Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Monday, March 21, 2011

Kesetiaan Ibubapaku

Biasanya musim cuti sekolah merupakan musim orang Malaysia melangsungkan perkahwinan. Mungkin mengambil kesempatan sanak saudara bercuti. Hati terasa gembira melihat pasangan-pasangan pengantin ini diraikan kerana di wajah mereka terpancar rasa cinta dan kasih. Orang yang melihat pun terasa macam nak melalui semula detik manis tersebut. 

Sewaktu pergi membeli belah di Padang Besar baru-baru ini, kulihat begitu banyaknya perkakasan, hiasan dan kemudahan untuk melangsungkan perkahwinan. Aku membelek-belek kad jemputan yang cantik-cantik rekabentuknya. Masaku dulu, hanya gunakan kertas warna kuning dan merah jambu untuk fotostat kad jemputan. Itupun aku design sendiri guna MS Word yang belum canggih. Melihatkan aku begitu khusyuk...suami menghampiriku. "Hemmm....cantik dan murah, tinggal print isi kandungannya saja." Aku mengangguk setuju. Entah dari mana datangnya kekuatan. Dengan secara spontan, aku terus meluahkan kata hatiku: "Tapi bang... semua ini memang memudahkan majlis perkahwinan tapi...sebenarnya amat SUKAR untuk mempertahankan sebuah perkahwinan."

Kerisauan dalam benak fikiranku tentang keruntuhan institusi keluarga, sebenarnya amat berasas. Awal bulan Mac yang lalu (2-4 Mac) kita dikejutkan dengan berita bahawa di Malaysia setiap 15 minit satu pasangan bercerai  (sumber: JAKIM). Bulan Mac belum pun berakhir satu lagi kejutan hari ini (21 Mac) iaitu 80,979 (34.5% dpd 234,647) anak luar nikah di Malaysia adalah bayi yang ibunya beragama Islam (sumber: JPN). 

Namun, aku selalu mengambil contoh abah dan ibuku. Mereka berdua adalah pasangan yang aku kagumi.  Kehidupan waktu aku kecil-kecil dulu amat sukar...susahnya nak menyara makan minum, pakaian, tempat tinggal dan pelajaran anak-anak. Abah dan mak kerja di ladang getah dan kelapa sawit di Rengam. Jarak tempat kerja dengan rumah agak jauh; sebelum subuh abah dan mak dah keluar rumah. Sebelum pergi kerja, mak dah masakkan sarapan pagi dan makan tengahari untuk kami empat beradik. Sebagai anak sulung, aku kena jaga rumah dan adik-adik sewaktu mak ayah mencari rezeki. Sebelum zohor, mak dan abah dah sampai rumah. Hureyyyy!

Abahku seorang yang sentiasa berpakaian segak dan kemas. Itulah gayanya dari dulu...hingga kini. Abahku memang mahu kelihatan segak walaupun dia hanya nak pergi ke ladang atau kedai depan rumah.  Ramai wanita yang memuji kerana gaya dan wajah abahku yang tampak muda. Jika pujian tersebut dibuat di depan kami, abah selalu menjawab dengan berseloroh: "Muka kata muda, badan kata tua...sakit sana sini." 

Walaupun ketrampilan abah yang buat hati wanita 'tertawan', sepanjang ingatanku...ayahku TIDAK pernah  memuji wanita lain dan TIDAK pernah bangga diri yang dia 'at any time, boleh dapat wanita lain'. Jauh sekali menyuarakan hasrat membuka cawangan lain atau meninggalkan ibuku. Begitu setia dan cintanya abah pada ibuku. Sebelum aku berkahwin, aku selalu mengimpikan seorang lelaki seperti ayahku...setia dan cinta pada isteri sepanjang masa walau di mana jua berada

Aku masih ingat lagi, peristiwa yang melanda perkahwinan mereka berdua. Rasanya...umurku 10 tahun pada waktu tu. Ayahku diburu oleh seorang ibu tunggal yang cantik dan kaya. Aku pernah tengok gambarnya tapi tak ingat langsung bagaimana rupa beliau.  Setiap kali pulang bekerja, ayah dan ibuku pasti berbalah tentang wanita tersebut. Kasihan aku melihat mak, menangis dan merayu pada abah setiap hari. Apa tidaknya, macam-macam benda wanita tersebut berikan pada abahku. Dalam keadaan getir begitu, aku memastikan adik-adikku dalam keadaan aman, keadaan rumah sentiasa kemas dan nasi serta lauk dah masak. Pada umur tu, aku dah tahu memasak nasi, goreng ikan dan buat sambal. Susah nak mengawal adik-adik yang masih kecil. Semua itu kulakukan kerana mahu mak dan abah kembali aman. Hidup susah tak apa, janji keluarga harmoni. Itu saja yang mampu kulakukan di kala itu. Nak pujuk mak tak pandai....nak pujuk ayah tak pandai. Takut pun ada kerana hal-hal orang tua selalunya budak-budak tak boleh masuk campur.

Jika ku imbas kembali; kalaulah abah mengejar kesenangan dan gilakan kecantikan wanita di saat itu, dah tentu abah tinggalkan mak dan kami semua. Itulah takdir. Syukur kerana mak dan abah berjaya mengharungi setiap cabaran perkahwinan tanpa MENGORBANKAN kebahagiaan kami adik-beradik. Abah menerima ibuku seadanya. Begitu juga ibuku...yang menerima abahku seadanya...menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing. Ahh....beruntungnya mereka berdua kerana saling setia dan cinta mencintai sepanjang masa.

Abah dan Mak di rumahku 
Aku banyak belajar daripada mereka berdua. Mereka berdua adalah idolaku dalam mengharungi bahtera perkahwinan dalam era tanpa sempadan - yang begitu banyak peluang dan ruang untuk berlaku curang dan maksiat. Ya Allah, lindungi lah keluargaku, satukanlah hati-hati kami sekeluarga dan rahmatilah kami sekeluarga. Restuilah cinta kami .. cinta yang berpaksikan cinta padaMu, Ya Allah. Ya Allah, ku memohon rahmat dariMu kerana sesungguhnya kau Maha Pengurnia.

No comments:

Post a Comment