Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Wednesday, November 16, 2011

Pengertian Huraian Diulangkaji(PhD): Al-Quran

Sedang khusyuk menyalin gambarajah hukum mad dalam kelas tajwid, tiba-tiba Ustaz mengajukan dua soalan mudah iaitu (1) Apakah nama lain bagi Al-Quran? dan (2) Apakah definisi Al-Quran? Terkedu aku kerana jawapan kepada dua soalan tersebut agak samar-samar dalam kotak fikiranku. Aku cuba memejam mata beberapa saat untuk memfokuskan fikiran dan menerawang dalam setiap kotak simpanan ingatanku  bagi mencari jawapannya. 

Al-Quran
Hati terasa sungguh sedih dan diri terasa malu kerana sebagai umat Islam, maklumat asas seperti ini tidak terpahat dengan rapi dalam otakku dan tidak terpacul dengan spontan dari bibirku. Sungguh berbeza jikalau ditanya dengan soalan-soalan berbentuk duniawi! 

Ustaz telah memberikan jawapan dan jawapan tersebut telah ku tuliskan dalam buku nota tajwid. Hari ini, bila kubuka lembaran Al-Quran terjemahan keluaran Yayasan Restu Malaysia pada bahagian isi kandungan (sebelum Surah Al-Fatihah). Menakjubkan! Ada jawapan untuk dua soalan di atas. Selama ini, aku tidak berapa kisah untuk menelitinya. 

Untuk soalan pertama, aku hanya mampu memberikan satu nama lain untuk Al-Quran iaitu Al-Furqan. Mengikut para ulama' terdapat 90 nama Al-Quran tetapi antara yang masyhur ialah:-
 Al-Kitab, Al-Furqan, Al-Zikr, الروح, الوحي, Al-Kalam, Al-Mubin, Al-Karim dan Al-Nur
Untuk soalan kedua, jawapan ku ringkas dan tidak menepati dengan definisi masyhur Al-Quran iaitu:-
"Al-Quran ialah kalam Allah s.w.t yang bersifat mu'jiz yang diturunkan kepada Nabi Muhamad s.a.w dengan perantaraan Jibrail a.s. dalam bahasa Arab yang termaktub dalam mushaf yang disampaikan kepada umat Islam melalui riwayat yang mutawatir, yang menjadi ibadah dengan membacanya, dimulai dengan Surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan Surah An-Nas." (ms 16, Al-Quran terjemahan, Yayasan Restu, cetakan 2006)
MRSM Ulul Albab Kota Putra, Besut 
Syukurlah kerana Allah swt masih memberi ruang dan peluang untukku kembali mengingati kalamNya. Hari ini (16 Nov 2011 bersamaan 20 Zulhijjah 1432) merupakan hari penting untukku dan anakku, Dinie, dalam dunia hafazan Al-Quran. 
Berikut adalah doa selepas menghafaz Al-Quran yang diamalkan oleh para tahfiz:-
اللهم اني استود عك بما علمتني فأردده الي وقت حاجتي اليه ولا تنسينه يا رب العلمين
Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku kembalikan kepadaMu apa yang Engkau ajarkan kepadaku, kembalikan kepadaku di waktu aku memerlukannya dan jangan dilupakannya, wahai Tuhan sekalian alam."

No comments:

Post a Comment