Tinggal hanya dua hari lagi kita rakyat Malaysia akan pergi mengundi. Selamat mengundi kepada rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar. Dirikanlah solat istikharah selalu sebelum membuat pemilihan. Moga pilihan kita adalah pilihan yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Percayalah... pilihan Allah swt sangat sempurna lagi menyempurnakan.


Jika ada sebarang kesilapan/ketelanjuran dalam blog ini, silalah hantarkan peringatan kalian di sharifahaliman@gmail.com. Itulah tanda kita saling ingat mengingati akan balasan hari akhirat. Selamat beristiqamah dalam amalan ibadah yang dikerjakan.

Sunday, May 26, 2013

PRU Habis Dah(PhD): Tunjukkan Baktimu...

sumber: http://www.sunahsukasakura.com
Hari mengundi merupakan hari anakku pulang semula ke asrama. Sewaktu tiba di stesen bas Shah Alam, dimaklumkan bahawa bas mungkin akan tiba lewat tengah malam. Kegelisahan menunggu bas diganti dengan debaran menunggu keputusan rasmi PRU13 di TV1. Hati kecil tidak berhenti-henti berdoa agar Allah swt sentiasa selamatkan negaraku yang tercinta. Pada tika itu, hati kecilku menyakini apa jua keputusan PRU adalah ketentuan Allah swt untuk menjadikan Malaysia dan rakyatnya lebih cemerlang. Keyakinan ini adalah bertunjangkan kepercayaanku kepada Qada' dan Qadar. Ku yakin majoriti rakyat Malaysia juga sepertiku kerana semua rakyat Malaysia telah berusaha dengan caranya sendiri untuk berjaya dipilih (bagi ahli politik) dan membuat pilihan (rakyat Malaysia). 

Sebagai rakyat biasa, ku mahukan semua ahli politik terpilih (kerajaan/pembangkang) berkhidmat dengan lebih ikhlas dan sungguh-sungguh untuk membuktikan kewibawaan dan integriti masing-masing. Manakala semua rakyat jelata menyambung bakti mereka kepada agama, bangsa dan negara. Malangnya dan sedihnya.... pasca PRU13 tidak begitu. Kita masih mensia-siakan masa dan nikmat yang Allah swt anugerahkan. 

Pemerhatianku yang tidak sempurna ini mendapati... rakyat Malaysia masih diseret dan diheret ke senario politik yang membuatkan setiap insan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman...kini hidup...saling curiga mencurigai. Kita buruk sangka sesama rakyat Malaysia dan lebih parah lagi kita seolah-olah buruk sangka kepada Allah swt. 

Sedih dan kasihannya kita kerana...Semakin terlerai nilai kasih sayang sesama kita. Semakin pudar sifat hormat menghormati sesama kita. Semakin merudumnya nilai kenegaraan kita. Semakin hilang indahnya peribadi Islam kita. Semakin jahilnya kita memahami sesuatu fakta dan hakikat. Semakin kasar dan kerasnya budi bahasa kita.

Nilai perpaduan rakyat Malaysia sedang menurun dengan laju. Penurunan ini membuatkan anasir jahat mudah menyerang dan menghasuti minda Malaysia dan rakyat Malaysia. Bangkitlah wahai rakyat Malaysia dari mimpi ngeri ini! Kita semua dambakan hidup yang tenang lagi menenangkan, bahagia  lagi membahagiakan, lengkap lagi melengkapkan serta berjaya dunia akhirat. 

"Ya Allah....selamatkanlah Malaysia dan rakyatnya serta tunjukkanlah kami jalan yang lurus." 

Friday, May 3, 2013

Pilihanraya Hampir Dah(PhD): Munajat & Istikharah lah...

Solat Istikharahlah...
Bahang hari mengundi (5 Mei 2013) untuk PRU 13 semakin terasa. Pelbagai cara berkempen ditonjolkan. Semakin hampir, semakin hebat usaha berkempen dijalankan. Oleh itu, dicadangkan agar kita dirikanlah solat istikharah sebanyak mungkin sebelum membuat pemilihan. Walaupun hati kecil kita mungkin telah membuat pilihan sendiri berdasarkan pelbagai sumber, amat-amat disarankan agar kita teruskanlah bersolat istikharah sampai hari mengundi agar kita diberi petunjuk untuk membuat "pilihan yang terbaik dan sesuai dengan kehendak Allah swt (rujuk mukasurat 43 - buku Hebatnya Kuasa Istikharah)". 

