kita berusaha dan berdoa untuk menghidupkan Al-Quran dalam dada dan hati kita. Dengan keyakinan terhadap kasih sayang Allah swt (Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang) dan hidayah dariNya, kita pasti boleh lakukannya.

Thursday, January 12, 2012

Pemandangan Hijau Damai(PhD): Sawah Padi

Sawah Padi Nan Menghijau...
Sawah Sabak Bernam Saksi Cinta Sejati 

Sewaktu kecil dulu, pemandangan kegemaran untuk dilukis ialah pemandangan sawah padi yang berlatar belakang gunung ganang dan matahari terbit. Pemandangan sawah sebegini boleh dilihat di negeri Jelapang Padi Negara iaitu Kedah. Di kiri kanan lebuhraya, kelihatan sawah padi yang kehijauan terbentang luas yang begitu indah. Kelihatan sekelompok bangau putih di batasan sawah. Indah dan menyejukkan mata yang memandang. Begitulah indahnya lukisan Allah swt. SubhanaAllah, Maha Suci Allah (33x)

Ditambah pada 3 Mei 2012
Sumber: http://akuajak.blogspot.com
Di samping melihat pemandangan damai sawah padi, Alor Setar ada kompleks(souq) AlBukhary yang lengkap dengan masjid, pusat rawatan, pusat pembelajaran dan pusat membeli belah. Aku memang teringin berada di Souq tersebut, salah satu hasil usaha jutawan Malaysia, Melayu dan Islam iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary. Sifat dermawan, taat pada ibubapa dan kegigihannya menjadi sumber inspirasiku. Alhamdullillah...cuti Disember lalu, kami sekeluarga sempat ke sana. Pada awalnya kami tersesat ke Masjid Syed Muhamad AlBukhari, Pantai Johor, Kedah. Rasa seronok melihat nama Johor...walaupun berada di Kedah, utara tanah air. Johor tetap di hati!

Masjid Syed Muhamad AlBukhary, Pantai Johor
Perkarangan Masjid AlBukhary, Alor Setar
Kami sempat juga merakamkan keindahan pemandangan sawah padi di belakang rumah bapa mertuaku sebelum pulang ke Puncak Alam. Dalam perjalanan, suamiku sempat menceritakan pengalaman bersama sawah dan datuknya sewaktu dulu-dulu.
(Nota: Hari ini birthday Dinie yg ke-16 dan ulang tahun yang pertama penubuhan blog ini.)
Sawah Padi diTelok Air Tawar
Diri tegak di tengah sawah

Friday, January 6, 2012

Padat Hari Disember(PhD): Kenangan Manis

Danish main air di PD Tiara 
Di sebalik kepahitan bulan Dis 2011, ada kemanisan yang dirasai. Itulah janji Allah swt...di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan. Aku hanya insan biasa. Berita sedih dan gembira disambut dengan air mata. Namun, kali ini...bunyi tangisan hanya kedengaran di hati, tiada air mata yang mengalir di pipi. Aku sendiri tidak mengerti. 

Sambut birthday Dhia tahun ini di Port Dickson, sambil bersantai di PD Tiara Beach Resort. Ada kolam baru untuk kanak-kanak yang membolehkan Danish seronok bermain air dan bermain bola dengan abang-abangnya. Sempat juga pergi ke PD Ostrich Showfarm dan bermain kereta lumba di litar PD Xtreme Park. Tak sangka di litar ini, kami bertemu rakan yang tinggal di Puncak Alam juga! Gembira melihat anak-anak ketawa! Hilang sementara kerisauan tentang sakit abah walaupun dalam tiap masa terluang...terbayang wajah abah yang menahan kesakitan.
Birthday Dhia di Pizza Hut, Port Dickson
PD xTreme Park
PD Ostrich
Ular pun ada di PD Ostrich
Berita mewar-warkan bahawa keputusan PMR diumumkan pada 22 Dis. Aku berkeras mahu mengambil keputusan di sekolah Dinie di Besut daripada mendapat tahu melalui sms. Baru ada 'feel'! Dan apa juga keputusan yang dianugerahkan Allah swt kepada Dinie...bakal menjadi pembakar semangat untuk Dhia dan Danish. Kami sekeluarga, kemudian, bermalam di Wakaf Che Yeh. Merasai suasana pasar malam Wakaf Che Yeh, dari malam hingga dinihari memberi satu pengalaman yang menarik. Riuhnya seakan berada di KL aje! Sebelum pulang ke Puncak Alam, singgah bersarapan nasi dagang dan nasi kerabu Kelantan di rumah adikku, Aro (Dr Suhaila sebenarnya). Sedap hingga bungkus untuk bekalan dalam perjalanan!
Tahniah Dinie!
Terima kasih Aro, Wakaf Che Yeh
Sebelum pulang ke Penang, aku mengajak keluarga menghadiri majlis perkahwinan Ustaz Shahzam di Sabak Bernam pada 24 Dis. Ustaz Shahzam adalah salah seorang guru tahfizku dan isteri Ustaz pula merupakan salah seorang guru di sekolah Dhia sekarang. Terlalu kecil dunia ini...pusing-pusing jumpa juga! Setelah pulang bercuti dari Penang, aku berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak sulung, Dekan FSKM di Shah Alam pada 31 Dis. Padat aktiviti bulan Disember 2011 sebelum menyambut kedatangan tahun 2012 yang lebih mencabar.
Selamat Pengantin Baru Ustaz
Tahniah Prof Dr Zainab...dpt menantu

Wednesday, January 4, 2012

Perlu Hargai Dia(PhD): Bukit Bendera

Habis Lawatan Bukit Bendera
Pelbagai cabaran bulan Disember lalu, namun menjengok abah mak mertua di Penang sudah menjadi tanggungjawab. Kalau balik Penang ada dua perkara yang seakan wajib dibuat iaitu makan nasi kandar dan ronda atau JJCM Penang (Penang kecik aje...satu hari dah habis pusing). Kali ini...kami berkesempatan naik Bukit Bendera dengan perkhidmatan tren yang baru. Ini adalah kali kedua aku menaiki Bukit Bendera dan kali pertama untuk Danish! 

