Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Sunday, May 26, 2013

PRU Habis Dah(PhD): Tunjukkan Baktimu...

sumber: http://www.sunahsukasakura.com
Hari mengundi merupakan hari anakku pulang semula ke asrama. Sewaktu tiba di stesen bas Shah Alam, dimaklumkan bahawa bas mungkin akan tiba lewat tengah malam. Kegelisahan menunggu bas diganti dengan debaran menunggu keputusan rasmi PRU13 di TV1. Hati kecil tidak berhenti-henti berdoa agar Allah swt sentiasa selamatkan negaraku yang tercinta. Pada tika itu, hati kecilku menyakini apa jua keputusan PRU adalah ketentuan Allah swt untuk menjadikan Malaysia dan rakyatnya lebih cemerlang. Keyakinan ini adalah bertunjangkan kepercayaanku kepada Qada' dan Qadar. Ku yakin majoriti rakyat Malaysia juga sepertiku kerana semua rakyat Malaysia telah berusaha dengan caranya sendiri untuk berjaya dipilih (bagi ahli politik) dan membuat pilihan (rakyat Malaysia). 

Sebagai rakyat biasa, ku mahukan semua ahli politik terpilih (kerajaan/pembangkang) berkhidmat dengan lebih ikhlas dan sungguh-sungguh untuk membuktikan kewibawaan dan integriti masing-masing. Manakala semua rakyat jelata menyambung bakti mereka kepada agama, bangsa dan negara. Malangnya dan sedihnya.... pasca PRU13 tidak begitu. Kita masih mensia-siakan masa dan nikmat yang Allah swt anugerahkan. 

Pemerhatianku yang tidak sempurna ini mendapati... rakyat Malaysia masih diseret dan diheret ke senario politik yang membuatkan setiap insan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman...kini hidup...saling curiga mencurigai. Kita buruk sangka sesama rakyat Malaysia dan lebih parah lagi kita seolah-olah buruk sangka kepada Allah swt

Sedih dan kasihannya kita kerana...Semakin terlerai nilai kasih sayang sesama kita. Semakin pudar sifat hormat menghormati sesama kita. Semakin merudumnya nilai kenegaraan kita. Semakin hilang indahnya peribadi Islam kita. Semakin jahilnya kita memahami sesuatu fakta dan hakikat. Semakin kasar dan kerasnya budi bahasa kita.

Nilai perpaduan rakyat Malaysia sedang menurun dengan laju. Penurunan ini membuatkan anasir jahat mudah menyerang dan menghasuti minda Malaysia dan rakyat Malaysia. Bangkitlah wahai rakyat Malaysia dari mimpi ngeri ini! Kita semua dambakan hidup yang tenang lagi menenangkan, bahagia  lagi membahagiakan, lengkap lagi melengkapkan serta berjaya dunia akhirat. 

"Ya Allah....selamatkanlah Malaysia dan rakyatnya serta tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Friday, May 3, 2013

Pilihanraya Hampir Dah(PhD): Munajat & Istikharah lah...

Solat Istikharahlah...
Bahang hari mengundi (5 Mei 2013) untuk PRU 13 semakin terasa. Pelbagai cara berkempen ditonjolkan. Semakin hampir, semakin hebat usaha berkempen dijalankan. Oleh itu, dicadangkan agar kita dirikanlah solat istikharah sebanyak mungkin sebelum membuat pemilihan. Walaupun hati kecil kita mungkin telah membuat pilihan sendiri berdasarkan pelbagai sumber, amat-amat disarankan agar kita teruskanlah bersolat istikharah sampai hari mengundi agar kita diberi petunjuk untuk membuat "pilihan yang terbaik dan sesuai dengan kehendak Allah swt (rujuk mukasurat 43 - buku Hebatnya Kuasa Istikharah)". 

Petunjuk dari Allah swt akan membuatkan hati kita mantap dan tidak menyesal dengan pilihan yang dibuat. Yakin dan percayalah...pilihan Allah sangat sempurna dan menyempurnakan hidup kita di dunia dan akhirat. 