Petunjuk dari Allah swt akan membuatkan hati kita mantap dan tidak menyesal dengan pilihan yang dibuat. Yakin dan percayalah...pilihan Allah sangat sempurna dan menyempurnakan hidup kita di dunia dan akhirat. 

Selamat mengundi dan laluilah hari-hari dalam musim pilihanraya ini dengan penuh berakhlak mulia dan  sentiasa berpegang kepada Al-Quran dan Hadis. Patuhi perintah Allah swt, suruhan Nabi Muhamad saw   dan peraturan yang telah ditetapkan oleh negara kita. Hargai dan syukuri nikmat keamanan yang dikecapi selama ini; di mana kita sebagai rakyat Malaysia mampu menjalani kehidupan mengikut agama dianuti, adat resam, kemampuan dan ketentuan takdir masing-masing dalam suasana bahagia dan membahagiakan. Telah sekian lama kita memupuk perasaan aman, kerjasama dan bahagia sesama kita. Perkukuhkanlah benteng ini daripada diancam oleh pelbagai anasir perosak agama, bangsa dan negara. 

Nota: Selain buku di atas, dapatkan info solat istikharah di http://shafiqolbu.wordpress.com/solat-sunat/solat-sunat-istikharah/

Wednesday, February 13, 2013

Positif Hadapi Duty(PhD): Adaptasi Diri

 Doa Kesihatan Badan
Bermula hujung Disember 2012, ku kembali bertugas. Ku sangka semuanya mudah kerana telah lama dalam kerjaya ini. Perubahan tempat bertugas dari Segamat ke Shah Alam ditambah pula telah lebih tiga tahun meninggalkan urusan pejabat, ternyata memerlukan persediaan mental dan fizikal dalam proses adaptasi diri. 

Inspirasi Solat Tahajjud
Antara saranan Islam untuk pertingkatkan tahap stamina fizikal dan mental diri adalah amalan solat malam dan doa yang berterusan. Ku amat yakin semua muslim telah sedia maklum tentang solat tahajjud. Sebagai muslim profesional, peringkat "tahu" belum menunjukkan "mampu buat". Untuk mendapat inspirasi solat tahajjud, dapatkanlah dan bacalah buku "111 Tip untuk Mudah Bertahajjud". Moga kita semua TERPILIH menjadi salah seorang penghias sepertiga malam.

Ada banyak amalan doa. Antara amalan doa adalah doa kesihatan badan yang dibaca sebelum tidur (contohnya rujuk mukasurat 74-76 dalam buku "33 Amalan Mendidik Anak Soleh") dan juga doa mohon perlindungan diri dari bencana tiap pagi dan petang.
"Ya Allah, aku memohon keselamatan agamaku, duniaku, ahliku dan harta bendaku. Tutupilah keaibanku, tenangkanlah kegelisahanku, peliharalah aku dari bencana yang mungkin menimpa aku dari muka dan belakangku, dari kiri kananku, dari atasku dan perlindungan dengan kebesaranMu. Aku diperdaya dari bawahku" [rujuk mukasurat 74-75 dalam buku Ustaz Kazim "Doa & Penawar terpilih"]
Cinta Ilmu, TV Al Hijrah
Pengisian rohani pada setiap pagi hari juga kini terjejas. Program Tanyalah Ustaz dan Rasul Yang Kata (baru!) di TV9 serta Reflection, 30 minit Ustaz Don, Jalan Orang Mukmin (J.O.M) di TV AlHijrah, ku tidak dapat menontonnya dengan penuh ketenangan. Sering saja tergesa-gesa untuk menyiapkan diri ke pejabat di mana jauh perjalanannya lebih kurang 45 minit tanpa kesesakan lalu lintas. Namun, ku masih bersyukur kerana TV Al Hijrah ada program Cinta Ilmu (baru!) dan Astro Oasis pula ada program Ustaz Kazim "Kalau Dah Jodoh" (baru!) dan "Reset Minda Bersama Profesor Muhaya"(baru!) .

Diharapkan tugas kerjaya dalam suasana baru ini, dapat kubiasakan. Dan pada masa yang sama ku sangat berharap bertemu dengan waktu sesuai dan kaedah alternatif bagi santapan rohani. 

