Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Sunday, January 1, 2012

Putaran Hidup Dilalui(PhD): Mak Abah Kian Uzur

2011 telah menjadi sejarah dan tidak mungkin setiap detik 2011 boleh diulang kembali. Benarlah...kita sentiasa rugi nikmat masa walaupun mungkin kita untung nikmat yang lain seperti wang ringgit, harta kekayaan, kecantikan, kuasa pemerintahan, hubungan kekeluargaan,  ilmu cendiakawan, kesihatan dan sebagainya. Di suku akhir tahun 2011, aku dididik melalui kitaran hidup semulajadi iaitu menyayangi mak abah di saat usia emas dan uzur pula. 

Sewaktu mak abah muda, mereka berdua sangat bertenaga dan sentiasa bekerja keras memastikan anak-anak mendapat pendidikan formal (sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi) mengikut pencapaian masing-masing,  mendapat pendidikan agama sebagai asas kukuh mengharungi hidup, mendapat kerjaya yang baik mengikut tahap pendidikan masing-masing dan mendapat pasangan hidup yang baik mengikut pilihan hati masing-masing. Kerja keras mak abah demi anak-anak, kekadang kesihatan mereka berdua tidak dihirau langsung. Demam teruk pun...mereka masih pergi bekerja di ladang. Beginilah cara mak abah...menunjukkan kasih sayang dan pengorbanan mereka kepada kesemua sembilan orang anaknya. 

Anak-anak pula mempersembahkan kasih sayang kepada mak abah dengan cara tersendiri. Sebagai anak sulung caraku nampak lebih kaku, terlalu ikut buku dan tidak syahdu langsung. Persembahan kasih sayangku dengan memenuhi nasihat abah iaitu belajar/bekerja bersungguh-sungguh hingga berjaya, berakhlak baik agar tidak tercemar nama baik mereka berdua dan berjimat cermat dalam perbelanjaan agar tidak membebankan hidupku dan hidup mereka berdua. Setiap kali berjauhan atau pulang ke pangkuan mereka, aku cuba memastikan agar aku tidak menjadi penyebab hidup mereka berdua gundah gulana. 

Kini...mak abah dah semakin berusia dan sering sakit-sakit. Laporan doktor perubatan moden (hasil scan semasa abah sakit bulan lalu) memberi petunjuk awal kepada kami adik beradik bahawa kesihatan abah tidak seperti dulu lagi. Ditambah pula, kesemua sembilan orang anaknya telah membawa haluan hidup masing-masing dan berjauhan pula. Benarlah...mak abah boleh menjaga seramai mana anaknya tetapi anak-anaknya yang ramai belum tentu dapat menjaga mak abah. Dulu, hatiku gembira jika namaku tidak disebut-sebut dalam keluh kesah mereka. Kini, hatiku pilu jika namaku tidak disebut-sebut dalam rintihan mak abah dan hatiku lebih pilu kerana aku tidak dapat menyahut semua rintihan mak abah sebagaimana mak abah sentiasa memenuhi rintihanku sewaktu aku kecil dulu
Setiap saat doa dipohon: "Ya Allah...Engkau kasihanilah ibubapaku sebagaimana mereka berdua mengasihaniku semasa aku masih kecil. Ya Allah...Engkau permudahkanlah segala urusan mereka berdua, anugerahilah mereka ketenangan hati dan minda serta hiasilah waktu terluang mereka dengan ibadah kepadaMu."

No comments:

Post a Comment