Kereta Ronda!
Beratur beli tiket sudah tidak terlalu lama walaupun musim cuti sekolah. Untuk warganegara Malaysia, tiket dewasa RM8 dan kanak-kanak RM4. Waktu menunggu tren juga sudah tidak lama...lebih kurang 30 minit. Tren bergerak laju...tidak seperti dulu. Dulu...setiap flora dan fauna di sepanjang laluan ke puncak boleh dilihat dengan jelas...kini pemandangan tersebut boleh dilihat sekali lalu sahaja. Wajah baru Bukit Bendera boleh dilihat dengan ketara. Baru jalan sikit...kami semua dah kehausan. Singgah minum dan alas perut untuk makan tengahari di gerai makan yang disediakan (gerai masih dalam pembinaan).
Masjid Bukit Bendera

Oleh kerana tak mampu berjalan dek cuaca panas dan perut dah penuh, kami menempah 'kereta' berharga RM30 untuk ronda 2km Bukit Bendera. Selain kami diberi penerangan tentang kesan sejarah yang ada, kami dimaklumkan ada rumah jutawan-jutawan Malaysia....tapi tiada rumah jutawan Melayu di situ! Habis ronda bersama pemandu pelancong, kami singgah di Masjid Bukit Bendera untuk solat zohor. Berhampiran masjid ini...ada kuil dan gereja. Begitulah makmurnya Malaysia, rumah Allah masih ada di mana-mana. Moga Islam sentiasa terpelihara di Malaysia dan Malaysia sentiasa menjadi tempat yang aman sentosa untuk beribadah. Syukurilah dengan nikmatNya.
Tren Dulu...Tinggal Kenangan
Pokok Perah
Danish bergaya!

Peti Surat Tertua di sini

Ruang Beratur Beli Tiket
Di Puncak Bukit Bendara
Mak Tak Meletup Pun!
Saling Berteropong!

Sunday, January 1, 2012

Putaran Hidup Dilalui(PhD): Mak Abah Kian Uzur

2011 telah menjadi sejarah dan tidak mungkin setiap detik 2011 boleh diulang kembali. Benarlah...kita sentiasa rugi nikmat masa walaupun mungkin kita untung nikmat yang lain seperti wang ringgit, harta kekayaan, kecantikan, kuasa pemerintahan, hubungan kekeluargaan,  ilmu cendiakawan, kesihatan dan sebagainya. Di suku akhir tahun 2011, aku dididik melalui kitaran hidup semulajadi iaitu menyayangi mak abah di saat usia emas dan uzur pula. 

Sewaktu mak abah muda, mereka berdua sangat bertenaga dan sentiasa bekerja keras memastikan anak-anak mendapat pendidikan formal (sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi) mengikut pencapaian masing-masing,  mendapat pendidikan agama sebagai asas kukuh mengharungi hidup, mendapat kerjaya yang baik mengikut tahap pendidikan masing-masing dan mendapat pasangan hidup yang baik mengikut pilihan hati masing-masing. Kerja keras mak abah demi anak-anak, kekadang kesihatan mereka berdua tidak dihirau langsung. Demam teruk pun...mereka masih pergi bekerja di ladang. Beginilah cara mak abah...menunjukkan kasih sayang dan pengorbanan mereka kepada kesemua sembilan orang anaknya. 

Anak-anak pula mempersembahkan kasih sayang kepada mak abah dengan cara tersendiri. Sebagai anak sulung caraku nampak lebih kaku, terlalu ikut buku dan tidak syahdu langsung. Persembahan kasih sayangku dengan memenuhi nasihat abah iaitu belajar/bekerja bersungguh-sungguh hingga berjaya, berakhlak baik agar tidak tercemar nama baik mereka berdua dan berjimat cermat dalam perbelanjaan agar tidak membebankan hidupku dan hidup mereka berdua. Setiap kali berjauhan atau pulang ke pangkuan mereka, aku cuba memastikan agar aku tidak menjadi penyebab hidup mereka berdua gundah gulana. 

Kini...mak abah dah semakin berusia dan sering sakit-sakit. Laporan doktor perubatan moden (hasil scan semasa abah sakit bulan lalu) memberi petunjuk awal kepada kami adik beradik bahawa kesihatan abah tidak seperti dulu lagi. Ditambah pula, kesemua sembilan orang anaknya telah membawa haluan hidup masing-masing dan berjauhan pula. Benarlah...mak abah boleh menjaga seramai mana anaknya tetapi anak-anaknya yang ramai belum tentu dapat menjaga mak abah. Dulu, hatiku gembira jika namaku tidak disebut-sebut dalam keluh kesah mereka. Kini, hatiku pilu jika namaku tidak disebut-sebut dalam rintihan mak abah dan hatiku lebih pilu kerana aku tidak dapat menyahut semua rintihan mak abah sebagaimana mak abah sentiasa memenuhi rintihanku sewaktu aku kecil dulu
Setiap saat doa dipohon: "Ya Allah...Engkau kasihanilah ibubapaku sebagaimana mereka berdua mengasihaniku semasa aku masih kecil. Ya Allah...Engkau permudahkanlah segala urusan mereka berdua, anugerahilah mereka ketenangan hati dan minda serta hiasilah waktu terluang mereka dengan ibadah kepadaMu."