Wednesday, December 12, 2012

Paris Hari Dilawati(PhD): Halal Food, Masjid & Seni Islam

Menara Eiffel, Paris
Disambut dengan ucapan salam oleh seorang wanita tak dikenali sewaktu menjejakkan kaki di bumi Paris pada awal Disember lalu, Allah swt mengizinkanku untuk melihat dan menaiki Menara Eiffel yang setinggi 324 m. Ku kagum dengan idea unik dan motivasi konsisten yang Allah swt suntikkan pada Eiffel untuk memastikan menara besi ini berdiri teguh hingga hari ini. Mengikut ceritanya, menara ini telah dua kali ura-ura hendak dirobohkan. 

Menara Petronas tercatat di Eiffel Tower
Sewaktu berada di mercu menara ini (280 m), ku sempat membaca maklumat perbandingan ketinggian Eiffel dengan bangunan tertinggi di negara-negara lain. Hati tertanya-tanya kenapa nama Malaysia tiada. Panik! Setelah ku tawaf sebanyak dua kali, hati terasa lega sebab Menara Petronas, Malaysia ada tercatat di situ. Ada kesamaan dari aspek motivasi bagi insan pencetus idea menara Eiffel dan menara Petronas!

Makan Nasi Briyani kat sini!
Setiap kali berada di negara orang, perkara yang kucari ialah masjid dan restoran halal. Di Paris, restoran makanan halal ada banyak pilihan dan mudah dicari. Perkataan halal, logo halal atau sijil halal boleh didapati di restoran-restoran ini. Pemilik restoran juga tidak keberatan bila kita bertanya tentang kehalalan makanan mereka. Terasa bahagia dan bersyukur kerana makan tengahari dan malam ada banyak pilihan. Pilihan sarapan pagi terhad kepada roti  perancis/croissant dan telor mata lembu. 

Musee du Louvre, Paris
Lepas makan, pergi jalan-jalan pula. Paris mempunyai banyak muzium. Tak larat dan tak mampu nak melawat semua muzium tersebut. Kami hanya melawat dua muzium iaitu Musee du Louvre dan Musee Grevin. Selain lukisan Monalisa di Musee du Louvre, aku cukup teruja dengan pameran seni Islamnya. 

2015 Musee du Louvre di Abu Dhabi
Kami juga tidak melepaskan peluang untuk beriktikaf di Masjid Paris. Oleh kerana sistem pengangkutan awam di Paris mudah, maka kami menggunakan perkhidmatan bas awam (bas no 47, naik kat Notre Dame) untuk ke masjid ini. Kami menghabiskan masa dari waktu asar hingga waktu maghrib. Uniknya, pengunjung pelbagai agama tidak putus-putus datang ke masjid ini. Selain melihat kesenian masjid ini, mereka menyaksikan orang Islam solat berjemaah. 

Masjid Paris
Azan Maghrib, Masjid Paris
Paris memang indah dengan pelbagai hasil seni hingga barangan mewah. Paris bandar moden yang penuh dengan peninggalan bersejarah. Sistem pengangkutan awamnya bagus dan tandasnya juga bersih! Kesukaran mencari surau/tempat solat di tempat-tempat awam di Paris, membuatkan aku lebih mensyukuri negaraku, Malaysia. Malaysia ada kemudahan surau/tempat solat hampir di semua tempat awam seperti kompleks membeli belah, R& R di lebuhraya, muzium, zoo, hotel-hotel, pusat perhentian bas, stesen komuter/keretapi dan lapangan terbang. Mudahnya, tenangnya dan indahnya beribadah di Malaysia. 

"Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, peliharalah keindahan dan keamanan Malaysia agar kami sebagai rakyatnya saling hormat menghormati dan sentiasa utamakan syariatMu dalam segenap sudut hidup kami."

