Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Saturday, October 29, 2011

Petanda Hadapi Dugaan(PhD): Banjir Datang Lagi

North Icelandic Jet
Semalam aku berkesempatan menonton satu rancangan(tak ingat tajuknya) di Astro tentang saintis dunia telah  berjaya menutup bahagian yang terbuka di Greenland dari terkena pancaran matahari. Matahari akan mempercepatkan ais cair dan air akan mengalir ke dalam lapisan bumi. Ini menyebabkan lebih banyak bongkah-bongkah ais akan merekah dan cair. Para saintis ini tidak mampu menjamin keberkesanan kaedah tersebut, malahan ada kebimbangan yang kaedah ini akan menyumbang kepada lebih banyak kesan buruknya. Dalam hatiku terdetik: "Inilah antara petanda dunia hampir kiamat!"

Hebat mana kepintaran manusia, tidak mampu mengatasi kehebatan Allah swt. Bak kata Perdana Menteri Thailand: "Banjir adalah bencana alam yang tidak boleh ditahan-tahan." Ada petanda yang menunjukkan banjir akan melanda negara ini tidak lama lagi terutamanya negeri di sebelah Pantai Timur. Ada kebimbingan di hati semua rakyat Malaysia. Pelbagai persiapan dari segi fizikal telah dibuat. Syukurlah kerana negara kita punya sistem meteorologi yang canggih dan pengurusan infrastruktur yang cekap. Kita mahu negara kita dan semua negara di dunia ini selamat dari sebarang bencana.

Source: www.kosmo.com.my
Pohonlah keselamatan itu hanya dari Allah swt, Yang Maha Berkuasa. Berdoalah kita semua rakyat Malaysia agar hujan yang diturunkan kepada kita adalah air yang manfaat. 
Source:  http://www.frim.gov.my/v1/masjid/DOAGIF3.HTM
Berdoalah agar semua persiapan fizikal dan mental kita untuk menghadapi banjir kali ini mendapat rahmat Allah swt. Muhasabahlah diri dan taubatlah segera kerana kita tidak punya masa yang banyak. Kita masih tidak tahu bila detik dan saatnya akan datang malaikat maut atau tiupan sangka kala akan berbunyi. Hentikanlah segala bentuk kebatilan dan tunaikanlah segala kewajipan dan hak yang dipertanggungjawabkan. Sebagai insan biasa, aku juga merasakan memang sukar untuk terus berubah menjadi sempurna baik, namun, kita mesti ada tindakan dan keazaman untuk menjadi lebih baik.  Pelbagai dugaan dan cabaran datang dari segenap penjuru.

Usahlah saling tuduh-menuduh silap siapa (contohnya anak dan ibubapa saling menuduh tak beri kasih sayang, ibubapa dan guru saling menuduh bila pelajar semakin tidak berakhlak, pekerja dan pengurus saling menuduh tidak buat kerja, suami isteri saling menuduh tak tunai tanggungjawab dsb) kerana manusia sememangnya buat silap. Yang maksum hanyalah Nabi Muhamad saw. Bangunlah dengan nawaitu mahu menegakkan Islam di dalam diri masing-masing walau apa jua peranan dan jawatan kita di dunia ini kerana akhirnya kita semua kembali kepada Allah swt sebagai jawatan seorang HAMBA. 

Tuesday, October 25, 2011

Perkahwinan Hadapi Dilema(PhD): Yakini Bantuan Allah

Menonton salah satu siri drama Dilema Wanita di Astro Oasis bertajuk "Hati Atikah" membuatkan aku menangis, tidak dapat menahan sebak. Kisah dilema seorang isteri berkerjaya bernama Atikah yang tertekan dengan kerenah ibu mertua yang mempertikaikan kewibawaan Atikah sebagai isteri. Semua yang dibuat oleh Atikah, tidak pernahnya betul. Atikah terus tertekan dan ditekan. Suami Atikah tidak mampu bersuara dan pada masa yang sama beliau juga mencintai isterinya. Selepas satu musibah yang menimpa pada suami Atikah, barulah si ibu mertua ini berubah. Jalan ceritanya mudah dan sangat mudah difahami. 

