Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Thursday, May 10, 2012

Penyejuk Hati Dibaca (PhD): Mukjizat Al-Quran

Sumber: selamattinggal.blogspot.com
"Bacalah Al-Quran." 
Inilah antara nasihat yang masih terngiang-ngiang di telingaku ketika fikiranku dilanda kekusutan dan hatiku diselubungi ketakutan suatu masa dulu. Hampir setiap malam ku isikan waktuku untuk membaca Al-Quran. Ada kalanya, sedang ku tekun membaca Al-Quran, hati tiba-tiba terasa sebak dan air mata mengalir tanpa sebab. 

Setiap kali selesai membaca Al-Quran, kupasti mengimbau kembali detik perjalanan hidupku sebelum berlakunya kegusaran ini. Ku terlalu ingin mengetahui puncanya. Setelah hampir dua tahun berlalu, akhirnya ku ketahui jua punca kegusaran tersebut dan dihamparkan di depanku jalan penyelesaiannya. Sejuknya hatiku. Damainya hidupku. Terbukti kitab suci Al-Quran menyelesaikan segala permasalahan kehidupan manusia di dunia ini. Kepercayaanku terhadap Al-Quran bertambah utuh.

Minggu ini, ungkapan yang sama ["Bacalah Al-Quran" ] diberikan oleh Ustaz Hadi di kelas hafazanku. Ustaz yang dilahirkan dan dibesarkan di Makkah selama 27 tahun ini, membakar semangat kami pelajar-pelajar tahfiz separuh masa dengan bercerita mengenai pengalamannya khatam hafaz Al-Quran di kalangan orang-orang Arab. Katanya: "Kita orang Islam, kita mesti hafal dan faham Al-Quran. Umur, bangsa, kecacatan, kesibukan hidup dan kerjaya bukan penghalang untuk menghafaz Al-Quran." 

Kami diberi peluang menonton video anak kecil berumur 2 tahun yang telah menghafaz Al-Quran. Kagum pada anak kecil hebat ini dan ibubapanya yang berjaya mendidiknya. "Ya Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Engkau pimpinlah kami selalu agar kami berjaya menjadi ahli Al-Quran dan kami berjaya mendidik anak-anak keturunan kami sehebat anak kecil ini."  (Nota: di bawah, video anak kecil ini).


Tuesday, May 8, 2012

Pesta Hargai D'Buku (PhD): KLIBF 2012

Sumber: tulisnovel.blogspot.com
Syukurlah pada 2 Mei 2012 lalu, ku berjaya mengunjungi KLIBF 2012. Seawal 9:30 pagi, suamiku telah menghantarku ke Stesen Komuter Padang Jawa. Ku menikmati 'juadah ilmu' di pelbagai booth pameran, PWTC, bersendirian kerana suami ada urusan penting dan anak-anak bersekolah. 

Pada pameran kali ini, ku telah terserempak dengan Encik Roshisham Mohd Noor, Managing Director of Harmoni Publications sewaktu di booth McGraw Hill, 3 orang rakan pensyarah dari APB, UiTM Johor iaitu Encik Nathan, Encik Ainol Hasanal dan Dr Soo Kum Yoke di tangga bergerak Level 2 dan dua orang pelajar DIIA, UiTM Johor (salah seorang namanya Ayu, nama penuh tak tahu) sewaktu di booth PTS & Gempak Starz.

Buku Yg Dibeli di KLIBF 2012
Di samping membeli buku, kita juga boleh menderma untuk rakyat Palestin. Di booth Aman Palestin Berhad, ku sempat berbual panjang dengan Puan Fauzia Osman mengenai kehidupan rakyat Palestin serta produk yang ditawarkan untuk Palestin seperti wakaf jariah, tabung Kafalah, wakaf Al-Quran, wakaf Yasin dan tabung Palestin. Sedih kenangkan rakyat Palestin.