Thursday, November 29, 2012

Pencarian Harian D'Vienna(PhD): Masjid & Makanan Halal

Vienna Islamic Center
Vienna, Austria adalah tempat/negara yang tak pernah ku lawati dan tidak pernah terlintas di fikiran untuk ke sana. Ketentuan Allah swt mengatasi segalanya. Atas asbab konferensi, aku dan suami buat pertama kalinya dapat menjejaki kaki di Vienna pada 10 Nov 2012 lalu. Selain tempat-tempat menarik, masjid dan kedai makanan halal yang terdapat di Vienna adalah antara maklumat yang kucari sebelum ke sana.
Terdapat lebih kurang 26 masjid/bilik solat di Vienna. Pencarian masjid pertama adalah masjid berhampiran dengan tempat konferensi berlangsung iaitu Haci Bayram Mosque, Keinergasse 18,  1030 Vienna. Lebih kurang 15 minit berjalan kaki mengikut "google map". Setelah sampai di alamat tersebut, kami tidak nampak sebarang petunjuk tentang masjid. Kami hampa. 

Keesokannya, kami terus ke Vienna Islamic Center, Am Bruckhaufen 3a dengan menaiki tren menuju ke Neue Donau. Dari stesen tren ini, sudah kelihatan sebuah masjid tersergam indah. Sempat kami ronda sekitar masjid dan berkenalan dengan staf wanita iaitu Khadija dan Nahid. Kami dimaklumkan bahawa masjid ini adalah satu-satunya masjid di Vienna yang berkubah dan bangunan berasingan. Manakala, masjid-masjid lain adalah rumah dalam bangunan yang perlu "dipicit loceng" dahulu sebelum masuk. Penjelasan ini membuatkan kami mengerti mengapa pencarian pertama kami "gagal".
Kenangan di Vienna Islamic Center
Khadija dan Nahid
Selain dari maklumat di Internet seperti laman web ini, kami juga bertanya dengan pekerja hotel tentang restauran makanan halal. Mereka tidak keberatan memberitahu kami lokasinya. Di lokasi konferensi, kami jumpa dua kedai makanan halal iaitu Gerai Pizza di stesen tren Ungargasse/Neulinggasse (200m) dan Yenbo Supermarket, Barmherzigengasse 3 bersebelahan balai polis (8 minit berjalan kaki). 

Gerai Kebab, Stesen Ungargasse/Neulinggasse
Yenbo , Barmherzigengasse 3
Restauran Nayeb - Halal
Menu Asia di EAT Restauran
Kami juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati keindahan "kota muzik" (terkenal dengan mozart) ini walaupun dalam keadaan cuaca agak sejuk. Indah negara orang...lebih indah dan selesa di negara sendiri. Malaysia yang kucintai! Ya Allah Ya Tuhanku, peliharalah negaraku Malaysia agar terus aman sentosa serta rakyatnya bersatu padu  dan bertoleransi dalam menegakkan syariatMu.
Peta Tren Jadi Panduan kami
Jumpa Rakan Senegara
Makanan Turki
Vienna International Airport(VIE)
Schonbrunn Palace
NH Hotel di Airport Vienna
T-Mobile di Vienna City
Bangunan Parlimen Vienna

Monday, November 19, 2012

Percutian Hadiah Darimu(PhD): Cameron Highlands Nyaman

Pintu Masuk Taman Agro Mardi
Cameron Highlands Pahang menggamit lagi. Hadiah percutian (29/9/12- 1/10/12) istimewa ini kuterima dengan penuh kegembiraan. Pertama, tempat sejuk dan nyaman memang kesukaanku walaupun sudah beberapa kali bercuti di sini. Kedua, suasana nyaman mampu membuatkan kotak fikiran lebih bebas mengarang "kertas kerja". Ketiga, Danish yang kebetulan cuti sakit akibat luka di kepala, dapat berehat dengan lebih tenang.

Explorasi kami kali ini banyak bertumpu di Taman Agro Teknologi, Stesen Mardi Cameron Highlands. Kami masuk di taman ini di hujung waktu lawatan, maka tempat jualan telah ditutup dan waktu lawatan juga terhad. Dengan waktu terhad ini, kami masih sempat menikmati keindahan taman anugerah Allah swt dan menghargai hasil usaha insan yang terlibat dalam memelihara keindahan alam. Syukur atas nikmatNya. Alhamdullillah (33x).

Pejabat Stesen Mardi
Burung di Taman Agro Mardi

Satu Malaysia di Taman Agro Mardi
Nyamannya Taman Agro
Serlahkan Cantiknya Bunga
Bunga Seakan Frozen di Taman Agro
Orkid Cameron
Bunga Lampu Raya?
Pokok teh dan delima di Taman Agro
Ikan pun ada di Taman Agro
Arnab di Taman Agro
Nikmati Teh di Cameron Bharat

Monday, October 29, 2012

Pengorbanan Habil Diredhai(PhD): Kita bagaimana?

