 |
Rai hujung cuti sekolah di D'Kebab |
Cuti sekolah adalah saat yang kunantikan. Saat untuk bersama Dinie dan Dhia yang selama musim persekolahan, di bawah bimbingan dan jagaan sekolah berasrama. Di kala cuti inilah, ku berpeluang memasakkan makanan kegemaran mereka. Terpesona dan hilang segala penat lelah pabila melihat mereka makan dengan penuh selera. Masakan yang dilimpahi dengan doa dan kasih sayang yang tiada sempadan. Anak-anakku...merupakan permata di hati.
Anak-anak bukan milikku seorang. Mereka juga adalah permata hati ibubapaku di Kota Tinggi dan ibubapa mertuaku di Penang. Oleh itu, 10-12 hari cuti sekolah ini perlu diagih-agihkan untuk mereka juga. Jadual percutian Utara-Selatan perlu diatur agar perjalanan selamat dan tanggungjawab anak-anak sebagai pelajar sekolah tidak terabai. Bukan itu sahaja, masa diagih untuk membeli keperluan sekolah sebelum pulang ke asrama dan untuk tempahan baju raya kerana tak lama lagi...cuti Aidil Fitri.
 |
Leftenan Zurina, anak Mak Andak |
 |
Raikan Majlis Iwan, anak Mak Long |
Bercuti di Kota Tinggi, selalunya aku berkesempatan masak untuk mak abah walaupun sebenarnya aku sangat merindui masakan mak. Hidangan untuk mak abah kali ini, soto mee untuk sarapan pagi dan nasi briyani untuk makan tengahari. Gembira...melihat mak abah makan makanan yang kumasak walaupun masakanku bukan bertaraf hotel dan restauran terkemuka. Sebelum pulang, ku sempat meminta mak yang kukasihi memasakkan sambal tumis ikan bilis. Hampir dua minggu, aku makan nasi di rumah sendiri berlaukkan sambal tumis mak; sedapnya hingga menjilat jari! Mak abah...merupakan permata di hatiku.
 |
Raikan Hafiz dan Zulikha di Penang |
 |
Raikan Bapa Mertuaku di Gunung Jerai |
Perasaan yang ku alami ini telah lebih dahulu dirasai oleh mak abahku. Seingatku, semasa aku bersekolah dulu, mak abah selalu bertungkus lumus mencari wang untuk menyediakan makanan kegemaranku pabila cuti sekolah. Kini...aku lebih memahami perasaan kasih sayang mak abah terhadap anak-anaknya. Bagi mereka, aku adalah antara sembilan orang permata hatinya yang perlu dirai. Terima kasih Allah kerana mengurniakanku ibubapa yang sangat mulia. Ku bersyukur kerana mereka masih ada di kala aku mengharungi kehidupan berkeluarga. Kupohon padaMu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, agar Engkau sentiasa mengampuni, merahmati dan memuliakan ibubapa ku.