 |
Menara Eiffel, Paris |
Disambut dengan ucapan salam oleh seorang wanita tak dikenali sewaktu menjejakkan kaki di bumi Paris pada awal Disember lalu, Allah swt mengizinkanku untuk melihat dan menaiki Menara Eiffel yang setinggi 324 m. Ku kagum dengan idea unik dan motivasi konsisten yang Allah swt suntikkan pada Eiffel untuk memastikan menara besi ini berdiri teguh hingga hari ini. Mengikut ceritanya, menara ini telah dua kali ura-ura hendak dirobohkan.
 |
Menara Petronas tercatat di Eiffel Tower |
Sewaktu berada di mercu menara ini (280 m), ku sempat membaca maklumat perbandingan ketinggian Eiffel dengan bangunan tertinggi di negara-negara lain. Hati tertanya-tanya kenapa nama Malaysia tiada. Panik! Setelah ku tawaf sebanyak dua kali,
hati terasa lega sebab Menara Petronas, Malaysia ada tercatat di situ.
Ada kesamaan dari aspek motivasi bagi insan pencetus idea menara Eiffel dan menara Petronas!
 |
Makan Nasi Briyani kat sini! |
Setiap kali berada di negara orang, perkara yang kucari ialah masjid dan restoran halal. Di Paris, restoran makanan halal ada banyak pilihan dan mudah dicari. Perkataan halal, logo halal atau sijil halal boleh didapati di restoran-restoran ini. Pemilik restoran juga tidak keberatan bila kita bertanya tentang kehalalan makanan mereka. Terasa bahagia dan bersyukur kerana makan tengahari dan malam ada banyak pilihan. Pilihan sarapan pagi terhad kepada roti perancis/croissant dan telor mata lembu.
 |
Musee du Louvre, Paris |
Lepas makan, pergi jalan-jalan pula. Paris mempunyai banyak muzium. Tak larat dan tak mampu nak melawat semua muzium tersebut. Kami hanya melawat dua muzium iaitu
Musee du Louvre dan
Musee Grevin. Selain
lukisan Monalisa di Musee du Louvre, aku cukup teruja dengan pameran seni Islamnya.
 |
2015 Musee du Louvre di Abu Dhabi |
Kami juga tidak melepaskan peluang untuk beriktikaf di Masjid Paris. Oleh kerana sistem pengangkutan awam di Paris mudah, maka kami menggunakan perkhidmatan bas awam (bas no 47, naik kat Notre Dame) untuk ke masjid ini. Kami menghabiskan masa dari waktu asar hingga waktu maghrib. Uniknya, pengunjung pelbagai agama tidak putus-putus datang ke masjid ini. Selain melihat kesenian masjid ini, mereka menyaksikan orang Islam solat berjemaah.
 |
Masjid Paris |
 |
Azan Maghrib, Masjid Paris |
Paris memang indah dengan pelbagai hasil seni hingga barangan mewah. Paris bandar moden yang penuh dengan peninggalan bersejarah. Sistem pengangkutan awamnya bagus dan tandasnya juga bersih! Kesukaran mencari surau/tempat solat di tempat-tempat awam di Paris, membuatkan aku lebih mensyukuri negaraku, Malaysia. Malaysia ada kemudahan surau/tempat solat hampir di semua tempat awam seperti kompleks membeli belah, R& R di lebuhraya, muzium, zoo, hotel-hotel, pusat perhentian bas, stesen komuter/keretapi dan lapangan terbang. Mudahnya, tenangnya dan indahnya beribadah di Malaysia.
"Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, peliharalah keindahan dan keamanan Malaysia agar kami sebagai rakyatnya saling hormat menghormati dan sentiasa utamakan syariatMu dalam segenap sudut hidup kami."