Salam Baitullah TV1
Syukur kerana masih diberi peluang untuk menonton rancangan Laibakallah TV Al-Hijrah, Salam Baitullah TV1 dan Khabar Haji Astro Oasis sepanjang musim haji tahun ini. Menonton program-program ini, diri terasa dekatnya dengan Makkah dan Madinah. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar yang tidak pernah jemu-jemu untuk didengari dan terus dihayati. Rupa-rupanya ibadah korban ini telah lama dibuat, sejak...pengorbanan Habil, putera Nabi Adam. 

Abil Dilihat Setulus Habil
Sumber: sinarharian.com.my
Ketulusan dan keikhlasan pengorbanan Habil masih dirasai nikmatnya oleh umat akhir zaman. Habil sentiasa memastikan kambing korbannya adalah kambing terbaik antara yang terbaik.  Kalaulah keikhlasan pengorbanan Habil dicontohi dalam rumahtangga, insyaAllah, institusi keluarga akan terbela. Pasti...suami, isteri, anak-anak, ibubapa sendiri, ibubapa mertua dan ahli dalam sesebuah keluarga akan mendapat layanan paling terbaik antara yang terbaik.  

Adakah kita sentiasa memberikan yang terbaik antara yang terbaik dalam setiap tanggungjawab/kerja/tugas/ibadah kita? Atau kita selalu meminta-minta yang terbaik walaupun kita tak sebaik mana pun? Mungkinkah keikhlasan dalam diri telah hampir lenyap dan kita hanya membiarkan ianya terus hilang? 

Surau At-Taufiqiyyah - 7 lembu korban
Ku yakin kita semua tahu bahawa pengorbanan kita tidaklah setanding Habil, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Oleh itu, marilah kita sama-sama menilai semula tahap keikhlasan pengorbanan kita dan tambahbaikkan pada setiap masa. Contohnya, jika kita tak pernah cuci pinggan lepas makan, korbankan rasa ego/malas/malu untuk membasuhnya. Dengan hanya mencuci pinggan, dapat kasih sayang dari Allah swt dan ahli keluarga. Bayangkanlah, kalau kita melaksanakan pengorbanan lebih besar, rahmat Allah swt pasti datang mencurah-curah! Selagi nyawa di kandung badan, yakinlah dan percayalah...Allah swt sentiasa menerima taubat hambaNya dan akan membantu hambaNya yang ingin berbuat baik. 

Thursday, October 11, 2012

Pendorong Hidup Daku(PhD): Maafkanku, Mak Abah

Untukmu mak abah
Sumber: wardahal-jannah.blogspot.com
Dua hari mengikuti program Tanyalah Ustaz TV9 bertajuk "Kesilapan anak-anak kepada ibubapa" yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani. Kupasan terkesan di hati! Setelah mendengar senarai kesilapan yang diutarakan ustaz, ku mengakui sebagai anak, memang tidak terlepas dari kesalahan tersebut. Ampunkan anakmu ini, mak dan abah. 

Muhasabah diri sebentar dan bayangkan wajah mak abah kita sekarang. 
Dah berapa lama kita tidak menelefon mereka? Adakah ibubapa kita yang lebih dahulu menelefon kita untuk bertanya khabar? Kalau ini berlaku pada kita, maka kita sebenarnya telah berdosa pada ibubapa kita. Mungkinkah kerana dosa pada mereka, kita kebelakangan ini dilanda keresahan, kebimbingan dan kesulitan hidup? 
Oleh itu, bingkaslah telefon mereka sekarang dan minta ampun. Walaupun ini kali pertama kita buat dan kita dikatakan 'buang tabiat', tak mengapa. Ianya jauh lebih baik daripada kita menanggung dosa. 
Kalau,mak abah/mertua dah tak ada..kita masih melakukan dosa pada mereka?
Haji untuk mereka
Sumber: http://salnboru.blogspot.com
YA, jika kita tidak berdoa memohon keampunan untuk mereka. YA, jika kita masih tidak tunaikan haji untuk mereka.  YA, jika kita tidak membayar hutang-hutangnya seperti hutang kad kredit dan hutang tempah baju.  YA, jika kita menghabiskan hartanya tanpa menyelesaikan segala hutangnya dengan Allah dan manusia/syarikat. YA, jika kita tidak bertanya khabar kepada sahabat-sahabat mereka. 

