Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Wednesday, May 23, 2012

Puncak Hill Dinaiki(PhD): Impian Bahagia

Di Puncak, Puncak Inn, Fraser Hill
Pantasnya masa berlalu. April lepas genaplah usia perkahwinan kami 17 tahun. Pelbagai detik manis, masam, tawar dan pahit dalam perkahwinan ini telah kami harungi. Pertolongan Allah swt, doa ibubapa, sokongan rakan dan sekelumit ilmu, iman serta ihsan dalam diri telah banyak membantu kami melayari hidup berumahtangga. Aku juga seperti pasangan lain, pasti mahukan bahagia berumahtangga hingga ke akhir hayat.  

Bahagia rumahtangga bukan bermakna hanya memiliki pasangan yang berwajah cantik/tampan bak selebriti. Lihat sahaja di mana-mana, ada pasangan selebriti cantik/tampan, runtuh rumahtangganya. Bahagia bukan bermakna hanya memiliki harta yang banyak. Lihat sahaja, ada pasangan kaya raya, gagal jua perkahwinannya. Bahagia rumahtangga bukan bermakna hanya memiliki anak perempuan sahaja, anak lelaki sahaja atau kedua-duanya. Lihat sahaja, ramai juga pasangan yang punya anak, kucar kacir hidupnya. Bahagia rumahtangga bukan bermakna hanya memiliki pasangan yang berkerjaya hebat. Lihat di luar sana, ada juga orang berkerjaya, tapi tidak bahagia rumahtangganya. 
Jangan sampai hilang segalanya

Pernahkah kita semarakkan semula tentang gambaran bahagia dengan pasangan kita sepanjang usia perkahwinan? Percayalah, gambaran bahagia sebelum dan selepas berkahwin memang ada perbezaan. Bersedialah untuk menerima perbezaan tersebut dengan hati terbuka dan minda yang positif. Berbahagialah bagi pasangan yang melakarkan gambaran bahagia berumahtangga berpaksikan hukum Allah swt dan syariat Rasullullah saw, walaupun bahteranya sering dilanda ribut dan gelora. Syukurilah dan berbahagialah dengan segala nikmat yang sedia ada dalam perkahwinan ini sebelum segalanya diambil semula oleh Yang Maha Pemberi. Alhamdullillah (33x).

Puncak Inn, Fraser Hill
Bahagia...Azan Berkumandang di Hill ini
Empangan Sungai Selangor
Taman Sebelah Food Garden
Suasana Hujan, Fraser Hill
Bird Life, Fraser Hill

Friday, May 18, 2012

Pelajar-Pendidik Harus Dihargai (PhD): Hari Guru

Hadiah Buku Untuk Pendidik
Murid dan guru, pelajar dan pendidik teruja pabila tiba 16 Mei setiap tahun. Tema Hari Guru tahun ini ialah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" Inilah masanya untuk meluahkan dan menerima tanda terima kasih secara khusus antara satu sama lain. Pelbagai ucapan dan hadiah yang pelajar/murid berikan kepada guru/pendidik mereka. 

Sebagai pelajar, ku rasa begitu seronok pabila dapat secara langsung mengucapkan terima kasih kepada guruku yang sanggup mengajarku. Aku merasa kagum dengan guru yang begitu sabar dalam mendidikku. Guru yang sentiasa bersabar dengan segala kelemahan dan kekuranganku; mereka menerima aku seadanya. 

Nukilan Usman Awang
Contohnya: Ustaz Shahzam, Ustaz Syahir dan Ustaz Amirul adalah antara ustaz dalam kelas hafazanku yang tidak pernah tinggi suara pun pabila aku menyebut huruf dengan makhraj yang salah. Mereka tidak pernah merungut kalau aku hafaz dengan bilangan ayat yang sedikit dan pabila bertalaqqi, hafazanku tersangkut-sangkut. 

Raut wajah, kata-kata dan tindakan mereka tiada langsung riak diri terasa hebat walaupun sudah bergelar Al-Hafiz. Mereka ini sangat memahamiku yang hanya seorang pelajar tua yang belajar hafaz secara separuh masa. Dalam hatiku selalu berkata: "Inilah akhlak ahli Al-Quran. Barulah orang tidak malu dan tidak gentar untuk belajar Al-Quran walaupun umur telah lewat."

Kejayaan Fairus Ahmad-
 Hadiah Berharga Utk Pendidiknya
Sebagai pendidik pula, aku banyak belajar dari telatah dan gelagat pelajar-pelajarku. Semua pelajarku adalah sumber inspirasi untukku menjadi pendidik yang lebih cemerlang. Pelajarku telah mendidik diriku menjadi insan yang lebih sabar, tabah, kreatif, inovatif, mesra, yakin diri, berjaya, bersyukur dan banyak lagi. Mereka sangat berharga! 

Pelajar dan pendidik saling memerlukan dan mereka juga perlu saling menghargai dan menghormati. Penghargaan atau penghormatan ini akan memurnikan khilaf yang ada antara satu sama lain dan suasana harmoni dengan secara semulajadi akan terserlah.

Thursday, May 10, 2012

Penyejuk Hati Dibaca (PhD): Mukjizat Al-Quran

Sumber: selamattinggal.blogspot.com
"Bacalah Al-Quran." 
Inilah antara nasihat yang masih terngiang-ngiang di telingaku ketika fikiranku dilanda kekusutan dan hatiku diselubungi ketakutan suatu masa dulu. Hampir setiap malam ku isikan waktuku untuk membaca Al-Quran. Ada kalanya, sedang ku tekun membaca Al-Quran, hati tiba-tiba terasa sebak dan air mata mengalir tanpa sebab. 

Setiap kali selesai membaca Al-Quran, kupasti mengimbau kembali detik perjalanan hidupku sebelum berlakunya kegusaran ini. Ku terlalu ingin mengetahui puncanya. Setelah hampir dua tahun berlalu, akhirnya ku ketahui jua punca kegusaran tersebut dan dihamparkan di depanku jalan penyelesaiannya. Sejuknya hatiku. Damainya hidupku. Terbukti kitab suci Al-Quran menyelesaikan segala permasalahan kehidupan manusia di dunia ini. Kepercayaanku terhadap Al-Quran bertambah utuh.

Minggu ini, ungkapan yang sama ["Bacalah Al-Quran" ] diberikan oleh Ustaz Hadi di kelas hafazanku. Ustaz yang dilahirkan dan dibesarkan di Makkah selama 27 tahun ini, membakar semangat kami pelajar-pelajar tahfiz separuh masa dengan bercerita mengenai pengalamannya khatam hafaz Al-Quran di kalangan orang-orang Arab. Katanya: "Kita orang Islam, kita mesti hafal dan faham Al-Quran. Umur, bangsa, kecacatan, kesibukan hidup dan kerjaya bukan penghalang untuk menghafaz Al-Quran." 

Kami diberi peluang menonton video anak kecil berumur 2 tahun yang telah menghafaz Al-Quran. Kagum pada anak kecil hebat ini dan ibubapanya yang berjaya mendidiknya. "Ya Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Engkau pimpinlah kami selalu agar kami berjaya menjadi ahli Al-Quran dan kami berjaya mendidik anak-anak keturunan kami sehebat anak kecil ini."  (Nota: di bawah, video anak kecil ini).