Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Showing posts sorted by date for query khutbah. Sort by relevance Show all posts
Showing posts sorted by date for query khutbah. Sort by relevance Show all posts

Wednesday, November 2, 2011

Penyejuk Hati Daku(PhD): Al-Quran & Nabi Muhamad

Pejam celik, pejam celik, dah masuk bulan Zulhijjah. Aidil Adha akan tiba tidak lama lagi. Anak-anak yang tinggal di asrama akan pulang bercuti. Bila tiba Aidil Adha...pastinya kita akan teringat khutbah terakhir Rasulullah saw di Lembah Uranah, Arafah pada 9 Zulhijjah. Antara wasiat baginda ialah:-
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku.
Sentiasa teringat akan perjuangan Nabi Muhamad saw dalam menegakkan syiar Islam dan kasih sayang baginda terhadap umatnya. Tatkala menonton rancangan Law Kaana Bainana di TV Al-Hijrah setiap hari Ahad pukul 9.00 malam pasti kerinduan dan kecintaan terhadap baginda semakin membara. Mengubati rasa rindu pada baginda...antaranya ialah dengan membaca Al-Quran. Ini kerana akhlak Nabi Muhamad saw adalah akhlak Al-Quran. 

Hati pasti menjadi damai pabila mendengar bacaan Al-Quran. Apatah lagi kalau kita membaca, mempelajari dan menghayati Al-Quran seperti yang diperingatkan oleh Ustazah Asni Mansor Al-Hafizah dalam rancangan Muqaddimah TV9 dua hari lepas. Al-Quran adalah kitab yang mesti diyakini oleh semua orang Islam. Al-Quran merupakan satu mukjizat yang penuh dengan ilmu dunia dan akhirat serta sentiasa benar sepanjang zaman. 

Namun, sebagai insan biasa aku seringkali alpa dan menjadikan Al-Quran sumber rujukan ilmu yang terakhir. Ya Allah...ampunilah aku (100x). Aku mahu menjadikan Al-Quran pilihan utamaku...Ya Allah. Tunjukkanlah daku jalannya dan teguhkanlah semangat daku untuk mencapai matlamat ini. Usah Engkau pesongkan hatiku setelah Engkau beri petunjuk...Ya Allah.

Mampukah aku menjadi umat Al-Quran (salah satu topik dalam rancangan Tanyalah Ustaz TV9)? Apakah pelan tindakan untuk istiqamah menjadi umat Al-Quran? 
Source: ukhtievy.blogspot.com  
"Wahai diri...yang punya iman senipis kulit bawang dan hati yang dipenuhi pelbagai racun keimanan...mulakan saat ini dengan membaca walaupun hanya sepotong ayat. Dan tingkatkanlah usaha kita setiap hari mengikut kemampuan agar boleh ditambah bilangan ayat yang dibaca dan ditingkatkan kualiti bacaan serta penghayatan terhadap Al-Quran."

Sunday, October 23, 2011

Perbuatan Haiwani Dikeji(PhD): Kembalilah Kpd Islam



(Ada unsur keganasan dalam video ini)

Semasa kita sibuk menyambut Hari Kanak-kanak sedunia bulan Oktober ini, dunia telah digemparkan dengan kisah kanak-kanak di China dilanggar 2 kali dengan van tanpa diendahkan oleh orang yang melanggar dan orang ramai yang lalu lalang. Kanak-kanak tersebut kini koma. Seluruh dunia mengutuk perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini. Mengapa Allah swt turunkan insiden seperti ini? Petunjuk apakah yang Allah cuba berikan kepada manusia yang dilantik sebagai khalifah di dunia ini?

Walau apa pun alasan yang diberi terhadap insiden ini, ia adalah satu petanda yang menunjukkan manusia telah gagal menjalankan tugasnya sebagai khalifah dengan baik (termasuklah diriku sendiri). Manusia telah terpupus rasa tanggungjawabnya sesama insan. Lebih daripada 10 individu di tempat kejadian, mereka hanya lalu, lihat dan pergi. Sikap lalu, lihat dan pergi ini adalah sifat individualistik dan lebih teruk daripada haiwan. 

Insiden di Malaysia pada tahun 2010, adik Syafiah Humairah, 3 tahun, meninggal dunia selepas didera teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah. Ramai saksi (orang di padang bola dan jiran di kawasan perumahan) yang hanya mampu melihat adik Syafiah didera hingga mati. Insiden pada awal tahun ini, seorang pelajar sekolah agama didera, adik Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7 tahun, meninggal dunia setelah 3 hari koma. Mungkin ramai insan di sekolah yang tahu TETAPI hanya mampu lalu, lihat dan pergi.
Kasihan anak-anak ini....mereka perlukan orang dewasa untuk terus hidup dan mengenal erti hidup. Orang dewasa yang diharapkan telah hilang pertimbangannya dek nafsu, kuasa, kebendaan dan rasukan syaitan!

Pastinya ada banyak insiden seperti ini telah dan akan berlaku tapi iman kita tak mampu untuk bangkit membantu. Iman kita lebih nipis dari kulit bawang. Marilah kembali kepada ajaran Islam. Islam telah mengajar kita agar saling ingat-mengingati dan bantu-membantu dalam "menyuruh perkara kebaikan dan mencegah perkara keburukan." Kita tak boleh suruh orang berbuat baik sahaja TETAPI pada masa yang sama kita biarkan orang berbuat kejahatan. Ingatlah antara wasiat Rasullullah saw dalam khutbah terakhir baginda:-
Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun supaya orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. 
Ketahuilah bahawa setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim lain. 
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untukdipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas kewafatanku. 
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku.

Tuesday, February 15, 2011

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad s.a.w

Setiap kali Astro OASIS menyiarkan dan membacakan wasiat terakhir Nabi Muhammad s.a.w, hati pasti terasa sayu dan bagaikan terpancar indah dan syahdunya sinar kasih Rasullullah saw di hati ini - terasa dekatnya Baginda denganku. Tak pernah bertemu tetapi kasih sayangnya amat dirasai. Aku sangat bersyukur dilahirkan sebagai umat Islam, umat Nabi Muhammad saw.

Hayatilah Wasiat Rasullullah s.a.w

Pesanan ini disampaikan dalam khutbah terakhir Baginda di Lembah Uranah, Gunung Arafah, berhampiran kota Makkah pada 9 Zulhijah tahun ke-10 Hijrah. Marilah kita sama-sama hayati dan laksanakan wasiat Baginda dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh berliku.


 “Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikan ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. 

Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan  harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun supaya orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba, justeru, segala urusan membabitkan riba dibatalkan mulai sekarang. 


Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia (syaitan) sudah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara BESAR, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, maka mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Jika mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. 


Layani wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah dengan mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat 5 kali sehari, berpuasa pada Ramadan dan tunaikan zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'ibadat haji' jika kamu mampu. 

Ketahuilah bahawa setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia daripada yang lain kecuali dalam takwa dan beramal soleh.


Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas kewafatanku. 

Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepas aku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kataku yang sudah aku sampaikan kepada kamu. 

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku.


Hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga orang yang terakhir lebih memahami kataku daripada mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya sudah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-Mu.”