Oleh itu, bersegeralah untuk menyelesaikan hutang mereka sebelum kita kembali alam barzakh dan tidak sempat untuk berbuat demikian. 

Dahsyatnya Doamu
Sumber: makbonda61.blogspot.com
Sebagai anak...walau macamana 'salah' sekali pun mak abah dan/atau mertua kita, mereka tetap WAJIB kita hormati, minta ampun dari mereka dan doakan kesejahteraan mereka selalu. Usahlah jadi penghukum terhadap kekhilafan mereka KERANA kita belum tentu menjadi ibubapa sehebat mereka, oleh itu jadilah penyeri hidup mak abah. 

Sebagai ibubapa pula, kemuliaan yang Allah swt telah berikan kepada kita sebagai ibubapa, usahlah disalahgunakan. Fahamilah kesulitan hidup anak masa kini, berpada-padalah dalam "ingin menguasai hidup anak" terutama anak yang berumahtangga/ tinggal sebumbung, berwaspadalah dalam 'terasa hati' dengan anak-anak kerana ditakuti ianya menjadi doa mustajab yang kita sendiri sesali implikasinya dan doakanlah kebaikan anak-anak. Usahlah jadi penghukum terhadap kekurangan anak KERANA kita belum tentu menjadi anak sehebat anak-anak kita, oleh itu jadilah pendorong hidup anak-anak.

Anak doakan mak abah, mak abah doakan anak. Moga bersinar bahagialah hidup kita sekeluarga di dunia dan di akhirat.  

Friday, October 5, 2012

Peristiwa Hidup Diurus(PhD): Anak & Bajet 2013

Bajet 2013 dibentang pada 28 September 2012 (Jumaat). Dah seminggu berlalu...

Sumber:
http://suarabba0813.blogspot.com
Tarikh sama pada sebelah pagi. Sekolah Dhia mengadakan Majlis Bacaan Yassin, Solat Hajat dan Restu Ilmu untuk calon PMR 2012. Selepas ucapan Pengetua SMKA, Kuala Selangor, Pn Hamidah Binti Ghazali, ibubapa dan anak-anak bersalaman dengan semua guru-guru yang hadir. Kemudian, semua ibubapa, guru-guru dan calon-calon PMR menunaikan solat hajat dan membaca yassin di Surau sekolah. Sebelum solat hajat, ustaz menyampaikan deskripsi tatacara solat hajat dan memaklumkan bahawa doa ibu adalah 3 kali lebih mustajab dari doa bapa dan guru. Moga semua calon PMR di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang; cemerlang dunia dan akhirat.

Sumber:
http://muhammadghazi.wordpress.com
Tarikh sama selepas solat Jumaat. Sedang kami mempersiapkan diri untuk mendengar bajet, tiba-tiba  kami dikejutkan dengan panggilan telefon yang menyatakan Danish cedera di sekolah. Danish dan guru pengiringnya sedang menunggu di hadapan klinik. Jantungku berdegup kencang! Terkenang peristiwa Danish cedera dahi (kena jahit dan ada kesannya sampai sekarang) sewaktu Tadika dahulu. Dalam hati tidak berhenti-henti berdoa. Rupanya, Danish terjatuh selepas dilanggar kawan-kawan yang sedang bermain. Kemalangan telah tercatat di Luh Mahfuz. Setelah doktor merawat Danish, nyata kecederaan di kepalanya tidak parah langsung; cuma darah tak berhenti mengalir. Danish kesakitan. Tapi lukanya tidak perlu dijahit! Terima kasih kepada Cikgu 'J' dan Cikgu Zaharah yang prihatin. Alhamdullillah!

Tiba di rumah, kami masih sempat mendengar pembentangan bajet 2013.

Setelah mendengar liputan tentang bajet 2013, ku sengaja membelek-belek bil dan resit perbelanjaan asas di dalam laci. Ku kuatkan semangat untuk buat pengiraan rasmi ke atas semua perbelanjaan (bulanan dan tahunan). Tak sangka begitu banyaknya perbelanjaan yang perlu dikeluarkan! Kalau ikut gajiku masa mula-mula kerja dulu, memang tak cukup. Kini, ku lebih memahami mengapa ramai anak-anak muda kita yang baru memulakan kerjaya, terasa peritnya untuk menanggung kos sara hidup. 

Sumber:
sayasukabacablog.blogspot.com
Diharap anak-anak muda lebih tabah dan menghargai hidup susah yang tak susah sangat ni. Keperluan asas semua dah ada walaupun kena bayar sikit (Pandai-pandailah berjimat). Sambil mandi pagi sebelum pergi bekerja, dah boleh masak air. Siap mandi, dah boleh bancuh air milo/teh/kopi 3-in-1 dan makan roti! Ayuh, mari kita terus berdikari untuk perbaiki kehidupan! 

Duit bukan matlamat tetapi pengurusan wang yang baik dan wang dari sumber yang baik, insyaAllah, memudahkan matlamat hidup dicapai. Apa matlamat hidup kita? Mendapat redha Allah swt dalam semua urusan hidup kita di dunia dan hidup bahagia selamanya di akhirat kelak. 

Thursday, September 20, 2012

Pertahan Harga Diri (PhD): Cintakan Rasulullah saw

Pelbagai musibah berbentuk "HINA" menimpa kita. 

Sumber: laman-seri.blogspot.com
Pernahkah diri kita sebagai individu dihina? Contohnya: cara kita berpakaian dikata fesyen lapok, cara kita bercakap diajuk, apa kita makan dicebik, fizikal kita dipermain-mainkan, kerja baik kita diperlekehkan, keluarga kita dikata "tidak layak jadi orang senang",  ibubapa kita dicaci salasilahnya, keturunan kita dikata "tidak sesoleh keturunannya". Macam-macam penghinaan yang pernah kita lalui. 

Sedikit sebanyak...hati dan perasaan kita pasti terusik. Sedih ada. Marah ada. Geram ada. Bengang ada. Rasa teraniaya ada. Bermacam-macam rasa ada. Jika syaitan dan nafsu berpadu tenaga dan tidak dikawal dengan iman, pasti ada tindakan dalam bentuk perkataan atau perbuatan yang negatif akan kita lemparkan kepada orang yang menghina DIRI kita. Paling pasif, kita akan "berkata-kata" di dalam hati dan kita cuba jauhi dari orang yang menghina kita. Hati kita senang, hati dia pun senang. Mungkin, inilah antara tindakan  selamat untuk mempertahankan DIRI jika diri dihina oleh orang perseorangan. 

Jika diri sendiri dihina pun, kita terasa sedih dan marah. Apatah lagi apabila agama, negara,  bangsa, pemimipin dan rakyat dihina. Samada tindakan menghadapi penghinaan dari orang perseorangan atau apabila bangsa, rakyat, pemimipin, negara dan agama dihina, kita tidak boleh bertindak hentam keromo atau ikut suka hati sahaja. Perlulah kita mematuhi undang-undang dan etika tertentu, menghormati resam setempat serta terus bermunajat kepada Allah swt agar kita diselamatkan dari musibah di"HINA"/ter"HINA" dan dilindungi daripada kemusnahan dan kehinaan yang lebih besar. 

Sebagai seorang Islam, kita mesti teramat-amat sedih dan marah apabila Nabi Muhamad saw dihina. Kita sama-sama(bersatu) wajib pertahankan Nabi Muhamad saw kerana ia termaktub dalam rukun iman dan rukun Islam. Kecintaan kepada Allah swt dan Nabi Muhamad saw adalah cinta di carta pertama. Bukankah di bawah ini adalah antara doa kita untuk menjadi teman Rasullullah saw di dalam syurga kelak?
اللهم اني السلوك ايمانا لا يرتد و نقيما لا ينفد و قرة عين الابد . و مرافقة نبيك محمد صلي الله عليه وسلم في جنة الخلد.
Maksud: "Ya Allah, aku mohon kepadaMu keimanan yang diterima, kesenangan yang tidak berkesudahan, kebahagiaan yang abadi, dan menjadi teman dekat Nabi-Mu (Muhamad saw) di syurga yang kekal." [Riwayat Ahmad no 4522, dipetik dari buku "Indahnya Amalan Doa"]