Kutinggalkan medan Pesta Hargai Dunia Buku -KLIBF 2012- kali ini sebelum solat asar, dengan  menyelusuri jejantas baru berbumbung yang disambung terus ke stesen komuter dan bas Putra; tak basah kuyup walaupun masa tu hujan lebat! Sepanjang perjalanan dalam komuter, ku kongsi membaca buku Kenangi Palestin bersama anak gadis di sebelahku; yang kebetulan merupakan seorang pelajar Diploma Sains, UiTM Kuala Pilah. 
Judul buku
Penerbit
Harga (RM)
1.      Mohd. Yusof Hussain (2009), Reading in Islamic Dakwah
IIUM Press
42.00
2.      Todd Fitzgerald (2012), Information Security Governance Simplified: From the Boardroom to the Keyboard
CRC Press
254.94
3.      Lindungi Hak Rakyat: Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709)
Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia
Percuma
4.      Ustaz Kazim Elias (2012), Tuhan Sedang Menguji Kita
Karya Bestari Sdn Bhd
19.90
5.      Associate Prof Dr Mohsen Saleh and Riyadh Mahmoud, Kenangi Palestin Selami Isunya
Aman Palestin
7.00
6.      Rusyidi Ramli Al-Jauhari (2012), Biografi Agung Rasulullah Sallalahu Alayhi Wassalam
Must Read Sdn Bhd
65.00
7.      Rohidzir Rais, Fuad Ismail dan Mohd Wahid Abd Hanif (2011), Ensiklopedia Solat
Telaga Biru Sdn Bhd
100.00
8.      Siri X-Venture: Lolongan Serigala Jadian
Gempak Starz
9.50
9.      Siri X-Venture: Menjejaki Big Foot
Gempak Starz
9.50
10.  Siri X-Venture: Pelopor PraSejarah
Gempak Starz
10.50
11.  Siri X-Venture: Terperangkap di Zaman Paleozoik
Gempak Starz
10.50
Jumlah Sebelum Diskaun
528.84

Tuesday, May 1, 2012

Pekerja Hargai Diri (PhD): Bekerja KeranaNya

Selamat Hari Pekerja
Setiap tahun 1 Mei merupakan cuti umum yang diraikan sebagai Hari Pekerja, menghargai semua insan yang bekerja dan yang menyediakan pekerjaan. Tema hari pekerja 2012 ialah "Pekerja Berinovatif Penggerak Transformasi". Trofi/ sijil/ hadiah/ bonus dianugerahkan kepada pekerja dan majikan cemerlang terpilih mengikut tapisan yang digariskan oleh pihak penilai seperti majikan, jabatan, syarikat, kesatuan atau kementerian. Dalam ramai-ramai pekerja dan majikan yang cemerlang, pekerja dan majikan contoh dinobatkan agar lebih ramai pekerja dan majikan berinspirasi untuk terus dan lebih cemerlang. 

The Paddock, Fraser Hill, Pahang
Penghargaan membawa nilai positif. Maka, majikan teruslah menghargai pekerja-pekerja anda dengan pelbagai cara. Wahai pekerja, teruslah menghargai majikan anda kerana ia telah memberi peluang kepada anda mendapat rezeki yang halal. Ayuh...kita hargai diri kita sebagai seorang pekerja dengan sentiasa:-
  1. Niat bekerja kerana Allah swt. Ini menjadikan kita lebih tenang walaupun tidak/kurang mendapat penghargaan dari pekerja lain/ majikan/ sesiapa pun.
  2. Menjalankan tugas mengikut landasan yang diredhai Allah swt. Ini menjadikan diri kita sentiasa berjaga-jaga dengan kemurkaan Allah swt di mana juga kita berada walaupun tanpa dilihat/diketahui oleh pekerja lain/ majikan / orang lain.
  3. Konsisten berusaha menyerlahkan akhlak Rasulullah saw dalam pekerjaan kita melalui sifat benar (siddiq), amanah (al-amin), bijaksana (fatonah) dan menyampaikan/ melaksanakan tugas (tabligh). Dalam istilah moden, sifat-sifat ini mungkin dikenali sebagai integriti, akauntabiliti, karisma, kreatif, deliverable dan inovatif.  Ini menjadikan kita sentiasa ada contoh teladan yang tepat dalam mengimbangi tugas pekerja, suami/isteri, ibubapa, anak dan yang paling penting tugas sebagai hamba Allah swt. Empat sifat utama Rasullullah saw ini sentiasa menjadi idaman setiap orang yang ingin cemerlang sepanjang zaman (iaitu di dunia dan akhirat). 
  4. Memberi sebahagian hasil pendapatan kepada yang hak. Ini menjadikan kita lebih mengharap penghargaan Allah swt dalam menjalankan tugas kerana semua yang ada di dunia ini adalah milik mutlak Allah swt.
Diharap kita sebagai pekerja/majikan mampu memiliki ciri-ciri di atas, agar segala misi dan visi di peringkat pekerja, majikan, keluarga dan negara akan tercapai. Teruskanlah usaha kita tanpa jemu-jemu untuk bekerja dengan cemerlang walau apa pun jawatan yang kita sandang...sehingga tamat tempoh/akhir hayat.