Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Wednesday, February 23, 2011

Thank You Allah...Terima kasih Allah

"Ya Allah, terima kasih kerana memberi peluang kepada hambaMu ini untuk meneruskan sisa-sisa hidup di dunia". Itulah rintihan dan bisikan hati setelah terjaga dari 'rehat' yang kusangka akan pergi buat selamanya.

Pada Isnin yang lalu [21/2]  aku dan suami membuat keputusan untuk tidak ke kampus kerana suami selesema. Beliau rasa tidak selesa dan memang kelihatan dia sangat-sangat tidak selesa. Setelah bersarapan pagi dan suami memakan ubat selesemanya, aku terus ke ruang belajarku untuk meneruskan perjuangan PhDku.

Sedang khusyuk membaca...tiba-tiba...dadaku terasa sangat sakit. Sakit yang tak pernah kualami sebelum ini. Sakitnya seolah-olah ada 3 jarum yang panjang dari 3 sudut yang berbeza, ditarik perlahan-lahan keluar dari jantungku. Kucuba bernafas, ternyata masih boleh bernafas. Tiada sekatan di hidung, tiada sekatan ke dada tetapi rasa kering kehausan di tekak. Ku beristighfar, berselawat dan mengucap kalimah syahadah berulang-ulang kali. Mungkin telah tiba masanya....umur pun dah hampir 43 tahun.

Ku melangkahkan kakiku perlahan-lahan menaiki tangga rumah untuk memaklumkan pada suamiku yang berada di bilik belajarnya di tingkat atas. Suamiku menasihatkan agar segera berjumpa doktor. Aku tidak berkata apa-apa, cuma terus ke bilik tidur dan berbaring di atas katil. Ku perbaiki baringanku pada kedudukan yang agak selesa agar dadaku tidak terasa sakit. Suamiku memasang ionizer dari mesin Family Dr dan diletakkan di sisiku.

Air mata mengalir deras. Kupejamkan mata perlahan-lahan. Hatiku berbisik: "Ya Allah, ampunkan segala dosaku, aku tahu aku hamba yang banyak berbuat dosa." Aku juga sempat memaafkan semua orang di sekelilingku atau sesiapa sahaja yang memerlukan kemaafanku. Harapanku, dengan kemaafan ini, mereka juga sudi memaafkanku nanti. "Ya Allah, Aku tidak layak untuk syurgaMu tetapi aku juga sangat takut dengan azab nerakaMu." Terbayang wajah kedua-dua ibu bapaku yang berada di Kota Tinggi, ketiga-tiga wajah anak lelakiku, kedua-dua wajah penyelia PhDku dan semua orang yang kusayangi.

Aku terus beristighfar sambil air mata mengalir deras. Aku tidak sedar bila aku terlena. Bila ku terjaga, jam telah menunjukkan pukul 11 pagi. Kesakitan di dadaku telah lenyap. Alhamdullillah! Lantas aku menunjukkan kesyukuranku kepada Allah swt sebagai seorang hambaNya - sujud syukur padaNya.

Selepas bersujud, berdoa dan minum air zam zam, aku meneruskan pembelajaranku pada hari tersebut.

Nota: Apakah rahsia yang tersembunyi dari peristiwa ini? Yang pasti adalah sebuah keinsafan.

No comments:

Post a Comment