![]() |
Antara Warisku... |
Kurasakan hidupku sudah terlalu hampir dengan kematian. Jika mengikut umur kewafatan Rasullullah saw, umurku berbaki 20 tahun lagi. Jika melihat trend terkini ramai yang meninggal dunia di bawah umur 50 tahun, maka aku berada di zon bahaya. Aku tak tahu bagaimana pengakhiran hidupku dan selalu mengharapkan diakhiri dengan husnul khatimah. Di samping bimbangkan persediaanku untuk bertemu Allah swt, aku juga bimbangkan persediaanku untuk mereka yang ditinggalkan. Aku bimbang mereka yang kutinggalkan hidupnya kelam kabut dek harta peninggalanku. Sudah tentu rohku juga tidak aman di alam sana. Bukan salah mereka yang kutinggalkan TETAPI salahku semasa hidup. Tidak meninggalkan sebarang nota pesanan.
Berbekalkan penjelasan para ustaz di rancangan Tanyalah Ustaz TV9, pembacaan buku tentang wasiat serta faraid serta pengalaman ibubapaku menguruskan harta pusaka, diri rasa terpanggil untuk menulis wasiat. Harta yang dimiliki tidaklah seberapa. Realitinya, sebagai orang berkerjaya, sekurang-kurangnya seseorang itu mungkin ada kenderaan, akaun simpanan (untuk kemasukan gaji), KWSP, insuran, akaun tabung haji, khairat kematian, akaun amanah saham (ASB/ASW/ASN), ahli koperasi, rumah atau tanah.
![]() |
Brosur As-Salihin Trustee Berhad |
Alhamdullillah...sewaktu mengikuti satu kursus di Surau Al-Furqan, Puncak Alam Mei lalu, aku dipertemukan dengan agen sebuah institut penyedia wasiat, As-Salihin Trustee Berhad. Kini, aku telah merasa lega kerana proses menulis wasiat fasa pertama telah pun bermula. Terasa beban di bahu ini ringan walaupun bahu dan leherku sakit dek 'salah bantal'. Aku bukan sahaja mengagihkan harta ini untuk warisku malahan sebahagian harta yang 'ciput' ini juga dapat disisipkan untuk saham akhiratku. Biarlah kita keluarkan wang sedikit untuk menyiapkan wasiat ini daripada kita sengsara di alam kubur yang pada masa itu...kita sudah terlambat untuk berbuat semuanya!
![]() |
Buku Nota Wasiat |
Marilah kita semua sebagai umat Islam sejati...menulis wasiat sebelum kita meninggal dunia samada menulis wasiat sendiri (rujuk buku yang bertajuk Nota Wasiat oleh Ustaz Md Ghazali Ibrahim) atau melalui institut penyedia wasiat. Kasihan harta orang Islam yang masih tidak boleh diuruskan disebabkan kejahilan dan kedegilan kita sendiri mengenai ilmu faraid dan wasiat. Jika kita boleh mengatasi kejahilan dan kedegilan ini, maka kita ,insyaAllah, akan sedikit berbahagia di alam barzakh nanti. Untuk waris yang ditinggalkan, kirimkanlah sedekah untuk arwah pada setiap lepas solat kalian. Aman di dunia, aman di akhirat...aman mereka yang ditinggalkan di dunia, aman mereka yang meninggalkan dunia. Ameen...
No comments:
Post a Comment