"Tak payah risau-risau. Biarlah di akhirat nanti saya yang tanggung dan jawab sendiri di depan Allah," begitulah antara respon yang diterima pabila cuba memberi peringatan atau nasihat kepada seseorang. Jika respon ini diberikan oleh orang yang tidak begitu rapat, mungkin kita tidak begitu terasa kecewa atau sedih. Hati bagaikan disentap dan air mata tidak dapat dibendung pabila ianya datang dari orang yang sangat kita kasih dan rapat dengan kita. Kasihan melihatnya dan kasih terhadapnya. Mengharapkan agar dia boleh kembali ke pangkal jalan, jalan yang diredhai Allah swt dan berjumpa di syurga Allah yang abadi.
![]() |
Banjir sana sini.... mengingatkan kisah Nabi Nuh |
Kini, ku baru lebih mengerti, memahami dan menjiwai perasaan para nabi dan rasul yang mendapat tentangan dari kaum keluarga dan sahabat karib mereka. Antara contoh sirah nabi ialah Nabi Nuh a.s. mengajak isteri dan anaknya menaiki kapal ketika bah besar. Anak dan isterinya menolak ajakan Nabi Nuh a.s. dan berkata kepada ayahnya yang dia akan pergi ke bukit yang paling tinggi untuk lari dari banjir. Akhirnya, Nabi Nuh a.s. menyaksikan sendiri pemergian isteri dan anaknya dalam keadaan masih kufur kepada Allah swt. Jika kita boleh membuat ulang tayang senario ini dan bayangkan ianya berlaku pada diri kita, pastinya kita akan menangis jua. Rupa-rupanya, perasaan ini sangatlah sedih, pilu dan kekadang rasa seolah-olah tidak tertanggung.
Setelah, segala bentuk nasihat dan rayuan kita tidak dapat mengetuk pintu hatinya, usahlah kita berhenti dan berputus asa menasihatinya dengan penuh hikmah, sehingga nyawa bercerai badan. Merayulah dalam setiap doa kita kepada Allah swt kerana Allah sahaja yang berhak untuk membuka hati-hati mereka ini. Kekadang, hati ini meruntun untuk terbang ke tanah haram, Mekah dan Madinah, dan berada di tempat yang paling mustajab agar rayuan dan rintihan ini dimakbulkan. Pabila hati nan keras telah terbuka, maka dengan mudahlah hati tadi tunduk, patuh, merintih dan memohon taubat pada Allah swt, Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Ku terus menanti saat hati-hati ini terpanggil seperti ku menanti panggilan agung untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima.
Betul kak...kadang-kadang ini lah ujian buat kita, Allah mahu kita terus istiqamah mendoakan dan tidak lupa. Walaupun perit, Insya Allah suatu hari Allah berikan hidayahNya, Amin.
ReplyDelete