Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Wednesday, April 13, 2011

PhD == Pohon Hidup Diriku

Semalam aku amat letih tetapi kuminta suamiku mengejutkanku jika aku terlelap kerana aku benar-benar ingin menonton Halaqah Sentuhan Qalbu pukul 10.00 malam di TV9. Program ulang tayang! Topiknya kali ini ialah Pohon Hidup  dan tetamu jemputannya adalah Mufti Negeri Perak, SS Tan Sri (Dr) Hj Harussani Bin Hj Zakaria. Aku amat tertarik dengan tajuk dan juga tetamu jemputannya. Program ini amat menyentuh hati nuraniku kerana ianya membawa penonton melihat diri sendiri secara terus. Membawa penonton muhasabah dan menginsafi diri secara live. Hari ini aku mendapat satu lagi makna PhD iaitu Pohon Hidup Diriku. 

Lebih menginsafkan aku ialah apabila ulama atau Mufti Negeri Perak ini sebak dan mengalirkan air mata ketika menghuraikan sebuah hadis tentang menyediakan diri agar Pohon Hidup dalam diri kita terus subur. Pohon hidup yang dimaksudkan dalam program ini ialah Pohon IMAN. Kita terlalu sibuk membajai dan menyiram pohon duniawi sehingga kita lupa untuk menyiram dan membajai pohon IMAN. 
Pohon IMAN kita tandus, kering, kontang dan terbiar. Wang yang kita cari bukan tujuan untuk Allah, suami/isteri yang kita cinta bukan kerana Allah, anak-anak yang kita pelihara dan sayangi bukan kerana Allah, harta yang kita miliki bukan digunakan kerana Allah, karier yang kita ada tidak dilaksanakan kerana Allah, ilmu yang kita cari bukan kerana Allah.   Berkejar-kejar ke sana ke sini. Sibuk sana sini. Berlumba-lumba tak tentu hala.  Semuanya bukan kerana Allah. 
Kita menjadi hamba dunia. Tanggungjawab wajib diabaikan apatah lagi yang sunat. Tanggungjawab pada Allah dikemudian-kemudiankan. Solat tak sempat. Sedekah tak cukup duit. Makan dan minum ikut sempat; bukan ikut adab dan halal. Adab dan etika diketepikan. Ambil hak orang sana sini. Salahkan orang kanan kiri. Kita lupa janji kita, kita lupa muhasabah diri kita. Kita sebenarnya hanyalah hamba Allah dan khalifah di bumi ini yang menunaikan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya untuk bekalan hidup yang abadi di akhirat kelak.
Kalau insan yang begitu taqwa, warak dan tawadduk seperti Mufti Negeri Perak juga menangis, adakah aku tidak menangis? Adakah aku masih ego pada Yang Maha Pencipta? Adakah aku merasakan aku tidak berdosa? Atau adakah merasakan segala yang kulakukan diterima Allah? Aku yakinkah aku tidak berbuat  sebarang khilaf? Sempurnakah aku? Ternyata hanya Nabi Muhamad saw sahaja manusia yang maksum (sempurna) di dunia ini. Baginda yang telah dijanjikan syurga oleh Allah swt TIDAK PERNAH berhenti bertaubat lebih daripada 70 kali setiap hari sepanjang hayatnya. Bagaimana pula dengan aku? 

Akhirnya...aku menangis jua. Air mata tidak dapat dibendung lagi. Mengalir deras. Ditambah pula mindaku memutarkan semula (flashback) detik-detik hidup yang lalu...! Banyaknya khilaf, salah, lalai, leka, alpa, amarah, jahil dan dosa. Ya Allah...ampunilah hambaMu ini. Usah Engkau pesongkan hatiku setelah Kau beri petunjuk. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pengurnia.

Tuesday, April 12, 2011

Rindukan Mekah & Madinah

Seawal pukul 10:30 pagi (8 April) kami dah tiba di KLIA untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Pak Ngah, Mak Ngah, Pak Su dan Mak Su yang akan menunaikan umrah. Bagi Pak Su dan Mak Su, ini merupakan pengalaman pertama mereka ke sana. Setelah semua ahli rombongan telah berkumpul di Kaunter L, kami diberitahu bahawa penerbangan sebenar adalah pukul 8:30 malam; bukannya pukul 3:00 petang. Jelas terbayang, wajah ahli rombongan sedikit suram kerana terpaksa menunggu lebih lama. Kasihan melihat wajah mereka terutamanya mereka yang dah 'berumur' dan wajah ahli keluarga yang menghantar. "Ah...lamanya kena tunggu!" Itulah antara sedikit cabaran sebelum menjadi tetamu Allah. 

Ahli keluarga Kota Tinggi
Terkenang saat-saat indah semasa pertama kali menjadi tetamu Allah pada Mei 2009. Kalau boleh nak berada di sana sepanjang hayatku. Sewaktu peninggalanku selama 2 minggu, emak dan abahku menjaga anak-anakku, Dhia dan Danish. Abah menghantar Dhia ke sekolah di Bukit Siput dan Danish ke tadika di Gemereh. Itulah pengorbanan abah dan mak padaku...dia seolah-olah merasai dan mengerti yang anak sulungnya ini dilanda badai dalam hidup. Hujung tahun 2008 merupakan tahun badai... yang membuatkan hatiku hancur luluh, jasadku hampir kaku dan nafasku hampir terhenti.

Tanah Suci Mekah 
Sebaik kaki menjejaki Lapangan Terbang Jeddah, hati semakin berdebar dan gusar. "Adakah aku diterima menjadi tetamuMu, Ya Allah? Aku terlalu banyak salah, aku terlalu banyak dosa, Ya Allah. Kau ampunkanlah aku, Ya Allah. Kau permudahkanlah, Ya Allah." rintih hatiku sepanjang perjalanan dari Jeddah ke Madinah dan dari Madinah ke Mekah. Namun, kegusaranku berakhir sebaik sahaja tiba di kedua-dua Tanah Suci. Hatiku yang luluh, kini terasa terlalu DAMAI dan TENANG. Ketenangan yang tak boleh digambarkan.  Terlalu banyak hidayah dan petunjuk yang Allah pancarkan dalam hati dan fikiranku agar aku dapat meneruskan kehidupan yang mendatang dengan penuh ketaqwaan.


Masjid Nabawi
Dulu ku hanya tahu bahawa kasih sayang Allah itu Maha Luas dan Maha Kekal. Sekadar tahu dan yakin disebabkan ilmu tauhid yang kupelajari. Kini, nikmat kasih sayang Allah swt dan Rasulullah saw yang kurasai di Tanah Suci dulu, membuatkan aku lebih menyakini kasih sayang Allah serta sentiasa menghargai dan mensyukuri setiap pemberianNya. PemberianNya dan kasih sayangNya terlalu sempurna! Hatiku benar-benar rindukan Mekah dan Madinah. Hatiku benar-benar rindukanMu, Ya Allah. Ya Allah, pilihlah aku dan suami sekali lagi untuk menjadi tetamu agungMu bagi menunaikan rukun Islam yang ke-5 pula. Moga doaku ini dimakbulkan. Amin....

Friday, April 8, 2011

Telor Kembar Kuning & JJCM

Kini di Malaysia semuanya mewah. Sebut sahaja nak makan apa...makanan barat, timur, kampung, buah-buahan....semuanya ada. Teringat pada rakyat Palestin dan mangsa Tsunami di Jepun...sukarnya hidup mereka...Apalah yang mereka makan di saat dan ketika ini. Rasa syukurnya atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt. Nikmat apa lagi yang mahu kita dustakan! 

Telor kembar kuning 
Telor rebus separuh masak dan telor goreng 'goyang' ( goyang maksudnya kuning telor tak masak ) adalah sarapan kegemaran anakku Danish. Satu hari, sewaktu ingin menggoreng telor goyang untuk dimakan bersama mee hoon goreng, aku sangat terkejut bila melihat dua kuning dalam satu biji telor. Wah....boleh dapat anak kembar ni!

Steamboat pula adalah makanan yang membuat seleranya tinggi. Itulah yang dikatakan Danish pada minggu lalu (3 April) sewaktu menikmati steamboat di Restoran Johnny, Jaya Jusco, Bukit Raja. 

Danish Tak Sabar Tunggu Hidangan
Steamboat Set B (RM29.90)
Durian Kunyit Kuala Selangor
Durian ialah raja buah. Semua ahli keluarga gemarkannya  KECUALI Danish. Sewaktu kami tinggal di Segamat, musim durian amat ditunggu-tunggu kerana durian Segamat sememangnya sedap dan rasanya amat berbeza. Sejak berhijrah ke Selangor, kami cuba mencari durian yang setara dengan durian Segamat. Baru-baru ini, kami dapat merasa durian kunyit dan durian kampung. Kami beli di gerai berhampiran Tesco, Kuala Selangor. Boleh tahan sedapnya!

Lamb chop...dah lama tak makan! Kat mana yang sedap eak? Tiba-tiba rasa nak makan makanan Barat. Suamiku pun ajak pergi ke Petaling Jaya sebab dia nak beli Papago dan kemudian cari lamb chop di One Utama (4 April). Kami cuba cari restoran yang sesuai, banyak pulak restoran yang tak halal. Aduh...cabaran 3x...sabar 3x. Akhirnya, kami jumpa The Breeks, Seoul Garden Restoran. Kami pekena satu set lamb chop dan satu set chicken chop. Sedap, mengenyangkan dan harganya berpatutan. Restorannya pula macam dalam taman! 
Breeks, Seoul Garden Restoran
Chicken Chop RM19.90
Lamb Chop RM24.90