Hanya buku berwarna pink
yg Belum Kumiliki
Banyak lagi dilema yang dilalui dalam bahtera perkahwinan. Penyelesaian yang syar'i sahaja mampu membuatkan bahtera perkahwinan ini selamat dunia dan akhirat. Yang menarik perhatianku ialah salah satu pesanan Dato' Dr Hj Fadzilah Kamsah sebelum drama ini berakhir iaitu "Takkan nak tunggu musibah berlaku, baru nak berubah." Pesanan ini sungguh menusuk kalbuku kerana terdapat ramai orang yang masih tidak mahu berubah walaupun telah banyak musibah berlaku. Malahan menantu perempuan terus dipersalahkan, yang paling tragik diceraikan dan digantikan dengan menantu baru. Begitulah beratnya...salah satu ujian dalam perkahwinan. 

Marilah kita sama-sama selamatkan, peliharai dan serlahkan institusi perkahwinan dengan bait-bait cinta Allah swt, cinta Rasulullah saw dan cinta sesama insan. Teguh institusi perkahwinan, maka kukuhlah keluarga, bangsa, negara, masyarakat dan ummah. Percayalah, dalam kesulitan pasti ada kemudahan, setelah berusaha untuk mengatasi sesuatu kesulitan, maka letakkanlah pengharapan hanya kepada Allah swt. Pesanan ini termaktub dalam Surah Al-Insyirah ayat 5- 8 yang bermaksud:- 
  • Ayat 5: Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan
  • Ayat 6: Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan
  • Ayat 7: Maka apabila engkau telah selesai dari sesuatu urusan, tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain.
  • Ayat 8: Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah engkau berharap

Sunday, October 23, 2011

Perbuatan Haiwani Dikeji(PhD): Kembalilah Kpd Islam



(Ada unsur keganasan dalam video ini)

Semasa kita sibuk menyambut Hari Kanak-kanak sedunia bulan Oktober ini, dunia telah digemparkan dengan kisah kanak-kanak di China dilanggar 2 kali dengan van tanpa diendahkan oleh orang yang melanggar dan orang ramai yang lalu lalang. Kanak-kanak tersebut kini koma. Seluruh dunia mengutuk perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini. Mengapa Allah swt turunkan insiden seperti ini? Petunjuk apakah yang Allah cuba berikan kepada manusia yang dilantik sebagai khalifah di dunia ini?

Walau apa pun alasan yang diberi terhadap insiden ini, ia adalah satu petanda yang menunjukkan manusia telah gagal menjalankan tugasnya sebagai khalifah dengan baik (termasuklah diriku sendiri). Manusia telah terpupus rasa tanggungjawabnya sesama insan. Lebih daripada 10 individu di tempat kejadian, mereka hanya lalu, lihat dan pergi. Sikap lalu, lihat dan pergi ini adalah sifat individualistik dan lebih teruk daripada haiwan. 

Insiden di Malaysia pada tahun 2010, adik Syafiah Humairah, 3 tahun, meninggal dunia selepas didera teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah. Ramai saksi (orang di padang bola dan jiran di kawasan perumahan) yang hanya mampu melihat adik Syafiah didera hingga mati. Insiden pada awal tahun ini, seorang pelajar sekolah agama didera, adik Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7 tahun, meninggal dunia setelah 3 hari koma. Mungkin ramai insan di sekolah yang tahu TETAPI hanya mampu lalu, lihat dan pergi.
Kasihan anak-anak ini....mereka perlukan orang dewasa untuk terus hidup dan mengenal erti hidup. Orang dewasa yang diharapkan telah hilang pertimbangannya dek nafsu, kuasa, kebendaan dan rasukan syaitan!

Pastinya ada banyak insiden seperti ini telah dan akan berlaku tapi iman kita tak mampu untuk bangkit membantu. Iman kita lebih nipis dari kulit bawang. Marilah kembali kepada ajaran Islam. Islam telah mengajar kita agar saling ingat-mengingati dan bantu-membantu dalam "menyuruh perkara kebaikan dan mencegah perkara keburukan." Kita tak boleh suruh orang berbuat baik sahaja TETAPI pada masa yang sama kita biarkan orang berbuat kejahatan. Ingatlah antara wasiat Rasullullah saw dalam khutbah terakhir baginda:-
Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun supaya orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. 
Ketahuilah bahawa setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim lain. 
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untukdipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas kewafatanku. 
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku.