Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Wednesday, April 6, 2011

Air Zamzam & Minuman Diet

Air zam-zam masih merupakan air minuman kegemaranku. Sewaktu pulang bercuti di rumah mertua di Penang, aku membeli air zam-zam dengan harga RM9 sahaja untuk botol 600ml. Aku membeli air zam-zam ini di kedai jeruk, Kepala Batas berhampiran dengan Hotel Seri Malaysia Kepala Batas; yang specialnya jeruk ini diusahakan oleh orang Melayu dan Islam. Halal dan bersih. Maaf...promote jeruk pulak!
Minggu lepas, aku terjumpa dua lagi tempat untuk membeli air zam-zam di Shah Alam iaitu:-
  1. Restoran Azira, Seksyen 10, Hphone: 012- 289 3559. Harga untuk 500ml ialah RM12 dan RM30 untuk 1 liter.
  2. Al-Fathir Enterprise, PKNS Shah Alam. Tel: 019 - 253 6696 dan Harga untuk 1 liter ialah RM25. Air zam-zam ini telah dibacakan 30 juz Al-Quran oleh Pelajar Tahfiz, Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar-Rasyid, Tel: 019-234 5980 dan 012 656 1274. 
Khasiat air zam-zam ini tidak boleh disangkal lagi. Doalah dengan penuh keikhlasan sebelum meminumnya. Hati akan terasa tenang, fikiran akan terasa lapang dan jiwa sentiasa dibuai rindu pada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Air Minuman Diet
Sewaktu dalam perjalanan menghadiri mesyuarat PIBG di SMKA, Kuala Selangor pada 2 April lalu, aku mendengar radio IKIM dan terdengar Chef Sabri memberikan resipi untuk minuman diet yang boleh dibuat sendiri. Bahan-bahannya ialah:-
Minuman Berkhasiat
1) 1 biji buah epal hijau; dibasuh, dipotong dadu, buang biji tapi JANGAN buang kulit
2) asam boy dibuang biji (ikut suka nak berapa biji)
3) sedikit daun pegaga, dibasuh, bersihkan akarnya
4) air limau kasturi (ikut suka nak berapa biji) 
5) gula ikut rasa (tak letak pun tak apa)
6) sedikit air (1/2 cawan)
7) beberapa ketul ais (agar sejuk)

Blend semua bahan di atas sehingga halus. Kemudian masukkan ke dalam gelas. Minum sebelum makan; tak kira makan malam atau makan tengahari. Saya sudah mencubanya sendiri. Memang sedap! Dan yang paling penting, tidak mengambil masa yang panjang untuk menyediakannya (dalam 5 minit siap!). Terasa lebih sihat! Bila kita sihat, banyak ibadah dan tugas harian boleh dilakukan. Cubalah!

[Nota: Kini, ku telah menggantikan pengambilan epal hijau dengan buah-buah lain sebagai salah satu langkah menjaga hafazan (update on 1 Mei 2012)]

Tuesday, April 5, 2011

Pergi Menemui Allah Yang Satu

Aku merenung jauh melangkaui monitor laptopku ini sambil berfikir-fikir nak telefon mak di kampung ataupun tidak. Kulihat waktu yang tertera di tepi sudut laptopku dan  cuba mengagak-agak aktiviti yang sedang mak lakukan pada waktu tersebut. Tetiba bunyi sms masuk. Ooo..rupa-rupanya sms dari adikku, Adam yang sedang belajar di Politeknik Pasir Gudang. Sms tersebut bertulis: "...Pak Lang dan Atuk Uda dah meninggal dunia. Pak Lang semalam ninggalnya...Atuk Uda dah seminggu lepas. Al-Fatihah." 

Untuk memastikan berita ini, aku terus menelefon mak di Kota Tinggi. Mak mengesahkan berita sedih ini. Malah mak berkata, bukan 2 kematian tetapi 3 kematian. Siapa seorang lagi? Atuk Hashim di Simpang Rengam meninggal dunia akibat dilanggar van ketika pandu keluar dari stesen minyak. Wajah atuk Hashim tak terjelma di kotak fikiranku. Terlalu lama tak pernah berjumpa atuk Hashim. 

Kubertanya kepada mak: "kenapa mak tak beritahu ana?" Mak dengan nada bersalah berkata: "Takut kau orang kelam kabut nak balik. Anak-anak yang dekat pun, mak tak beritahu." Mak dan abahku memang memahamiku. Mereka berdua sangat arif bahawa anaknya ini  sangat komited dalam sesuatu kerja; lebih-lebih lagi aku yang sedang belajar. Aku sangat-sangat sayangkan mak dan abah! Ah...rindunya dengan mereka...Dah lama tak makan masakan mak. Dah lama tak dengar celoteh abah, sejak raya puasa tahun lepas. 

Pak Lang Yang Kusayangi
Pak Lang adalah adik lelaki bongsu ibuku. Umur beliau tidak begitu jauh bezanya denganku kerana sewaktu aku bersekolah rendah, beliau adalah rakan sepermainanku. Kami main pondok-pondok di belakang rumah nenek yang juga merupakan kebun nenek. Pak Lang mengajar aku dan adik-adik buat khemah dari daun-daun kelapa dan ranting-ranting pokok rambutan. Kami kutip bunga-bungaan, rumput, lalang dan dedaun muda dari pokok buah-buahan untuk dijadikan bahan masakan. Seronoknya dapat belajar memasak olok-olok, belajar dirikan khemah dan belajar erti kekeluargaan.

Atuk Uda Yang Kurindui
Atuk Uda merupakan balu atuk Malip (bapa kepada emakku). Arwah atuk Malip mengahwini atuk Uda setelah pemergian nenek Biahku. Arwah Atuk Uda  mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulunya. Atuk Uda sangat baik dan prihatin. Dia selalu merendah diri dan membandingkan dirinya dengan arwah nenek Biah. Kami hanya diam jika atuk Uda membuat perbandingan. Sememangnya semua orang berbeza.

Al-Fatihah untuk  Atuk Uda (25 Mac), Pak Lang (1 April) dan Atuk Hashim (1 April). Moga roh mereka dicucuri rahmat.

Aku yang masih diberi peluang oleh Allah swt meneruskan kehidupan di dunia ini, akan kumanfaatkannya untuk tuaian hari akhirat. Ya Allah, Ya Tuhanku, hidupkan aku dengan iman, matikan aku dalam iman dan masukkan aku syurga bersama-sama iman. 

Saturday, April 2, 2011

Guru & PIBG Ambil Berat

Mesyuarat PIBG, SMKA, Kuala Selangor
Hari ini, kami sekeluarga menghadiri mesyuarat PIBG SMKA Kuala Selangor; hadir sebelah pagi sahaja. Selain memilih AJK baru, mesyuarat ini juga memaklumkan pencapaian sekolah dan cadangan aktiviti bagi memastikan anak-anak berjaya. Antaranya adalah cadangan menambah sedikit imbuhan untuk guru-guru yang membimbing pelajar untuk menghadapi peperiksaan PMR dan SPM dan Skim Wakaf Komputer. Sebenarnya ramai guru-guru pembimbing ini tidak meminta apa-apa upah pun, mereka lakukan semuanya atas dasar tanggungjawab, kasih sayang, sukarela dan amal jariah. 

Di saat Pengerusi PIBG membuat perbandingan antara bayaran tuisyen di pusat tuisyen dan kelas malam di sekolah-sekolah, aku terbayang semua wajah-wajah guru yang membimbingku. Pada saat umurku 13 - 17 tahun (5 tahun), guru dan warden asrama (mereka juga guru) merupakan pembimbing  yang paling hampir. Ibubapaku jauh, adik beradik ramai dan hidup kami susah. Kenderaan hanya motosikal dan basikal.  Nak guna duit...tunggu saja duit biasiswa. Pergi 'outing', beratur panjang di BSN atau pejabat pos, nak keluarkan duit..bukannya banyak; cuma RM50 sahaja. ATM tak ada.

Saat rindu kat mak dan abah, surat dikirim. Itupun kalau aku ada duit untuk beli stem dan sampul surat. Telefon sememangnya tiada; yang ada telefon awam - itu pun jauh dari rumah. Simpanlah 'homesick' hingga tibanya cuti penggal persekolahan. Saat-saat 'homesick', tetiba ada guru yang buat makan-makan di rumah mereka.  Mereka macam tahu-tahu aje aku 'homesick'. Terima kasih cikgu kerana memahamiku dan kawan-kawan. Berkat usaha, bimbingan, pengorbanan dan doa guruku, kini aku mampu berbakti pada keluarga dan diri sendiri.  Jasa guru memang wajib dikenang dan dihargai. Tak terbalas jasamu. Terima kasih cikgu!

Kini, zaman sudah berubah. Kenderaan, alat komunikasi dan sistem perbankan semuannya canggih. Wang, ubat 'homesick' dan segala keperluan belajar boleh didapati dengan begitu mudah ...almost instantly. Zaman canggih, belajar pun canggih, kejayaan pun canggih!

Persoalannya:
1) Adakah diri ini mampu memberikan IMPAK/HASIL yang sama seperti guru-guruku dahulu? 
2) Adakah diri ini mampu membimbing anak-anakku dan pelajar-pelajarku menjadi insan berguna seperti yang telah dilakukan oleh guru-guruku?
3) Adakah diri ini mampu melakukan pengorbanan seperti guru-guruku untuk membimbing generasi masa kini?
4) Adakah diri ini mampu berperanan sebagai guru dan pembimbing yang berkredibiliti tinggi di zaman serba canggih ini?
5) Adakah diri ini mampu menjadi ibubapa yang memahami peranan dan pengorbanan guru kepada anak-anakku?

Mampu atau tidak, tanggungjawab sebagai guru mesti terus dipikul kerana kita adalah KHALIFAH di muka bumi. Khalifah adalah pemimpin yang semestinya memerlukan sifat-sifat guru seperti pembimbing, pendidik, pengajar, role model dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita mampu memimpin diri sendiri!

Nota: Buat pertama kalinya aku dapat berjumpa dengan rakan sekolah menengah yang kini telah menjadi guru di SMKAKS; namanya Sallehudin Tahir.  Guru pada anakku!