Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Thursday, June 28, 2012

Permata Hati Dirai(PhD): Cuti Sekolah

Rai hujung cuti sekolah di D'Kebab
Cuti sekolah adalah saat yang kunantikan. Saat untuk bersama Dinie dan Dhia yang selama musim persekolahan, di bawah bimbingan dan jagaan sekolah berasrama. Di kala cuti inilah, ku berpeluang memasakkan makanan kegemaran mereka. Terpesona dan hilang segala penat lelah pabila melihat mereka makan dengan penuh selera. Masakan yang dilimpahi dengan doa dan kasih sayang yang tiada sempadan. Anak-anakku...merupakan permata di hati.

Anak-anak bukan milikku seorang. Mereka juga adalah permata hati ibubapaku di Kota Tinggi dan ibubapa mertuaku di Penang. Oleh itu, 10-12 hari cuti sekolah ini perlu diagih-agihkan untuk mereka juga.  Jadual percutian Utara-Selatan perlu diatur agar perjalanan selamat dan tanggungjawab anak-anak sebagai pelajar sekolah tidak terabai. Bukan itu sahaja, masa diagih untuk membeli keperluan sekolah sebelum pulang ke asrama dan untuk tempahan baju raya kerana tak lama lagi...cuti Aidil Fitri. 

Leftenan Zurina, anak Mak Andak
Raikan Majlis Iwan, anak Mak Long
Bercuti di Kota Tinggi, selalunya aku berkesempatan masak untuk mak abah walaupun sebenarnya aku sangat merindui masakan mak. Hidangan untuk mak abah kali ini, soto mee untuk sarapan pagi dan nasi briyani untuk makan tengahari. Gembira...melihat mak abah makan makanan yang kumasak walaupun masakanku bukan bertaraf hotel dan restauran terkemuka. Sebelum pulang, ku sempat meminta mak yang kukasihi memasakkan sambal tumis ikan bilis. Hampir dua minggu, aku makan nasi di rumah sendiri berlaukkan sambal tumis mak; sedapnya hingga menjilat jari! Mak abah...merupakan permata di hatiku. 

Raikan Hafiz dan Zulikha di Penang 
Raikan Bapa Mertuaku di Gunung Jerai
Perasaan yang ku alami ini telah lebih dahulu dirasai oleh mak abahku. Seingatku, semasa aku bersekolah dulu,  mak  abah selalu bertungkus lumus mencari wang untuk menyediakan makanan kegemaranku pabila cuti sekolah. Kini...aku lebih memahami perasaan kasih sayang mak abah terhadap anak-anaknya. Bagi mereka, aku adalah antara sembilan orang permata hatinya yang perlu dirai. Terima kasih Allah kerana mengurniakanku ibubapa yang sangat mulia. Ku bersyukur kerana mereka masih ada di kala aku mengharungi kehidupan berkeluarga. Kupohon padaMu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, agar Engkau sentiasa mengampuni, merahmati dan memuliakan ibubapa ku.

No comments:

Post a Comment