Selamat mengundi dan laluilah hari-hari dalam musim pilihanraya ini dengan penuh berakhlak mulia dan  sentiasa berpegang kepada Al-Quran dan Hadis. Patuhi perintah Allah swt, suruhan Nabi Muhamad saw   dan peraturan yang telah ditetapkan oleh negara kita. Hargai dan syukuri nikmat keamanan yang dikecapi selama ini; di mana kita sebagai rakyat Malaysia mampu menjalani kehidupan mengikut agama dianuti, adat resam, kemampuan dan ketentuan takdir masing-masing dalam suasana bahagia dan membahagiakan. Telah sekian lama kita memupuk perasaan aman, kerjasama dan bahagia sesama kita. Perkukuhkanlah benteng ini daripada diancam oleh pelbagai anasir perosak agama, bangsa dan negara. 

Nota: Selain buku di atas, dapatkan info solat istikharah di http://shafiqolbu.wordpress.com/solat-sunat/solat-sunat-istikharah/

Wednesday, February 13, 2013

Positif Hadapi Duty(PhD): Adaptasi Diri

 Doa Kesihatan Badan
Bermula hujung Disember 2012, ku kembali bertugas. Ku sangka semuanya mudah kerana telah lama dalam kerjaya ini. Perubahan tempat bertugas dari Segamat ke Shah Alam ditambah pula telah lebih tiga tahun meninggalkan urusan pejabat, ternyata memerlukan persediaan mental dan fizikal dalam proses adaptasi diri

Inspirasi Solat Tahajjud
Antara saranan Islam untuk pertingkatkan tahap stamina fizikal dan mental diri adalah amalan solat malam dan doa yang berterusan. Ku amat yakin semua muslim telah sedia maklum tentang solat tahajjud. Sebagai muslim profesional, peringkat "tahu" belum menunjukkan "mampu buat". Untuk mendapat inspirasi solat tahajjud, dapatkanlah dan bacalah buku "111 Tip untuk Mudah Bertahajjud". Moga kita semua TERPILIH menjadi salah seorang penghias sepertiga malam.

Ada banyak amalan doa. Antara amalan doa adalah doa kesihatan badan yang dibaca sebelum tidur (contohnya rujuk mukasurat 74-76 dalam buku "33 Amalan Mendidik Anak Soleh") dan juga doa mohon perlindungan diri dari bencana tiap pagi dan petang.
"Ya Allah, aku memohon keselamatan agamaku, duniaku, ahliku dan harta bendaku. Tutupilah keaibanku, tenangkanlah kegelisahanku, peliharalah aku dari bencana yang mungkin menimpa aku dari muka dan belakangku, dari kiri kananku, dari atasku dan perlindungan dengan kebesaranMu. Aku diperdaya dari bawahku" [rujuk mukasurat 74-75 dalam buku Ustaz Kazim "Doa & Penawar terpilih"]
Cinta Ilmu, TV Al Hijrah
Pengisian rohani pada setiap pagi hari juga kini terjejas. Program Tanyalah Ustaz dan Rasul Yang Kata (baru!) di TV9 serta Reflection, 30 minit Ustaz Don, Jalan Orang Mukmin (J.O.M) di TV AlHijrah, ku tidak dapat menontonnya dengan penuh ketenangan. Sering saja tergesa-gesa untuk menyiapkan diri ke pejabat di mana jauh perjalanannya lebih kurang 45 minit tanpa kesesakan lalu lintas. Namun, ku masih bersyukur kerana TV Al Hijrah ada program Cinta Ilmu (baru!) dan Astro Oasis pula ada program Ustaz Kazim "Kalau Dah Jodoh" (baru!) dan "Reset Minda Bersama Profesor Muhaya"(baru!) .

Diharapkan tugas kerjaya dalam suasana baru ini, dapat kubiasakan. Dan pada masa yang sama ku sangat berharap bertemu dengan waktu sesuai dan kaedah alternatif bagi santapan rohani.